Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimanakah tatacara solat yang betul mengikut mazhab Syafie dari takbiratul ihram hingga memberi salam? Terima kasih Dr.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Pertamanya, kami ucapkan tahniah kerana keprihatinan dan cakna anda dalam agama. Seperti yang kita ketahui, solat adalah tiang seri kepada agama yang mesti kita laksanakan mengikut perintah Allah SWT dan rasul-Nya dengan cara yang diajar sebagaimana hadith Rasulullah SAW: Daripada Malik bin al-Huwairith, sabda Rasulullah SAW:
صَلُّوا كَمَا رَأَيْتُمُونِي أُصَلِّي
Maksudnya: “Solatlah kamu semua sepertimana kamu semua melihat aku mendirikan solat.”
Riwayat al-Bukhari (6008) dan Muslim (674)
Imam al-Nawawi berkata: Hadis ini mengisyaratkan tuntutan agar mengerjakan ibadah mengikut cara bagaimana Rasulullah SAW ajarkan dan juga praktikkan. (Lihat al-Majmu‘, 4/521)
Dalam menjawab persoalan di atas, kami katakan bahawa kami pernah menterjemah secara khusus kitab Safinah al-Naja oleh Syeikh Salim bin Sumair al-Hadrami cetakan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. Ia bermula dengan rukun Islam, rukun iman, makna kalimah tauhid, tanda-tanda baligh, syaratnya boleh menggunakan batu ketika istinjak sehinggalah akhirnya bab solat yang diterangkan satu-persatu bermula pada muka surat 99 hingga 150 iaitu perkara yang membatalkan solat.
Kami syarahkannya satu per satu dan kami namakannya al-mujtaba fi syarhi safinah al-Naja. Semoga ia memberi manfaat kepada anda, begitu juga, anda boleh rujuk dalam laman web kami maktabahalbakri.com.
Kami akhiri dengan doa:
رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”
Surah Ibrahim (40)
Bertarikh: 25 September 2023 bersamaan 9 Rabiulawwal 1445