Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Bolehkah seseorang melihat Jibril dalam keadaan jaga dan bukan mimpi?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Mungkin. Ini berdasarkan kepada hadith sahih seperti diriwayatkan oleh Muslim, sebagaimana sahabat melihat Jibrail yang berupa menjadi seorang lelaki bertanyakan tentang Islam, iman, ihsan, kiamat dan tandanya. Syeikh Abdul Halim Mahmud berkata, walaupun begitu, ini tidak bererti siapa sahaja boleh melihatnya mengikut kehendaknya. (Lihat Soal Jawab A-Z Tasawwuf, hlm. 162)
Kami kemukakan di sini sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Saidina Umar Ibn al-Khattab RA, katanya:
بَيْنَمَا نَحْنُ عِنْدَ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ذَاتَ يَوْمٍ إِذْ طَلَعَ عَلَيْنَا رَجُلٌ شَدِيدُ بَيَاضِ الثِّيَابِ شَدِيدُ سَوَادِ الشَّعَرِ لاَ يُرَى عَلَيْهِ أَثَرُ السَّفَرِ وَلاَ يَعْرِفُهُ مِنَّا أَحَدٌ حَتَّى جَلَسَ إِلَى النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فَأَسْنَدَ رُكْبَتَيْهِ إِلَى رُكْبَتَيْهِ وَوَضَعَ كَفَّيْهِ عَلَى فَخِذَيْهِ وَقَالَ يَا مُحَمَّدُ أَخْبِرْنِي عَنِ الإِسْلاَمِ . فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ” الإِسْلاَمُ أَنْ تَشْهَدَ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ وَتُقِيمَ الصَّلاَةَ وَتُؤْتِيَ الزَّكَاةَ وَتَصُومَ رَمَضَانَ وَتَحُجَّ الْبَيْتَ إِنِ اسْتَطَعْتَ إِلَيْهِ سَبِيلاً . قَالَ صَدَقْتَ . قَالَ فَعَجِبْنَا لَهُ يَسْأَلُهُ وَيُصَدِّقُهُ . قَالَ فَأَخْبِرْنِي عَنِ الإِيمَانِ . قَالَ ” أَنْ تُؤْمِنَ بِاللَّهِ وَمَلاَئِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ وَتُؤْمِنَ بِالْقَدَرِ خَيْرِهِ وَشَرِّهِ ” . قَالَ صَدَقْتَ . قَالَ فَأَخْبِرْنِي عَنِ الإِحْسَانِ . قَالَ ” أَنْ تَعْبُدَ اللَّهَ كَأَنَّكَ تَرَاهُ فَإِنْ لَمْ تَكُنْ تَرَاهُ فَإِنَّهُ يَرَاكَ ” . قَالَ فَأَخْبِرْنِي عَنِ السَّاعَةِ . قَالَ ” مَا الْمَسْئُولُ عَنْهَا بِأَعْلَمَ مِنَ السَّائِلِ ” . قَالَ فَأَخْبِرْنِي عَنْ أَمَارَتِهَا . قَالَ ” أَنْ تَلِدَ الأَمَةُ رَبَّتَهَا وَأَنْ تَرَى الْحُفَاةَ الْعُرَاةَ الْعَالَةَ رِعَاءَ الشَّاءِ يَتَطَاوَلُونَ فِي الْبُنْيَانِ ” . قَالَ ثُمَّ انْطَلَقَ فَلَبِثْتُ مَلِيًّا ثُمَّ قَالَ لِي ” يَا عُمَرُ أَتَدْرِي مَنِ السَّائِلُ ” . قُلْتُ اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ . قَالَ ” فَإِنَّهُ جِبْرِيلُ أَتَاكُمْ يُعَلِّمُكُمْ دِينَكُمْ ” .
Maksudnya: “Ketika kami berada di sisi Rasulullah SAW pada suatu hari, tiba-tiba datanglah seorang lelaki yang sangat putih pakaiannya dan sangat hitam rambutnya, tidak kelihatan padanya tanda perjalanan jauh dan tidak ada seorang pun di antara kami yang mengenalinya. Sehinggalah dia duduk di hadapan Nabi SAW lalu merapatkan kedua lututnya kepada lutut Baginda lalu berkata: “Wahai Muhammad, ceritakan kepadaku tentang Islam”, Sabda Rasulullah SAW: “Islam adalah engkau bersaksi bahawa tidak ada tuhan yang disembah melainkan Allah, dan Nabi Muhammad adalah utusan Allah, engkau mendirikan Solat, menunaikan zakat, berpuasa Ramadhan dan menunaikan haji jika mampu”. Kemudian dia berkata: “Anda berkata benar”. Kami hairan, dia yang bertanya, dia pula yang membenarkan.
Kemudian dia bertanya lagi: “Ceritakan kepadaku tentang Iman.” Lalu Baginda bersabda: “Engkau beriman kepada Allah, malaikat- malaikatNya, kitab-kitabNya, Rasul-RasulNya, hari akhirat dan engkau beriman kepada takdir yang baik dan yang buruk”. Kemudian dia berkata: “anda berkata benar”. Kemudian dia berkata lagi: “Beritahukan kepadaku tentang Ihsan”. Lalu Baginda bersabda: “Ihsan adalah engkau beribadah kepada Allah seakan-akan engkau melihat Nya, jika engkau tidak melihat-Nya maka Dia melihat engkau.”
Kemudian dia berkata: “Beritahukan kepadaku tentang hari kiamat (bila ia akan berlaku)”. Baginda bersabda: “Yang ditanya tidak lebih tahu dari yang bertanya”. Dia berkata: “Ceritakan kepadaku tentang tanda-tandanya”. Baginda bersabda: “Jika seorang hamba melahirkan tuannya dan jika engkau melihat penggembala kambing yang berkaki ayam, tidak berpakaian dan miskin, (kemudian) berlumba-lumba meninggikan bangunannya”.
Kemudian orang itu berlalu dan aku (Umar RA) membisu beberapa lama. Kemudian Baginda bertanya: “Wahai Umar, tahukah engkau siapa yang bertanya itu?” Aku berkata: “Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui”. Baginda bersabda: “Dialah Jibril yang datang kepada kamu untuk mengajarkan agama kamu.”
Sahih Muslim (8) pada permulaan kitab al-Iman
Berkata guru kami Syeikh Abdul Muhsin al-Abbad: “Dalam hadith Jibril ini terdapat dalil bahawa malaikat jika mendatangi manusia ia dapat berubah bentuk seperti manusia pula. Dan telah terdapat dalam Al- Quran bahawa Jibril datang kepada Maryam dalam bentuk manusia. Demikian pula mereka (para malaikat) datang kepada Ibrahim dan Luth dalam bentuk manusia. Mereka dapat berubah bentuk dari bentuk mereka yang sesungguhnya ke bentuk manusia dengan kekuasaan Allah SWT dan Allah SWT telah menyebutkan tentang bentuk penciptaan mereka dalam firman-Nya:
“الْحَمْدُ لِلَّهِ فَاطِرِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ جَاعِلِ الْمَلَائِكَةِ رُسُلًا أُولِي أَجْنِحَةٍ مَّثْنَىٰ وَثُلَاثَ وَرُبَاعَ ۚ يَزِيدُ فِي الْخَلْقِ مَا يَشَاءُ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
Maksudnya: “Segala puji bagi Allah Pencipta langit dan bumi, yang menjadikan malaikat sebagai utusan-utusan (untuk mengurus berbagai macam urusan) yang mempunyai sayap, masing-masing (ada yang) dua, tiga dan empat. Allah menambahkan pada ciptaan- Nya apa yang dikehendaki-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.”
(Surah Fathir: 1)
Dan dalam Sahih Al-Bukhari (4857) dan Sahih Muslim (174) dijelaskan bahawa Nabi SAW melihat Jibril, dan ia memiliki enam ratus sayap.
Akhir kalam, marilah sama-sama kita berdoa:
اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ.
Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.”
Bertarikh: 22 September 2023 bersamaan 6 Rabiulawwal 1445