#3204: Syeikh Abdul Wahab al-Sya’rani

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami sejarah dan manaqib Abdul Wahhab Sya’rani?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Nama beliau yang sebenar ialah Abu al-Mawahib Abd al-Wahab bin Ahmad al-Sya’rani. Dilahirkan di rumah datuk sebelah ibunya di daerah Qalyubiyah yang dikenali dengan Qalqasyandah di Mesir pada tahun 898 Hijrah. (Lihat Soal Jawab A-Z Tasawwuf, hlm. 62)

Al-Sya’rani belajar dan menghafal al-Quran ketika berumur tujuh tahun. Setelah hafal al-Quran, dia menghafal Matan al-Ajrumiyyah (ilmu nahu) dan Matan Abi Syuja’ (ilmu fiqh Syafi’i).

Kemudian dia pergi ke masjid al-Ghamri untuk menuntut ilmu. Di sana dia menghafal kitab Minhaj at-Thalibin karya Imam an-Nawawi, Alfiyyah Ibnu Malik, at-Taudhih Syarh Alfiyyah Ibnu Malik karya Ibnu Hisyam, Alfiyyah al-‘Iraqi, kitab al-Talkhis dalam ilmu balaghah karya al-Quzwini, Matan as-Syatibiyyah dalam ilmu qiraat, Qawaid Ibnu Hisyam, dan kitab Raudhah al-Thalibin karya Imam an-Nawawi sehingga bab Qadha.

Di masjid tersebut dia, dibimbing gurunya iaitu Syeikh Aminuddin, Imam masjid al-Ghamri. Kepada gurunya itu juga, dia belajar Kutub al-Sittah (Sahih Bukhari, Muslim, Abi Dawud, Tarmizi, al-Nasa’ie dan Ibn Majah) dengan cara talaqqi (membaca di hadapan guru).

Setelah itu, al-Sya’rani belajar kepada Syeikh al-Syams al-Dawakhili, Syeikh al-Nur al-Muhalla, Syeikh an-Nur al-Jawarihi, Syeikh Mulla Ali al-‘Ajmi, Syeikh Ali al-Qasthalani, Syeikhul Islam Zakariyya al-Ansari, al-Asymawi, dan Syihabuddin al-Ramli.

Di akhir perjalanan ilmiahnya, al-Sya’rani memilih jalan tasawuf melalui bimbingan para guru sufi, seperti Syeikh Ali al-Marshafi, Syaikh Muhammad al-Syanawi dan Syeikh Ali al-Khawas.

Antara kitabnya ialah:

  • Lataifu al-Minan wa al-Akhlak
  • al-Mizan al- Sya’raniah
  • Asrar al-Syariah Au Asrar al-Din
  • al Yawaqit al-Jawahir
  • Mukthasar Sunan al-Baihaqi al-Kubra dan lain-lain lagi. (Lihat Soal Jawab A-Z Tasawwuf, 62)

Beliau bermazhab Syafi’i dan meninggal pada tahun 973 H di Kaherah. Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”

Surah al-Hasyr (10)

Bertarikh: 22 September 2023 bersamaan 6 Rabiulawwal 1445