#3209: Menjawab Azan Yang Dikumandangkan Melalui Televisyen Atau Radio

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada persoalan, adakah perlu menjawab azan yang dikumandangkan melalui Televisyen atau Radio ? Mohon pencerahan. Terima Kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Azan merupakan zikir yang khusus. Islam mensyariatkannya sebagai pemberitahuan masuknya waktu solat fardhu serta menyeru orang Islam bersama menunaikan solat. Hukum azan bagi solat fardhu dan solat qadha’ adalah sunat muakkad, iaitu sunat kifayah bagi solat berjemaah dan sunat ainiah bagi solat bersendirian. Azan mempunyai peranan yang amat penting bagi menzahirkan syiar Islam. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/113).

Selain itu, disunatkan bagi seseorang itu untuk mendengar azan yang dilaungkan oleh muazin dan menjawabnya. Hal ini adalah sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amr R.A, Nabi SAW bersabda:

إِذَا سَمِعْتُمُ الْمُؤَذِّنَ ، فَقُولُوا مِثْلَ مَا يَقُولُ ثُمَّ صَلُّوا عَلَيَّ ، فَإِنَّهُ مَنْ صَلَّى عَلَيَّ صَلاَةً صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ بِهَا عَشْرًا ، ثُمَّ سَلُوا اللَّهَ لِيَ الْوَسِيلَةَ ، فَإِنَّهَا مَنْزِلَةٌ فِي الْجَنَّةِ ، لاَ تَنْبَغِي إِلاَّ لِعَبْدٍ مِنْ عِبَادِ اللهِ ، وَأَرْجُو أَنْ أَكُونَ أَنَا هُوَ ، فَمَنْ سَأَلَ لِي الْوَسِيلَةَ حَلَّتْ لَهُ الشَّفَاعَةُ

Maksudnya: “Apabila kamu semua mendengar muazzin (melaungkan azan), maka sebutlah sebagaimana yang muazzin itu laungkan. Kemudian selawatlah ke atasku. Sesungguhnya sesiapa yang berselawat sekali kepadaku, Allah akan berselawat kepadanya sebanyak 10 kali. Kemudian mohonlah kepada Allah agar aku mendapat wasilah. Sesungguhnya ia adalah satu kedudukan di syurga yang hanya layak kepada seorang hamba Allah. Aku berharap agar aku adalah orang tersebut. Sesiapa yang memohon wasilah untuk aku, maka syafaatku akan diberikan kepadanya.”

Riwayat Muslim (384), Abu Daud (523) dan al-Nasa’ie (678)

Selain itu, dalil perintah menjawab azan yang dikumandangkan dengan cara mengulangi apa yang telah disebutkan oleh muazzin adalah berdasarkan sebuah hadis yang mana Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا سَمِعْتُمُ النِّدَاءَ فَقُولُوا مِثْلَ مَا يَقُولُ الْمُؤَذِّنُ

Maksudnya: “Apabila kalian mendengar azan maka ucapkanlah sama seperti yang muazzin katakan.”

Riwayat Muslim (383)

Menurut Dr. Muhammad al-Zuhaili, disunatkan kepada sesiapa yang mendengar azan untuk menjawabnya, tidak kira orang tersebut dalam keadaan suci ataupun berhadas, orang yang berjunub atau perempuan yang sedang haid, orang dewasa mahupun kanak-kanak. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 1/190). Hal ini kerana mereka itu kesemuanya termasuk dalam kalangan ahli zikir. Begitu juga dikecualikan daripada hal ini — yakni menjawab azan — orang yang sedang mendirikan solat, yang sedang berada di dalam tandas dan yang sedang berjimak. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 3/118).

Menjawab persoalan di atas, dalam isu ini kami berpandangan bahawa menjawab azan yang dikumandangkan secara langsung melalui televisyen atau radio adalah sunat dan ia dianggap setara dengan azan yang berkumandang secara langsung di masjid. Azan adalah salah satu daripada syiar Islam yang amat perlu diagungkan dan dihormati oleh umat Islam. Oleh yang demikian, menjawab azan adalah tindakan yang sangat dianjurkan dalam Islam sebagai memberi penghormatan kepada panggilan agung ini dan menunjukkan rasa hormat kepada Allah SWT.

Dalam isu ini Syeikh Abdul Karim Khudair menyebut: “Azan yang diperdengarkan dari suatu alat di mana azan tersebut adalah secara langsung (live) dari Masjidil Haram melalui radio, atau dari salah satu masjid besar di kota (tertentu) yang disiarkan secara langsung (live) melalui radio, maka ia dianggap sebagai azan hakiki dan diperintahkan untuk menjawab. Azan secara live melalui radio tersebut, adalah dikira sama  dengan azan yang disebarkan melalui alat pembesar suara.

Namun jika azan tersebut adalah hasil rakaman (di kaset atau CD) dan bukan secara langsung (live), maka muazzinnya kita anggap seperti tidak ada….Maka azan seperti ini tidak perlu dijawab dan tidak dianggap seperti hukum azan.”[1]

Syeikh Soleh al-Uthaimin pernah ditanya mengenai azan yang dikumandangkan melalui radio atau televisyen adakah perlu dijawab lalu beliau menjawab : azan ini tidak terkecuali dengan dua situasi:

Situasi pertama: Apabila ia disiarkan secara langsung, iaitu apabila azan dikumandangkan pada waktu solat oleh muazzin, maka disarankan untuk menjawab azan tersebut. Hal ini berdasarkan umum hadith Nabi SAW yang menyatakan:  ‘Apabila kamu mendengar muazzin mengumandangkan azan, maka katakanlah seperti apa yang dikatakannya.’ Namun, sebahagian fuqaha menyatakan: Jika seseorang sudah menunaikan solat yang diazankan tersebut, maka dia tidak perlu untuk menjawab azan tersebut.

Situasi kedua: Apabila azan itu dirakam dan bukan azan sebenar pada waktu solat, maka tidak perlu menjawabnya. Ini kerana ia bukanlah azan yang sebenar. (Lihat Majmu’ Fatwa Warasail al-Uthaimin,12/196)

Justeru kami katakan di sini bahawa azan yang disiarkan secara langsung melalui televisyen atau radio adalah disunatkan untuk dijawab jika ia disiarkan ketika masuk waktu solat. Namun, jika azan yang disiarkan bukan pada waktu solat yang sebenar, kami berpendapat bahawa tidak perlu untuk menjawabnya kerana ia bukanlah azan yang sebenar. Hal ini penting untuk memahami perbezaan antara azan yang sah pada waktu solat dan rakaman azan yang mungkin disiarkan untuk tujuan lain.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّار

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

(Surah al-Baqarah:201)

Wallahua’lam

[1] Lihat https://almoslim.net/node/133719 Diakses pada 20 September

Bertarikh: 25 September 2023 bersamaan 9 Rabiulawwal 1445