#3210: Dikenakan Azab Kubur, Terlepas Azab Neraka?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Ada seorang penceramah berkata, “Adalah lebih baik kena siksa kubur daripada siksa neraka.” Soalan saya, adakah ini bermaksud mereka yang mendapat siksa kubur (atas sesuatu kesalahan) akan terlepas daripada siksa neraka (atas kesalahan yang sama)? Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ ۗ وَنَبْلُوكُم بِالشَّرِّ وَالْخَيْرِ فِتْنَةً ۖ وَإِلَيْنَا تُرْجَعُونَ

Maksudnya: Tiap-tiap diri akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan.

Surah al-Anbiya’ (35)

Berkenaan isu ini, kami juga ada jawab dalam artikel sebelum ini:

#2036: Mati Syahid Terlepas Seksaan Kubur?[1]

#676 Bahasa Yang Digunakan Di Dalam Kubur Ketika Disoal Malaikat[2]

Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan azab kubur merupakan azab yang kecil jika dibandingkan dengan azab di neraka. Maka, mereka yang diazab di alam barzakh turut akan dihisab oleh Allah SWT sama ada ke syurga atau ke neraka. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

فَوَقَىٰهُ ٱللَّهُ سَيِّـَٔاتِ مَا مَكَرُوا۟ ۖوَحَاقَ بِـَٔالِ فِرْعَوْنَ سُوٓءُ ٱلْعَذَابِ ﴿٤٥﴾ ٱلنَّارُ يُعْرَضُونَ عَلَيْهَا غُدُوًّا وَعَشِيًّا ۖ وَيَوْمَ تَقُومُ ٱلسَّاعَةُ أَدْخِلُوٓا۟ ءَالَ فِرْعَوْنَ أَشَدَّ ٱلْعَذَابِ

Maksudnya: Dan Firaun bersama-sama kaumnya ditimpa azab seksa yang seburuk-buruknya. Mereka didedahkan kepada bahang api neraka pada waktu pagi dan petang (semasa mereka berada dalam alam barzakh), dan pada hari berlakunya kiamat (diperintahkan kepada malaikat): “Masukkanlah Firaun dan pengikut-pengikutnya ke dalam azab seksa api neraka yang seberat-beratnya!”

(Surah Ghafir: 45-46)

Begitu juga, dalam nas Ilahi yang lain, Allah telah berfirman:

سَنُعَذِّبُهُم مَّرَّتَيْنِ ثُمَّ يُرَدُّونَ إِلَىٰ عَذَابٍ عَظِيمٍ

Maksudnya: “Kami akan azabkan mereka berulang-ulang, kemudian mereka dikembalikan kepada azab yang besar.”

(Surah al-Taubah: 101)

Al-Syaukani berkata: Firman Allah, ‘سَنُعَذِّبُهُم مَّرَّتَيْنِ’, yakni dengan terdedahnya kemunafikan mereka serta azab yang ditimpakan kepada mereka di akhirat. Pendapat lain menyatakan bahawa yang dimaksudkan dengan dua kali adalah dengan musibah-musibah yang menimpa diri, harta dan anak-anak mereka, serta azab kubur. (Lihat Fath al-Qadir, 2/452)

Syeikh Abd al-Rahman bin Nasir al-Sa’di berkata: “Ada kemungkinan dua kali itu adalah dua kali yang sebenarnya, iaitu di dunia dan di akhirat. Di dunia, dalam bentuk kecemasan, kesedihan dan kebencian terhadap kemenangan dan keunggulan yang diraih oleh orang-orang beriman, dan di akhirat adalah azab neraka yang merupakan tempat terburuk. Ada kemungkinan bahawa maksudnya adalah Kami akan memberatkan azab ke atas mereka, menggandakannya dan mengulang-ulangnya ke atas mereka.” (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 431)

Rasulullah SAW mengajar kita sebuah doa:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ ، وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada seksa kubur, daripada azab api neraka, daripada fitnah kehidupan dan kematian, dan daripada fitnah al-Masih al-Dajjal.”

Riwayat al-Bukhari (1377) dan Muslim (1352)

Kemudian, Imam al-Nawawi menyebut: Hadith ini menunjukkan thabitnya azab kubur dan fitnahnya. Inilah mazhab yang benar berbanding dengan pegangan mazhab Mu’tazilah. (Lihat Syarh Sahih Muslim, 5/85)

Al-Hafiz Ibn Hajar menjelaskan: Para ahli bahasa berkata bahawa ‘fitnah’ ialah ujian dan cubaan. Al-Qadhi ‘Iyadh berkata: “Dalam kehidupan seharian, perkataan tersebut digunakan untuk sesuatu yang tidak disukai.” Perkataan ini boleh juga bermakna pembunuhan, naminah (adu domba) dan sebagainya. (Lihat Fath al-Bari, 4/682)

Al-Azhari menyebut: “Inti makna fitnah di dalam bahasa Arab terkumpul pada makna cubaan dan ujian.” (Lihat Tahzib al-Lughah, 14/296 dan Mu’jam Maqayis al-Lughah, 4/472)

Ibn al-Athir pula berkata: “(Perkataan fitnah) banyak penggunaannya dalam perkara yang tidak disukai. Kemudian ia banyak digunakan untuk makna-makna; dosa, kekafiran, perang, pembakaran, penghilangan dan memalingkan sesuatu.” (Lihat al-Nihayah, 3/410)

Ibn al-A’rabi telah meringkaskan makna-makna fitnah dengan menyebut:  “Fitnah bermakna ujian, fitnah bermakna cubaan, fitnah bermakna harta, fitnah bermakna anak-anak, fitnah bermakna kekafiran, fitnah bermakna perselisihan pendapat di antara manusia, fitnah bermakna pembakaran dengan api.” (Lihat Lisan al-’Arab, 13/317)

Justeru, kami katakan dua azab tersebut berbeza dan kita mohon kepada Allah SWT agar kedua-duanya kita selamat.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Kami menutup dengan doa:

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِحَيِّنَا وَمَيِّتِنَا وَصَغِيرِنَا وَكَبِيرِنَا وَذَكَرِنَا وَأُنْثَانَا وَشَاهِدِنَا وَغَائِبِنَا اللَّهُمَّ مَنْ أَحْيَيْتَهُ مِنَّا فَأَحْيِهِ عَلَى الْإِيمَانِ وَمَنْ تَوَفَّيْتَهُ مِنَّا فَتَوَفَّهُ عَلَى الْإِسْلَامِ اللَّهُمَّ لَا تَحْرِمْنَا أَجْرَهُ وَلَا تُضِلَّنَا بَعْدَهُ

Maksudnya: “Ya Allah, Ampunkanlah dosa orang yang hidup di kalangan kami, yang mati, yang kecil, yang besar, lelaki, perempuan, yang hadir dan yang ghaib. Ya Allah, siapa yang Kamu hidupkannya di kalangan kami maka hiduplah ia di atas iman dan siapa yang mematikannya maka matilah ia di atas Islam. Ya Allah janganlah Kamu halangkan kami dari pahalanya dan sesatkan kami selepasnya.”

Wallahua`lam.

[1] https://maktabahalbakri.com/2037-mati-syahid-terlepas-seksaan-kubur/

[2] https://maktabahalbakri.com/276-bahasa-yang-digunakan-di-dalam-kubur-ketika-disoal-malaikat/

Bertarikh: 25 September 2023 bersamaan 9 Rabiulawwal 1445