Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya syarikat saya memberi sumbang kepada saya atas pemergian mak mertua saya. Bolehkah saya guna sumbangan itu atau pun itu adalah hak waris.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan sabda Nabi SAW:
اصْنَعُوا لآلِ جَعْفَرٍ طَعَامًا فَإِنَّهُ قَدْ أَتَاهُمْ أَمْرٌ شَغَلَهُمْ
Maksudnya: Buatkan untuk keluarga Ja’far makanan yang mana sesungguhnya sesuatu (musibah kematian) telah menimpa mereka dan menyibukkan mereka.
Riwayat Abu Dawud (3132)
Imam al-Syafi’ie menyebutkan di dalam kitabnya al-Umm: “Aku suka sekiranya jiran si mati atau orang yang mempunyai pertalian keluarga dengannya memberi makan kepada ahli keluarga si mati, (iaitu makanan) yang mengenyangkan mereka pada hari dan malamnya, kerana itu ialah sunnah dan ingatan yang mulia, dan ia adalah perbuatan golongan yang baik-baik sebelum dan selepas kita. Hal ini kerana apabila tiba berita kematian Ja’far, Rasulullah SAW bersabda : “Buatlah kamu makanan kepada keluarga Ja’far kerana telah datang perkara yang menyedihkan mereka”. (Lihat Kitab Al-Umm, 1/278-279)
Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan sebaiknya duit sumbangan tersebut diberikan kepada isteri saudara atas pemergian ibunya. Hal ini kerana sumbangan tersebut sebagai tanda simpati atas pemergian orang tuanya. Manakala, sekiranya saudara mahu menggunakan duit tersebut, beritahulah kepada si isteri. Begitu juga, sebagai seorang suami, selalulah bersamanya, menasihati dan menenangkannya kerana pemergian ibu bapa merupakan satu kehilangan yang besar dalam hidup seseorang.
Kami juga berpendapat bahawa pemberian rakan taulan, sahabat handai atau jiran tetangga kepada keluarga si mati berasaskan kepada uruf dan juga menjadi penentu berkenaan penggunaan duit tersebut. Begitu juga, niat seseorang apabila memberi duit juga diambil kira berdasarkan qarinah semasa dan suasana ketika itu.
Akhir kalam, semoga pencerahan yang ringkas ini, memberi kepada kita kefahaman yang baik. Marilah sama-sama kita mendoakan kepada kaum keluarga dan sahabat handai.
رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ
Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”
Bertarikh: 22 September 2023 bersamaan 6 Rabiulawwal 1445