#3195: Yang Paling Kuat dan Gagah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami apakah makhluk yang paling kuat dan gagah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab persoalan di atas, kami mengutip jawapan yang disampaikan oleh Fadhilatul Imam Syeikh Sya’rawi dalam syarahan tafsirnya di mana beliau menisbahkan kepada Saidina Ali RA, katanya: “Yang paling kuat dan gagah bagi tenteranya adalah sepuluh. Pertama, adalah bukit atau gunung-ganang kerana ia pasak bumi.

Firman Allah SWT:

وَالْجِبَالَ أَوْتَادًا

Maksudnya: “Dan gunung-ganang sebagai pancang pasaknya?

(Surah al-Naba’ : 7)

Keduanya, besi yang memotong dan menarah gunung-ganang. Ketiganya pula, api yang mencairkan besi. Keempatnya, air yang memadamkan api. Kelimanya, awan yang mengandungi hujan. Keenamnya, angin yang boleh memutus dan memotong awan serta membawa mengikut kehendaknya. Ketujuhnya, anak Adam yang boleh megalahkan angin dengan cara memakai pakaian sehingga dapat mengelakkan tubuh badannya. Kelapannya, mabuk boleh mengalahkan anak Adam. Kesembilannya, tidur boleh mengalahkan mabuk. Kesepuluhnya, ham atau keluh-kesah boleh menghilangkan tidur.”

Justeru, tentera Allah SWT yang paling gagah lagi ampuh adalah al-ham. Dengan sebab itu, kita diajar untuk berdoa sebagai mana Rasulullah SAW meneybut kepada Abu Umamah al-Bahili:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada kedukaan dan kesedihan. Aku berlindung kepada-Mu daripada sifat lemah dan malas. Aku berlindung kepada-Mu daripada sifat pengecut dan kedekut. Dan aku berlindung kepada-Mu daripada bebanan hutang dan penindasan manusia.”

Riwayat al-Bukhari (6369), Abu Daud (1555), al-Tirmizi (3484), al-Nasa’ie (5449) dan al-Baihaqi dalam al-Da’awat al-Kabir (305)

Al-Hamm (الْهَمِّ) (kegelisahan) dan al-Hazan (الْحَزَن) (kesedihan).

Kedua-dua perkara ini akan menjadikan jiwa tidak tenang. Al-Hamm adalah kegelisahan terhadap perkara yang mungkin akan berlaku pada masa depan. Manakala al-hazan adalah kesedihan terhadap sesuatu yang telah terjadi atau kehilangan orang dicintai. (Lihat Inilah Doaku, hlm. 99)

Rasulullah SAW pernah menyebut did alam sebuah hadith:

‌مَنْ ‌قَالَ ‌لَا ‌حَوْلَ ‌وَلَا ‌قُوَّةَ ‌إِلَّا ‌بِاللَّهِ ‌كَانَتْ ‌لَهُ ‌دَوَاءً مِنْ تِسْعٍ وَتِسْعِينَ دَاءً أَيْسَرُهَا الْهَمُّ

Maksudnya: “Sesiapa yang mengucapkan لَا ‌حَوْلَ ‌وَلَا ‌قُوَّةَ ‌إِلَّا ‌بِاللَّهِ, ia akan menjadi penawar dari 99 penyakit yang paling ringan adalah penyakit al-ham (kerisauan).”

Hadith ini diriwayatkan dalam beberapa kitab hadith. Antaranya kitab al-Du’a oleh Imam al-Tabarani.

Kami akhiri dengan doa:

  1. اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”

 

Bertarikh: 22 September 2023 bersamaan 6 Rabiulawwal 1445