Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Jika ada orang islam yang hanya mengucap syahadah saja tetapi malas buat kewajipan seperti solat puasa dan lain-lain, adakah dia jatuh kafir? dia hanya malas bukan tidak percaya dan menentang.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
إِنَّ الصَّلَاةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَوْقُوتًا
Maksudnya: “Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan ke atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.”
Surah al-Nisa’ (103)
Ayat ini merupakan salah satu dalil kefardhuan solat ke atas umat Islam seluruhnya. Solat menjadi zimmah (beban) ke atas orang Muslim sehinggalah dia menunaikannya melainkan wujudnya uzur Syar’ie yang menggugurkan kewajipan atau meringankannya, maka barangsiapa yang meninggalkannya disebabkan keuzuran seperti terlupa atau tertidur, maka hendaklah dia menggantikannya sebaik sahaja tersedar ataupun terjaga. Ini berdasarkan sabda Nabi Muhammad S.A.W yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA:
مَنْ نَسِيَ صَلَاةً فَلْيُصَلِّهَا إِذَا ذَكَرَهَا، لَا كَفَّارَةَ لَهَا إِلَّا ذَلِكَ
Maksudnya: “Sesiapa yang terlupa solat, maka hendaklah dia menunaikannya apabila dia teringat akannya. Tidak ada kaffarah untuknya melainkan hal tersebut.”
Riwayat al-Bukhari (597) dan Muslim (684)
Adapun bagi mereka yang meninggalkan solat dengan sengaja yakni kerana mengingkari kewajipannya, maka kafirlah dia dan terkeluar daripada agama Islam. Manakala bagi mereka yang meninggalkan solat atas sebab malas atau melengah-lengahkannya, maka dia mendapat dosa dan hendaklah dia mengqadhakannya (menggantikannya) semula. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/103-104)
Kami kemukakan di sini ancaman bagi mereka yang meninggalkan solat fardhu dengan sengaja tanpa sebarang keuzuran, antaranya:
- Allah SWT berfirman:
فَخَلَفَ مِن بَعْدِهِمْ خَلْفٌ أَضَاعُوا الصَّلَاةَ وَاتَّبَعُوا الشَّهَوَاتِ فَسَوْفَ يَلْقَوْنَ غَيّاً (٥٩) إِلَّا مَن تَابَ وَآمَنَ وَعَمِلَ صَالِحاً
Maksudnya: “Kemudian mereka digantikan oleh keturunan-keturunan yang mencuaikan sembahyang serta menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat); maka mereka akan menghadapi azab (dalam neraka), kecuali orang-orang yang bertaubat dan beriman serta beramal soleh.”
Surah Maryam (59-60)
Berkenaan isu ini, kami telah jawab dalam artikel sebelum ini:
#2772: Solat Jenazah Bagi Orang Yang Tidak Solat Ketika Hayatnya[1]
Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan menunaikan tanggungjawab kita sebagai seorang Muslim adalah wajib. Oleh itu, sekiranya seseorang itu beragama Islam, tetapi malas solat, puasa dan seumpamanya tanpa mengingkari kewajipannya, maka dia telah dikira fasik, melakukan dosa besar dan wajib baginya mengqadhakan (mengganti) semula ibadat seperti solat yang telah ditinggalkannya. Ingatlah bahawa amalan pertama yang akan disoal oleh Allah SWT adalah solat. Sebagaimana sabda Nabi SAW:
إنّ أولَ ما يُحاسَبُ به العبدُ يومَ القِيامةِ من عَمَلِه صلاتُه، فإنْ صَلَحَتْ، فقد أفْلَحَ وأنْجَحَ، وإنْ فَسَدَتْ، فقد خاب وخَسِرَ
Maksudnya: Sesungguhnya amalan yang mula dihisab atas seseorang hamba pada hari kiamat adalah solat. Sekiranya baik solatnya maka baik segala amalannya, sekiranya buruk solatnya maka buruk segala amalannya.
Riwayat al-Tirmidhi (413), al-Nasaie (465) dan Ibn Majah (1425)
Kami juga ingin menasihatkan kepada diri kami dan seluruh umat Islam terutamanya yang menjadi ketua pemimpin mahu pun sekadar ketua keluarga hendaklah memastikan dan memerintahkan anak buah masing-masing untuk melaksanakan ibadat solat kerana itulah teras dan tiang seri agama Islam.
Kami akhiri perbincangan ini dengan mengajak untuk marilah sama-sama kita berdoa:
رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”
Surah Ibrahim (41-42)
[1] https://maktabahalbakri.com/2772-solat-jenazah-bagi-orang-yang-tidak-solat-ketika-hayatnya/
Bertarikh: 22 September 2023 bersamaan 6 Rabiulawwal 1445