#3216: Tanggungjawab Muslim Terhadap Rasulullah SAW

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Sempena dengan Maulidurrasul SAW, boleh Dato’ Seri nyatakan kepada kami bagaimana tanggungjawab kita yang sebenarnya terhadap Rasulullah SAW?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami telah menjawab persoalan ini dengan panjang lebar, antara lain kami katakan:

Selepas kita mengenali Rasulullah SAW, sudah pasti timbul perasaan sayang, cinta dan rindu kepada Rasulullah SAW. Antara perkara asas ialah:

  • Beriman dengan risalah dan nubuwwah Rasulullah SAW. Maksud sebenar beriman dengan cara meyakini dan juga mengikuti segala syariatnya serta beramal dengannya.
  • Mengikut dan mematuhi perintah dan suruhannya. Ini berdasarkan nas al-Quran firman Allah SWT:

قُلۡ إِن كُنتُمۡ تُحِبُّونَ ٱللَّهَ فَٱتَّبِعُونِي يُحۡبِبۡكُمُ ٱللَّهُ وَيَغۡفِرۡ لَكُمۡ ذُنُوبَكُمۡۚ

Maksudnya: Katakanlah: “Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah SWT, ikutilah aku, nescaya Allah SWT mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu.”

(Surah Ali ‘Imran: 31)

  • Merindui dan mengkaji sirah dan sunnahnya.
  • Tidak menentang syariatnya. Ini berdasarkan nas al-Quran firman Allah SWT:

فَلۡيَحۡذَرِ ٱلَّذِينَ يُخَالِفُونَ عَنۡ أَمۡرِهِۦٓ أَن تُصِيبَهُمۡ فِتۡنَةٌ أَوۡ يُصِيبَهُمۡ عَذَابٌ أَلِيمٌ

Maksudnya: Maka hendaklah orang yang menyalahi perintah Rasul dan melakukan maksiat kepadanya merasa takut akan ditimpa fitnah atau ditimpa azab yang pedih.

(Surah al-Nur: 63)

  • Menziarahi makam Rasulullah SAW dan masjidnya.
  • Memperbanyak selawat dan salam ke atasnya.
  • Mentaati Rasulullah SAW dan menyebarkan sunnahnya. Ini berdasarkan nas al-Quran al-Karim firman Allah SWT:

قُلۡ أَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَٱلرَّسُولَۖ فَإِن تَوَلَّوۡاْ فَإِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ ٱلۡكَٰفِرِينَ

Maksudnya: Katakanlah: Taatilah Allah SWT dan Rasul-Nya; jika kamu berpaling, maka sesungguhnya Allah SWT tidak menyukai orang-orang kafir.

(Surah Ali-Imran: 32)

  • Mengasihi dan mencintai Rasulullah SAW hendaklah melebihi daripada mencintai ayahnya, anaknya dan semua orang.
  • Menjadikannya sebagai panduan dan contoh suri tauladan dalam kehidupan. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

لَّقَدۡ كَانَ لَكُمۡ فِي رَسُولِ ٱللَّهِ أُسۡوَةٌ حَسَنَةٞ لِّمَن كَانَ يَرۡجُواْ ٱللَّهَ وَٱلۡيَوۡمَ ٱلۡأٓخِرَ وَذَكَرَ ٱللَّهَ كَثِيرًا

Maksudnya: Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik.

(Surah al-Ahzab: 21)

Abu al-Hasan al-Nadwi berkata:

  • Jika anda seorang pemuda, maka teladan yang paling elok dan paling cantik bagimu adalah Nabi Muhammad SAW.
  • Jika anda telah mencapai umur tua, maka Baginda SAW adalah contoh anda.
  • Jika anda fakir dan miskin, maka Baginda SAW adalah teladan dan contoh bagi anda.
  • Jika anda kaya, maka Baginda SAW imam anda.
  • Jika anda berangkat untuk berperang, maka Baginda SAW juga turut serta berperang.
  • Jika kamu menginginkan perdamaian, maka Baginda SAW akan memberikan kedamaian sebelum kamu memintanya.
  • Jika anda redha, maka Baginda SAW pun redha.
  • Jika anda marah (tidak menerima sesuatu), maka Baginda SAW pun demikian halnya. (Lihat Garis Masa Hayat al-Rasul SAW, 354-356)

 Marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah SWT:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”

Bertarikh: 25 September 2023 bersamaan 9 Rabiulawwal 1445