Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Kenapa Allah SWT menamakan Nabi Ibrahim sebagai khalilullah atau kekasih Allah SWT?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
وَمَنْ أَحْسَنُ دِينًا مِّمَّنْ أَسْلَمَ وَجْهَهُ لِلَّهِ وَهُوَ مُحْسِنٌ وَاتَّبَعَ مِلَّةَ إِبْرَاهِيمَ حَنِيفًا ۗ وَاتَّخَذَ اللَّهُ إِبْرَاهِيمَ خَلِيلًا
Maksudnya: “Dan tidak ada yang lebih baik ugamanya daripada orang yang menyerahkan dirinya kepada Allah (dengan ikhlas), sedang ia berusaha mengerjakan kebaikan, dan ia pula mengikut ugama Nabi Ibrahim yang lurus (yang tetap di atas dasar tauhid); dan (kerana itulah) Allah menjadikan Nabi Ibrahim kesayanganNya.”
(Surah al-Nisa’: 125)
Nabi Ibrahim AS merupakan salah seorang nabi dan rasul yang sangat penting dalam agama Islam, dan juga agama lain seperti Nasrani dan Yahudi. Baginda telah diberi gelaran Khalil Ullah iaitu “Kekasih Allah”. Selain itu baginda bersama anaknya Nabi Ismail AS sangat terkenal sebagai pengasas Kaabah. Baginda juga merupakan salah seorang daripada lima orang nabi Ulul Azmi.
Nabi Ibrahim AS ialah putera kepada Tarikh bin Nahor bin Sarug bin Raghu bin Faligh bin Aaabir bin Syalikh bin Arfakhsyad bin Saam bin Nuh AS. Manakala Azar adalah bapa saudara Nabi Ibrahim, bukanlah bapa kandung baginda. Kalimah “Abi” di dalam bahasa Arab kadangkala membawa makna bapa kandung dan kadangkala juga membawa makna bapa saudara.
Awalnya, baginda dilahirkan di sebuah tempat bernama “Faddam A’ram” dalam Empayar Neo-Babylon yang pada waktu itu diperintah oleh seorang raja zalim bernama “Namrud bin Kan’aan.” Sebelum itu keadaan tempat kelahirannya berada dalam kucar-kacir. Hal ini adalah kerana Raja Namrud mendapat petanda bahawa seorang bayi akan dilahirkan dan akan membesar dan merampas takhtanya.
Antara sifat insan yang akan menentangnya ialah dia akan membawa agama yang mempercayai satu tuhan dan menjadi pemusnah berhala. Insan ini juga akan menjadi penyebab Raja Namrud mati dengan dahsyat. Oleh itu, Raja Namrud mengarahkan semua bayi dibunuh, manakala lelaki dan wanita pula dipisahkan selama setahun.
Walaupun begitu dalam keadaan cemas ini, kehendak Allah tetap terjadi. Isteri kepada Tarikh telah mengandung tanpa menunjukkan tanda-tanda kehamilan.
Pada suatu hari, dia terasa tiba waktunya melahirkan anak dan sedar sekiranya diketahui Raja Namrud, pasti dia serta anaknya dibunuh. Dalam ketakutan, ibu Ibrahim melahirkan anaknya di dalam sebuah gua yang berhampiran. Selepas itu, dia memasuk batu-batu kecil dalam mulut bayinya itu dan meninggalkannya keseorangan. Seminggu kemudian, dia bersama suaminya telah ke gua tersebut dan terkejut melihat Ibrahim AS masih hidup.
Selama seminggu, bayi itu menghisap celah jarinya yang mengandungi susu dan makanan lain yang berkhasiat. Semasa berusia 15 bulan tubuh Nabi Ibrahim telah membesar dengan cepatnya seperti kanak-kanak berusia dua tahun. Maka ibubapanya berani membawanya pulang ke rumah.
Berbalik kepada soalan yang diajukan, ketika Nabi Ibrahim AS ditanya tentang kenapa Allah SWT menjadikannya sebagai Khalilullah, baginda menjawab:
“Kerana tiga sebab:
- Tiada aku disuruh memilih dua perkara kecuali aku pilih untuk Allah SWT daripada yang lainnya.
- Aku tidak pernah risau terhadap rezekiku yang dijamin oleh Allah SWT.
- Dan aku tidak pernah makan sama ada waktu siang atau malam kecuali bersama tetamu.” (Lihat Soal Jawab A-Z Tasawwuf, hlm. 64-65)
Kami akhiri dengan doa:
أَصْبَحْنَا عَلَى فِطْرَةِ الْإِسْلَامِ وَعَلَى كَلِمَةِ الْإِخْلَاصِ ، وَعَلَى دِينِ نَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، وَعَلَى مِلَّةِ أَبِينَا إِبْرَاهِيمَ حَنِيفًا مُسْلِمًا وَمَا كَانَ مِنَ الْمُشْرِكِينَ
Maksudnya: “Kami hayati pagi ini di atas landasan fitrah dan perwatakan Islam, berpegang kepada kalimah ikhlas (kalimah syahadah), dan berpegang kepada agama Nabi kami Muhammad SAW yang juga agama ayah kami Ibrahim, yang berada di atas jalan yang lurus, muslim dan tidak tergolong dari kalangan orang-orang musyrik.”
Riwayat Ahmad (15360), (15363); al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (9831) dan al-Tabarani dalam al-Du’a (293)
Bertarikh: 22 September 2023 bersamaan 6 Rabiulawwal 1445