#3187: Adakah Syaitan Tahu Keadaan dalam Diri Manusia?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah Syaitan tahu keadaan dalam diri seseorang manusia? Mohon penjelasan.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab persoalan di atas, tiada yang mengetahui isi hati seseorang melainkan Penciptanya sendiri, iaitu Allah SWT.

Firman Allah SWT:

 يَعْلَمُ خَائِنَةَ الْأَعْيُنِ وَمَا تُخْفِي الصُّدُورُ

Maksudnya: “Allah mengetahui pengkhianatan (penyelewengan dan ketiadaan jujur) pandangan mata seseorang, serta mengetahui akan apa yang tersembunyi di dalam hati.”

(Surah Ghafir: 19)

Syeikh Dr Wahbah al-Zuhaili berkata: Lafaz ‘خَائِنَةَ الْأَعْيُنِ’ bermaksud pandangan yang khianat, seperti pandangan kedua yang melihat sesuatu yang haram, dan mencuri pandangan terhadap sesuatu yang haram tersebut. Maksud ‘الأَعْيُن الْخَائِنَة’  adalah mencuri pandang untuk (melihat) sesuatu yang diharamkan. Allah SWT mengetahui pandangan khianat seorang hamba yang memandang sesuatu yang diharamkan, mengetahui hal-hal yang menjadikan hati bahagia, berupa pelbagai perkara yang baik atau yang buruk bahkan bisikan hati sekalipun.

Ini bererti bahawa ilmu Allah SWT adalah sempurna dan meliputi segala sesuatu, baik yang mulia atau yang hina, yang kecil atau pun yang besar; yang lembut dan halus, untuk memberi peringatan kepada manusia tentang pengetahuan Allah atas mereka, sehingga mereka malu terhadap Allah SWT dengan malu yang sebenarnya, bertaqwa kepada-Nya dengan sebenar-benar taqwa, dan takut kepada-Nya seperti halnya takutnya seseorang yang mengetahui bahawa Allah SWT selalu melihatnya. Sungguh, Allah SWT mengetahui pandangan mata yang khianat sekalipun terlihat jujur. Dia juga mengetahui hal-hal tersembunyi yang terkumpul dalam hati di antara perasaan-perasaan atau suara hati dan rahsia-rahsia yang tersimpan dalam hati. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 12/318)

Syeikh al-Sa’di menyebut: Firman-Nya, ‘يَعْلَمُ خَائِنَةَ الْأَعْيُنِ’, maksudnya pandangan yang disembunyikan oleh seseorang daripada temannya dan daripada rakan-rakannya, iaitu mencuri pandangan. Firman-Nya, ‘وَمَا تُخْفِي الصُّدُورُ’, yakni daripada hal-hal yang tidak dijelaskan oleh seseorang kepada orang lain. Jadi, Allah mengetahui yang tersembunyi itu, apatahlagi perkara-perkara yang nyata, sudah tentu Dia lebih mengetahui lagi. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 735)

Firman Allah SWT:

 وَاللَّهُ يَعْلَمُ مَا تُسِرُّونَ وَمَا تُعْلِنُونَ

Maksudnya: “Dan Allah mengetahui apa yang kamu sembunyikan dan apa yang kamu zahirkan.”

(Surah al-Nahl: 19)

Al-Tabari berkata: Yakni, Allah SWT berfiman, “Allah Tuhan kamu semua, wahai manusia, mengetahui apa yang kamu semua rahsiakan dalam hati kamu sehingga tersembunyi daripada orang lain, apa yang kamu zahirkan dengan lisan dan anggota badan kamu, serta perbuatan yang kamu nyatakan dengan ucapan dan anggota tubuh. Dia menghitung semua itu dan akan membalasnya kepada kamu pada hari Kiamat. Allah membalas perbuatan baik dengan kebaikan, dan perbuatan buruk dengan keburukan pula. Allah akan bertanya kepada kamu semua tentang rasa syukur atas nikmat-nikmat yang telah dikurniakan-Nya kepada kamu semua, sama ada yang kamu hitung mahupun yang tidak kamu hitung. (Lihat Jami’ al-Bayan, 16/51)

Syeikh Abu Bakar Jabir al-Jaza’iri menyebut: “Ini adalah tanda lain daripada kekuatan, ilmu, hikmah dan nikmat pada konteks ayat yang mulia ini. Hanya Allah-lah yang mengetahui rahsia dan zahir manusia, dan Dia mengetahui keperluan dan permintaan mereka, jika mereka memusuhi dan kufur kepada-Nya, bagaimana boleh mereka hidup dengan tenang? (Lihat Aisar al-Tafasir, 3/104)

Firman Allah SWT:

إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ بِذَاتِ الصُّدُورِ ‎

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui akan segala (isi hati) yang ada di dalam dada.”

(Surah Ali Imran: 119)

Ibn Kathir berkata: “Allah SWT Maha Mengetahui segala kedengkian dan kebencian yang ada dalam hati kamu semua. Allah akan membalas keingkaran kamu semua itu di dunia, dengan memperlihatkan keutamaan kaum Muslim di dunia. Juga membalas kelak di akhirat dengan memasukkan kamu semua (munafik dan kafir) ke dalam neraka yang abadi. (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 2/107)

Al-Syaukani berkata: Yakni, Allah SWT Maha Mengetahui segala apa yang terdetik di dalam hati. (Lihat Fath al-Qadir, 1/430)

Dalam hadith yang diriwayatkan daripada Safiyyah R.Anha, bahawa Nabi SAW bersabda:

‏ إِنَّ الشَّيْطَانَ يَجْرِي مِنَ الإِنْسَانِ مَجْرَى الدَّمِ ‏

Maksudnya: “Sesungguhnya syaitan mengalir di pembuluh darah manusia.”

Riwayat al-Bukhari (2038) dan Muslim (5807)

Abu al-Hasan al-Asy’ari menyebut perbezaan pandangan dalam kalangan ulama dan ahli kalam, adakah syaitan boleh mengetahui isi hati manusia ataupun tidak?

Pertama, pandangan Ibrahim, Ma’mar dan Hisyam serta beberapa ulama yang mengikutinya, bahawa syaitan mengetahui isi hati manusia. Dan itu tidak aneh kerana Allah memberikan ruang bagi syaitan untuk masuk ke dalam hati manusia. Sepertimana yang berlaku, syaitan memberikan saranan kepada manusia, “Lakukan ini…jangan lakukan itu…” sehingga syaitan tahu apa yang diinginkan manusia.

Demikian juga ketika dia hendak melakukan sesuatu perbuatan, maka syaitan tahu apa yang dilakukan orang itu. Ketika jiwanya berkeinginan untuk bersedekah atau melakukan kebaikan, maka syaitan tahu dengan beberapa petunjuk, lalu dia melarang manusia daripada melakukannya.

Kedua, pandangan Muktazilah dan yang lainnya, bahawa syaitan tidak mampu mengetahui isi hati manusia. Sehinggalah ketika manusia ada keinginan untuk melakukan kebaikan atau ingin bersedekah, maka syaitan mengetahui berdasarkan dugaan dan berusaha melarangnya.

Ketiga, bahawa syaitan mampu merasuk ke dalam hati manusia dan dia mengetahui apa yang diinginkan dalam hatinya. (Lihat Maqalat Islamiyyin, hlm. 436)

Berdasarkan keterangan di atas, kami nyatakan bahawa tiada seorang manusia, jin, malaikat dan rasul pun yang mengetahui isi hati manusia melainkan atas izin Allah SWT dengan menurunkan wahyu kepada seorang nabi atau rasul. Apabila seseorang mengungkapkan isi hatinya, lalu didengari oleh orang lain atau jin, maka barulah ketika itu isi hatinya diketahui, disebabkan ungkapannya itu sendiri.

Syeikh Ibn Baz pernah ditanya, jika saya berniat untuk melakukan kebaikan dalam hati saya, adakah syaitan mengetahui tentangnya dan berusaha mengalihkan perhatian saya daripada melakukannya? Jawab Syeikh: Setiap manusia, terdapat syaitan dan malaikat padanya. Sepertimana sabda Nabi SAW:

مَا مِنْكُمْ مِنْ أَحَدٍ، إِلَّا وَقَدْ وُكِّلَ بِهِ قَرِينُهُ مِنَ الْجِنِّ قَالُوا: وَإِيَّاكَ؟ يَا رَسُولَ اللهِ قَالَ: وَإِيَّايَ، إِلَّا أَنَّ اللهَ أَعَانَنِي عَلَيْهِ فَأَسْلَمَ، فَلَا يَأْمُرُنِي إِلَّا بِخَيْرٍ

Maksudnya: “Tidaklah setiap orang daripada kamu itu (yang lahir ke dunia) melainkan dia telah diutuskan bersamanya qarinnya (teman) daripada kalangan jin. Mereka (Sahabat) bertanya: “Adakah kamu juga wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Dan aku juga, melainkan Allah telah membantuku daripada gangguannya, maka aku terselamat dan tidaklah ia (qarin) mendorongku kecuali pada perkara kebaikan.”

Riwayat Muslim (2814)

Nabi SAW memberitahu bahawa syaitan membisikkan kejahatan kepada manusia dan menyerunya kepada kejahatan. Dan syaitan mempunyai bisikan di dalam hati manusia serta mempunyai pengetahuan tentang ketetapan Allah berkenaan apa yang hamba inginkan dan niatnya daripada amalan kebaikan dan kejahatan. Dan malaikat juga mempunyai bisikan di dalam hati manusia; membisikkan kebaikan dan menyerunya kepada kebaikan. Ini adalah perkara-perkara yang diizinkan Allah untuk mereka lakukan; Iaitu Dia telah memberi kuasa kepada dua qarin; iaitu qarin daripada kalangan jin dan qarin daripada malaikat, malah Nabi SAW sendiri ada bersamanya syaitan iaitu qarin dari kalangan jin sepertimana disebutkan dalam hadith. Yang dimaksudkan adalah setiap manusia ada bersamanya qarin dari kalangan malaikat dan qarin dari kalangan syaitan.

Orang yang beriman mengalahkan syaitannya melalui ketaatan kepada Allah dan istiqamah berpegang teguh kepada agamanya, dan dia menghinakan syaitan sehingga syaitan itu menjadi lemah serta tidak mampu untuk mencegah orang beriman itu daripada melakukan kebaikan atau menyebabkan dia melakukan kejahatan kecuali apa yang dikehendaki Allah. Orang yang bermaksiat, maka dengan maksiatnya dan perbuatan buruknya akan membantu syaitannya, sehingga menguatkannya dalam membantu untuk melakukan kebatilan, dan mendorongnya melakukan kesalahan, serta menghalangnya daripada melakukan kebaikan.

Justeru, setiap orang beriman hendaklah bertakwa kepada Allah dan berusaha bersungguh-sungguh dalam berjuang memerangi syaitannya, melalui ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya, serta berlindung kepada Allah daripada syaitan. Dia hendaklah bersungguh-sungguh dalam menolong malaikatnya dengan cara mentaati Allah dan Rasul-Nya, dan melaksanakan perintah-perintah Allah SWT. (Lihat Fatawa al-Syeikh Bin Baz, 9/369)

Sesungguhnya syaitann adalah musuh yang nyata bagi manusia. Justeru, hendaklah kita menjarakkan diri daripada syaitan dengan tidak mengikut jejaknya. Inilah perjanjian kita dengan tuhan seperti dalam firman-Nya:

 ۞ أَلَمْ أَعْهَدْ إِلَيْكُمْ يَا بَنِي آدَمَ أَن لَّا تَعْبُدُوا الشَّيْطَانَ ۖ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِينٌ ‎﴿٦٠﴾‏ وَأَنِ اعْبُدُونِي ۚ هَٰذَا صِرَاطٌ مُّسْتَقِيمٌ ‎﴿٦١﴾‏

Maksudnya: “Bukankah Aku telah perintahkan kamu wahai anak-anak Adam, supaya kamu jangan menyembah Syaitan? Sesungguhnya ia musuh yang nyata terhadap kamu! “Dan (Aku perintahkan): hendaklah kamu menyembahKu; inilah jalan yang lurus.”

(Surah Yasin: 60-61)

Kami akhiri dengan doa:

نَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّامَّاتِ مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ

Maksudnya: “Kami berlindung dengan kalimah Allah yang sempurna daripada segala keburukan yang Dia ciptakan.”

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 20 September 2023 bersamaan 4 Rabiulawwal 1445