#3218: Hukum ‘Manifesting’

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada satu soalan: Apakah hukum ‘manifesting?’ Saya ada tengok posting dan comment di media sosial dan ada yang beranggapan ianya haram. Betulkah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Manifestasi menurut Kamus Dewan Edisi Keempat bermaksud perbuatan atau ucapan yang memperlihatkan atau menjadikan sesuatu itu. Ia juga didefinisikan sebagai melahirkan, memperli­hatkan, menunjukkan, menjadikan nyata. [1]

Manifesting atau manifestasi fikiran adalah cara untuk mendapatkan apa yang diinginkan. Kebiasaannya, manifestasi bermula dengan merumuskan matlamat atau keinginan tertentu, membayangkan bahawa dia akan memilikinya, dan mengambil tindakan untuk merealisasikannya. Kaedah ini biasanya dipanggil “Law of Attraction” yang pada asasnya menyatakan bahawa fikiran positif menarik perkara positif dan fikiran negatif menarik perkara negatif.

Perkara ini berkait rapat dengan tekad yang tinggi, azam yang kuat dan harapan untuk mendapatkannya. Dalam bahasa Arab, manifesting atau cita-cita ini disebut sebagai “أمنية” dan juga “أماني”. Manusia dimuliakan berbanding haiwan kerana diberi akal fikiran, ditambah dengan semangat yang kental untuk membina sebuah cita-cita bagi menggapainya. Dengan sebab itulah kehidupan manusia mampu membina tamadun berbanding haiwan yang hanya mengikut fitrah yang Allah tentukan.

Kami kemukakan di sini beberapa cara untuk ‘manifesting’ dan membina cita-cita:

Pertama: Buat Keputusan untuk Tingkatkan Tahap yang Ingin Dicapai

Kehidupan seseorang boleh berubah sepenuhnya selepas membuat keputusan untuk menaikkan tahap yang ingin dicapai ke peringkat yang lebih tinggi. Tulis dengan jelas apa yang diingini, dan beri komitmen sepenuhnya untuk mencapainya. Masukkan juga, apakah kualiti diri yang sepatutnya dimiliki untuk mencapai perkara tersebut seperti sikap positif dan tidak menangguhkan kerja.

Kedua: Bersama Tekad, Binakan Keazaman yang Utuh

Seperti yang dinyatakan di atas, keazaman dalam meraih cita-cita hendaklah disusun dengan penuh strategi dan pengalaman. Maka insya Allah, sebaik-baik natijah akan digapai. Pepatah Arab pernah menyebutkan:

إِذَا كُنْتَ ذَا رَأْيٍ فَكُنْ ذَا عَزِيمَةٍ                    فَإِنَّ فَسَادَ الرَّأْيِ أَنْ تَتَرَدَّدَا

“Jika kamu mempunyai pemikiran yang baik, maka sertakan dengan azam

           Ini kerana rosaknya pemikiran apabila kamu tidak tetap pendirian.”

Ketiga: Tulis Impian dan Cita-Cita yang Ingin Dicapai

Jadikan setiap apa yang ingin dicapai dalam bentuk bertulis. Begitu juga semua perkara yang boleh menghalang dan cara mengatasinya. Tulis secara terus menerus setiap perkara yang dibayangkan. Curahkan semua idea berkaitan impian dan cita-cita yang ingin dicapai. Susun dalam bentuk garis masa, mungkin sehingga 5 atau 10 tahun akan datang. Jangan sekali-kali berfikir bahawa impian kita tersebut tidak realistik. Jangan meletakkan batas pada diri kita. Yakinlah, jika orang lain boleh mencapainya, mengapa tidak kita? Dengan menulis impian, daripada itu kita dapat mengetahui secara terperinci berkaitan cita-cita kita serta mendapat gambaran yang jelas. Jadikan diri kita tidak dapat hidup tanpa impian dan matlamat tersebut.

Keempat: Beri Komitmen Sepenuhnya

Menulis impian sahaja masih belum mencukupi. Bulatkan tekad dan beri komitmen sepenuhnya untuk mencapai impian tersebut. Beri komitmen sehingga sanggup melakukan apa sahaja demi untuk merealisasikannya. Bertindak untuk mengubah strategi jika perlu. Tanamkan pemikiran bahawa sekiranya kita berhenti dan menyerah bermakna kita telah menjual impian kita. Yakinlah, sekiranya kita betul-betul memberi komitmen, pasti ada jalan untuk mencapainya. Untuk melakukan perubahan, hakikatnya ia bukanlah soal kemampuan. Sebaliknya ia adalah berkaitan kemahuan dan motivasi. Cari alasan atau sebab yang kuat untuk berubah, dan setelah itu beri komitmen sepenuhnya bagi mencapainya.

Kelima: Tempohkan Cita-cita yang Hendak Dicapai

Dengan hanya bercita-cita sahaja untuk menggapai dan mencapai sesuatu matlamat, namun tidak diberikan tempoh dan had masa untuk mencapainya, ia biasanya tidak tercapai. Kalau tercapai sekalipun, ia akan mengambil sejumlah masa yang besar. Makanya, kejayaan yang sepatutnya diraih hanya sia-sia dan habis begitu sahaja. Malang sekali jika kejadian seperti ini sering kali berulang saban tahun dengan cita-cita yang tak pernah kunjung tiba sekalipun ditekad dan diazamkan pada permulaan tahun. Jadikanlah cita-cita sebagai tangga yang perlu dinaiki di mana melangkah semestinya dari satu tahap ke satu tahap yang seterusnya agar kehendak cita-cita dapat direalisasikan dalam kehidupan kita. Amin.

Keenam: Bersahabatlah dengan Orang yang Berjaya Bagi Meraih Cita-cita

Ini kerana sahabat menjadi cerminan kejayaan seseorang. Cerdik pandai pernah menyebut: “Beritahu kepadaku siapa sahabatmu, nescaya aku boleh memberitahu siapa diri kamu sebenar.” Hal ini berbetulan dengan hadis Nabi SAW:

الْمَرْءُ عَلَى دِينِ خَلِيلِهِ فَلْيَنْظُرْ أَحَدُكُمْ مَنْ يُخَالِلْ

Maksudnya: Seseorang itu mengikut agama rakannya. Maka lihatlah seorang kamu siapa yang dia berkawan.

Riwayat Abu Dawud (4833), al-Tirmizi (2378) dan Ahmad (8398)

Sejarah membuktikan orang yang berjaya biasanya mempunyai rakan-rakan yang telah berjaya. Dengan sebab itu gandingan antara yang berjaya dengan yang berjaya menghasilkan kejayaan yang lumayan dan berganda. Justeru, pilihlah rakan-rakan yang telah berjaya dan bukannya yang kecewa dan gagal dalam kehidupan.

Di sini kami nukilkan kisah cita-cita Saidina Umar sebagai mengambil semangat dan inspirasi untuk kita bina cita-cita kita ke arah yang lebih baik dalam melayari bahtera kehidupan ini.

Suatu ketika, Saidina Umar bin al-Khattab R.A berkata kepada sahabat-sahabatnya:

تَمَنَّوْا ، فَقَالَ بَعْضُهُمْ : أَتَمَنَّى لَوْ أَنَّ هَذِهِ الدَّارَ مَمْلُوءَةٌ ذَهَبًا أُنْفِقُهُ فِي سَبِيلِ اللهِ وَأَتَصَدَّقُ ، وَقَالَ رَجُلُ : أَتَمَنَّى لَوْ أَنَّهَا مَمْلُوءَةٌ زَبَرْجَدًا وَجَوْهَرًا فَأُنْفِقُهُ فِي سَبِيلِ اللهِ وَأَتَصَدَّقُ، ثُمَّ قَالَ عُمَرُ : تَمَنَّوْا فَقَالُوا : مَا نَدْرِي يَا أَمِيرَ الْمُؤْمِنِينَ ، فَقَالَ عُمَرُ : أَتَمَنَّى لَوْ أَنَّهَا مَمْلُوءَةٌ رِجَالاً مِثْلَ أَبِي عُبَيْدَةَ بْنِ الْجَرَّاحِ ، وَمُعَاذِ بْنِ جَبَلٍ ، وَسَالِمٍ مَوْلَى أَبِي حُذَيْفَةَ ، وَحُذَيْفَةَ بْنِ الْيَمَانِ.

Maksudnya: “Tunjukkan cita-cita kamu.” Salah seorang menjawab, “Aku bercita-cita rumah ini dipenuhi dengan emas, agar aku dapat infakkan di jalan Allah dan bersedekah!” Sahabat yang lain pula berkata: “Aku bercita-cita rumah ini dipenuhi zamrud dan batu permata agar aku dapat infakkan di jalan Allah dan bersedekah!” Kemudian Umar R.A berkata lagi: “Tunjukkan cita-cita kamu.” Mereka menjawab: “Kami tidak tahu wahai Amir al-Mukminin.” Lalu Umar R.A berkata: “Aku bercita-cita agar rumahku dipenuhi pemuda-pemuda seperti Abu Ubaidah Ibn al-Jarrah, Mu’adz bin Jabal, Salim Maula Abi Huzaifah dan Huzaifah ibn al-Yaman.”

Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak (5005), dan Abu Nu’aim dalam Hilyah al-Auliya’ (318)

Pengajaran dan faedah daripada cita-cita sahabat dan Saidina Umar amat banyak. Antaranya:

  • Sahabat bercita-cita untuk mendapat kejayaan dalam hidup yang disambung dengan kejayaan akhirat. Ia seolah-olah dunia sebagai ladang akhirat untuk menatijahkan pahala dan syurga di hari akhirat kelak.
  • Cita-cita Saidina Umar jelas menunjukkan betapa jauhnya ufuk minda dan pemikiran Saidina Umar dalam meraih human capital atau modal insan bagi manusia kerana ia menjadi pengubah dunia dan pemakmurnya mengikut neraca Syari’ah. Justeru, cita-cita Saidina Umar jauh lebih besar berbanding dengan yang lain.
  • Nama-nama yang disebut oleh Saidina Umar seperti Abu Ubaidah Ibn al-Jarrah, Mu’adz bin Jabal, Salim Maula Abi Huzaifah dan Huzaifah ibn al-Yaman adalah tokoh yang amat istimewa dengan kelebihan yang tersendiri, menegak dan mengukuhkan agama Islam dan sebaran dakwah Islamiyyah begitu meluas. Mereka juga adalah antara yang cerdik, bijak, berhikmah dan mempunyai kesabaran yang amat tinggi untuk menjulang Syariat Islamiyyah.

Kesimpulan

Dalam menjawab persoalan di atas, ‘manifesting’ dibolehkan dalam islam sekiranya ia selari dengan tuntutan syara’ kerana  kesannya cukup baik. Walaupun begitu, apa yang ditekadkan itu mestilah logik dan munasabah, dan ia bukanlah dalam perkara khayalan. Apa yang penting dalam ‘manifesting’ ini mestilah adanya strategi dan disertai dengan tawakkal dan juga doa, jika tidak, ia akan menjadi sekadar angan-angan kosong sahaja.

Namun sekiranya apa yang dicita-citakan dalam “manifesting” itu adalah perkara yang salah dan mendatangkan dosa, maka ia tidak dibenarkan seperti dengan menzahirkan sesuatu fikiran dengan niat buruk untuk memudaratkan diri sendiri atau orang lain. Hal ini kerana setiap amalan itu dimulakan dengan niat sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada Umar bin al-Khattab R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَاتِ، وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِىءٍ مَا نَوَى

Maksudnya: “Sesungguhnya setiap amalan itu bermula dengan niat, dan setiap orang (perbuatannya) dikira berdasarkan apa yang diniatkan.”

Riwayat al-Bukhari (1) dan Muslim (1907)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَحْسِنْ عَاقِبَتَنَا فِي الْأُمُورِ كُلِّهَا ، وَأَجِرْنَا مِنْ خِزْيِ الدُّنْيَا وَعَذَابِ الْآخِرَةِ

Maksudnya: “Wahai Allah! Perelokkanlah kesudahan segala urusan kami, serta lindungilah kami daripada kenistaan hidup di dunia dan seksaan hidup di akhirat.”

Riwayat Ahmad (17628), al-Tabarani dalam al-Du’a (1436), al-Baihaqi dalam al-Da’awat al-Kabir (269) dan al-Hakim dalam al-Mustadrak (6508)

[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=manifestasi

Bertarikh: 25 September 2023 bersamaan 9 Rabiulawwal 1445