Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya remaja yang berminat untuk mendalami ilmu agama. Apakah kitab-kitab yang patut saya rujuk dalam bidang akidah, ibadah dan tasawwuf? Mohon pencerahan. Terima kasih Datuk Dr.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Pertamanya, kami nyatakan firman Allah SWT:
وَمَا كَانَ الْمُؤْمِنُونَ لِيَنفِرُوا كَافَّةً ۚ فَلَوْلَا نَفَرَ مِن كُلِّ فِرْقَةٍ مِّنْهُمْ طَائِفَةٌ لِّيَتَفَقَّهُوا فِي الدِّينِ وَلِيُنذِرُوا قَوْمَهُمْ إِذَا رَجَعُوا إِلَيْهِمْ لَعَلَّهُمْ يَحْذَرُونَ
Maksudnya: “Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam ugama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah).”
(Surah al-Taubah: 122)
Ibn al-Arabi berkata: Makna umum ayat ini, yakni kepada hak sesiapa yang datang selepas wafat Nabi SAW, ialah bahawa bukan umat islam perlu keluar berjihad kesemuanya tetapi hendaklah sebahagian mereka bertafaqquh (mendalami ilmu) dalam agama. Kemudian mereka pulang kepada kaumnya untuk ajar mereka. Justeru menuntut ilmu diasingkan daripada jihad fi sabilillah sedangkan jihad merupakan jalan kemuncak islam itu sendiri. (Lihat Ahkam al-Quran, 2/601)
Imam al-Qurtubi berkata: “Ayat ini merupakan asas tentang wajibnya menuntut ilmu. Kerana tidak seharusnya orang beriman itu pergi ke medan perang kesemuanya, sedangkan Nabi SAW tidak, sehingga mereka meninggalkan Baginda sendiri. Mereka membatalkan keinginan mereka setelah mengetahui tidak dibolehkan pergi secara keseluruhan. Beberapa orang daripada tiap-tiap golongan perlu tetap tinggal bersama Nabi SAW untuk mempelajari agama. Sehingga apabila orang-orang yang pergi berperang itu telah kembali, mereka dapat mengkhabarkan dan menyebarkan ilmu pengetahuan mereka. Dalam ayat ini juga terdapat kewajiban untuk memahami al-Kitab dan al-Sunnah. Dan kewajiban tersebut adalah kewajiban kifayah dan bukan wajib ‘ain. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 8/293)
Al-Alusi menjelaskan: “Hakikatnya, penggunaan ‘untuk mengajar’ (لِيُعْلِمُوْا) lebih sesuai berbanding ‘memberi peringatan’ (لِيُنذِرُوا) dan ‘supaya mereka faqih’ (يَتَفَقَّهُوْا) berbanding ‘berjaga-jaga dari melakukan larangan Allah’ (يَحْذَرُونَ). Akan tetapi, dipilih perkataan perkataan tersebut berbanding istilah yang satu lagi sebagai isyarat bahawa matlamat guru hendaklah untuk memberi petunjuk dan peringatan. Sedangkan matlamat penuntut ilmu pula adalah untuk meraih rasa takut kerana Allah SWT, bukan bersenangan dan merasa takabbur dengan ilmu. (Lihat Ruh al-Ma’ani, 11/48)
Syeikh al-Sa’di pula menjelaskan bahawa Allah SWT menyuruh sebahagian daripada umatnya untuk mempelajari ilmu syarak dan mempelajari larangan-larangan agama, memahami rahsia-rahsianya, dan mempelajari juga ilmu selainnya dan seterusnya mengajar kaumnya setelah sebahagian dari mereka yang lain pulang (dari berjihad). (Lihat Tafsir al-Sa’di, hlm. 355)
Al-Maraghi menyebut dalam Tafsir-nya: “Mengapa tidak ada sebahagian sahaja atau sekelompok kecil sahaja yang keluar bertempur dari setiap golongan besar orang mukmin seperti penduduk suatu negeri atau suatu suku, dengan maksud supaya orang mukmin keseluruhannya dapat mendalami agama mereka. Iaitu dengan cara orang yang tidak berangkat dan tinggal di kota Madinah, berusaha keras untuk memahami pengajaran agama yang wahyu-Nya diturunkan kepada nabi SAW sehari demi sehari dalam bentuk ayat-ayat, mahupun hadis-hadis daripada baginda yang menerangkan ayat-ayat tersebut, sama ada dengan perkataan atau perbuatan. Maka menjadi jelas perkara yang masih mujmal dengan (melihat) kepada perbuatan Nabi. Di samping itu, orang yang mendalami agama dapat memberi peringatan kepada kaumnya yang keluar berperang ketika menghadapi musuh apabila mereka telah kembali ke dalam kota.”
Syeikh al-Maraghi turut berkata: Ayat ini diturunkan bagi melengkapkan hukum-hukum yang bersangkut dengan perjuangan. Iaitu hukum mengenai pencarian ilmu dan mendalami urusan agama. Ertinya, melalui mempelajari ilmu secara mendalam itu merupakan suatu cara berjuang yang menggunakan hujjah dan menyampaikan beberapa bukti dan juga merupakan suatu rukun yang terpenting dalam aspek menyeru kepada keimanan dan menegakkan sendi-sendi Islam. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 11/47)
Menurut Syeikh al-Maraghi lagi, ayat ini menjelaskan hukum mendalami (tafaqquh) ilmu agama kerana ia merupakan jalan kepada jihad dengan hujjah dan dalil. Ia adalah rukun dalam berdakwah kepada iman dan menegakkan prinsip-prinsip Islam. Kerana itu, jihad perang tidak disyariatkan kecuali bagi memelihara dakwah Islam daripada dipermain-mainkan oleh golongan yang melampau daripada kalangan orang kafir dan munafik. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 11/47)
Justeru dapat difahami bahawa ayat ini menjelaskan bahawa mendalami ilmu agama sehingga menjadi alim atau faqih merupakan fardu kifayah kepada sebahagian umat Islam. Tidak seharusnya seluruh umat Islam dikerah untuk berjihad sehingga tiada seorang pun dalam kalangan mereka yang menjadi faqih atau alim dalam permasalahan agama. (Lihat Tinta Nasihat untuk Penuntut Ilmu, hlm. 50-53)
Menjawab kepada persoalan di atas, kami syorkan terlebih dahulu belajarlah dengan cara berguru atau bertalaqqi dengan para asatizah sama ada di sekolah, universiti atau pun di masjid-masjid atau mana-mana kuliah. Seboleh-bolehnya, secara berkitab.
Peringkat awalnya bolehlah mempelajari melalui pengenalan secara ringkas atau dikenali sebagai al-Madkhal al-’Am sebagai contoh dalam kitab tauhid Akidah al-Awam, Kitab Usul al-Imam oleh guru kami Syeikh Wahbah al-Zuhaili. Kitab Akidah Islamiyyah oleh guru kami Syeikh Mustafa al-Khin dan juga Kubra al-yakiniyah oleh guru kami Syeikh Muhammad Sa’id Raamdhan al-Buti.
Adapun, dalam bidang fiqh, seperti kitab Safinah al-Naja kitab al-Fiqh al-Manhaji dan lain-lain. Sedangkan ilmu tasawwuf pula seperti kitab Minhaj al-‘Abidin oleh al-Imam al-Ghazali dan lain-lain. Sebenarnya, terlalu banyak kitab-kitab yang dihasilkan oelh para ulama bagi kita untuk permulaannya.
Kami akhiri dengan pandangan ulama dan kaedah serta adab ketika menuntut ilmu. Imam al-Mawardi dalam Adab al-Dunya Wa al-Din menyebut: “Ketahuilah bahawa semua ilmu ada permulaannya yang membawa kepada akhir, pengenalan yang membawa kepada hakikat. Justeru hendaklah pelajar memulakan dengan awalannya hingga ke akhirnya. Jangan mulakan akhir sebelum mengenal awal dan hakikat sebelum pengenalan.”
Ibu Abbas R.Anhuma pernah berkata:
العِلْمُ أَكْثَرُ مِنْ أَن يُحْصَى فَخُذُوا مِن كُلِّ شَيْءٍ أَحْسَنَهُ
Maksudnya: “Ilmu itu amat banyak daripada yang termampu untuk dihitung, maka ambillah setiap sesuatu itu yang terbaik.”
Syeikh Muhammad Awwamah berkata: Perkara pertama yang sepatutnya penuntut ilmu pelajari ada dua perkara iaitu:
- Pertama: Ilmu bahasa Arab yang terdiri daripada nahu, saraf, lughah, ulum balaghah seperti ma`ani, bayan dan badi’.
- Kedua: Fiqh pula ialah fiqh mazhab dengan cara tadarruj (beransur-ansur) mengkaji:
- Matan-matan.
- Mukhtasar (ringkasan)
Antara kelebihan fiqh, kita dapati padanya bak mutiara kata:
Ibn Muflih dalam al-Adab al-Syar’iyyah:
فَصْلٌ فِي فَضْلِ الجَمْعِ بَيْنَ الحَدِيْثِ وَفِقْهِهِ
Maksudnya: “Satu bahagian daripada kelebihan ialah menggabungkan hadis dan kefahaman terhadapnya.”
- Pengarang al-Muhit daripada ulama Hanafi:
فَضْلُ العُلُومِ عِندَ الجُمْهُورِ بَعْدَ مَعْرِفَةِ أَصْلِ الدَيْنِ وعِلْمُ البقينِ مَعْرِفَةُ الفِقْهِ والأَحْكَامُ الفَاصِلَةُ بَيْنَ الحَلالِ والحَرَامِ
Maksudnya: “Kelebihan ilmu-ilmu di sisi majoriti ulama selepas ilmu usuluddin dan ilmu keyakinan ialah ilmu fiqh dan hukum-hakam yang membezakan antara halal dan haram.”
- Ibn al-Jauzi berkata: “Siapa yang mempunyai semangat yang kental, muhasabah dirinya, banyak sibuk dengan yang paling penting dapat setiap ilmu dan menjadikan mashghul-nya dengan fiqh, maka sebenarnya dia adalah sebesar-besar ilmu dan sepentingnya.”
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
Bertarikh: 25 September 2023 bersamaan 9 Rabiulawwal 1445