#3223: Jamak Solat Di Tempat Yang Bermukim Sebelum Bertolak Balik Ke Tempat Asal

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ seri, saya inginkan jawapan masalah berkaitan Jamak takdim. Saya datang ke rumah anak di Subang selama seminggu. Bolehkah saya jamak takdim di rumah anak pada hari berangkat balik ke Taiping, sebaik-baik masuk waktu zohor kerana ETS berlepas ke utara pada pukul 4 petang?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَإِذَا ضَرَبْتُمْ فِي الْأَرْضِ فَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَن تَقْصُرُوا مِنَ الصَّلَاةِ

Maksudnya: “Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa “mengqasarkan” (memendekkan) sembahyang.”

(Surah al-Nisa’: 101)

Imam al-Nawawi berkata: “Ayat ini mengaitkan hukum qasar dengan al-dorb `ala al-ardh (permusafiran). Justeru, jika seseorang ialah penduduk suatu kota maka dia boleh qasar apabila dia berpisah daripada bangunan yang dinisbah kepada kota tersebut.” (Lihat al-Majmu` Syarh al-Muhazzab, 4/346)

Pada asasnya, solat secara  jamak mahupun secara qasar termasuk dalam bentuk rukhsah atau kemudahan yang diberikan kepada orang yang bermusafir ketika bersolat. Justeru, dia boleh melakukan solat yang 4 rakaat, iaitu Zuhur, Asar dan Isyak dengan 2 rakaat sahaja. Begitu juga dia boleh menghimpunkan (secara jamak) dua solat ketika menunaikannya iaitu antara solat Zuhur dan Asar dan antara solat Maghrib dan Isyak.

Syeikh Abd al-Muhsin al-‘Abbad berkata: “Maka harus bagi orang bermusafir untuk memendekkan solat yang empat rakaat kepada dua rakaat dan juga menjamakkan di antara solat zohor dengan asar dan maghrib dengan isyak. Ini adalah sedekah yang diberikan kepada kita semua.” (Lihat Syarh Sunan Abi Daud, 149/1)

Daripada Ibn Abbas R.Anhuma, katanya:

كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَجْمَعُ بَيْنَ صَلاَةِ الظُّهْرِ وَالعَصْرِ، إِذَا كَانَ عَلَى ظَهْرِ سَيْرٍ وَيَجْمَعُ بَيْنَ المَغْرِبِ وَالعِشَاءِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW pernah menjamakkan solat Zohor dan Asar apabila Baginda dalam perjalanan, dan Baginda turut menjamakkan antara solat Maghrib dan Isyak.”

Riwayat al-Bukhari (1107)

Ibn Daqiq al-‘Aid menyebutkan bahawa para ulama’ tidak berbeza pendapat berkenaan ‘illah atau sebab dibolehkan jamak antara dua solat fardhu adalah permusafiran. Akan tetapi, Mazhab Hanafi mengkhususkan musafir itu antara Arafah dan Muzdalifah sahaja, maka ‘illah mereka berubah daripada permusafiran kepada nusuk haji. (Lihat Ihkam al-Ihkam Syarh Umdah al-Ahkam, 1/329)

Permusafiran adalah melintasi jarak antara tempat ke tempat. Ketika perjalanan menjadi sesuatu yang menyusahkan, maka kelonggaran diberikan, dan ada empat jenis kelonggaran perjalanan.

  • Berbuka Puasa
  • Qasar (Memendekkan rakaat solat)
  • Jama’ (Menghimpunkan solat dalam satu waktu)
  • Ditambahkan tempoh menyapu atas Khuf (Lihat Syarh Umdah al-Ahkam,22/3)

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan isu ini merupakan isu yang diperselisihi di kalangan para ulama. Namun kami berpandangan dibolehkan untuk melakukan solat jamak di tempat yang bermukim selama lebih empat hari tersebut  sebelum berangkat pulang sekiranya terdapat kesulitan atau masyaqqah utuk menunaikan solat diperjalanan . Yang demikian  kerana tempat tersebut bukanlah tempat bermastautin dan ia hanyalah tempat persinggahan sementara.

Ibn Hajar al-’Asqalani  menyatakan: Sebahagian ulama telah berhujah dengan umum hadith dan mereka berpandangan bahawa dibolehkan menjamakkan solat di tempat tinggal  ketika terdapat keperluan. Di antara mereka yang berpegang kepada pendapat ini adalah Ibn Sirin, Rabi’ah, Ashhab, Ibn al-Mundhir, dan al-Qaffal al-Kabir. Pendapat ini juga telah diriwayatkan oleh al-Khathib dari sejumlah besar ahli hadis.” (Lihat  Fath al-Bari,2/24)

Dalam isu ini juga Syeikh Soleh al-Uthaimin mennyatakan bahawa: Solat jamak tidak ada kaitan dengan qasar,  akan tetapi ia berkaitan dengan keperluan. Jadi, apabila seseorang memerlukan untuk menjamakkan solat, sama ada di dalam keadaan berada di tempat tinggal atau dalam perjalanan, maka dia boleh melakukan hal tersebut. Oleh yang demikian, orang ramai boleh menjamakkan solat apabila hujan turun yang menyulitkan mereka untuk pergi ke masjid. Mereka juga boleh melakukan hal yang demikian ketika  angin sejuk yang melampau semasa musim sejuk dan sukar bagi mereka untuk keluar ke masjid. Begitu juga sekiranya ditakuti berlakunya kerugian harta benda mereka atau keadaan yang seumpama dengannya. (Lihat Majmu’ Fataa wa Rasail al-Uthaimin, 15/266)

Syeikh Abdul al-Rahman Nasir al-Barrak yang merupakan salah seorang daripada Lajnah Hai’ah Kibar Ulama Arab Saudi mengeluarkan fatwanya dengan menyatakan: Dibenarkan untuk menjamakkan solat ketika ada keperluan atau keuzuran, tetapi tidak dibolehkan menqasarkan solat. Bagi situasi yang tidak ada sebarang keuzuran, maka tidak dibolehkan baginya menjamakkan solat tersebut.  Jika dia boleh menjamak solat seperti orang yang melakukan perjalanan dalam kenderaan. Dalam hal ini, tidak ada alasan untuk melakukan jamak solat ketika berada di tempat tinggal, dan dia harus menunaikan solat  pada waktunya. Tetapi dalam situasi seperti yang telah disebutkan yang melibatkan kesulitan, saya katakan dibolehkan untuk menjamakkan  solat.[1]

Justeru kami katakan bahawa adalah dibolehkan untuk menjamakkan solat sebelum melakukan perjalanan, terutamanya jika terdapat masyaqqah atau kesulitan yang menjadikan sukar untuk mendirikan solat di perjalanan. Namun, sekiranya tidak terdapat sebarang kesulitan yang mendesak, adalah lebih baik untuk mendirikan solat jamak di tempat-tempat yang telah disediakan untuk solat ketika dalam perjalanan, seperti surau di stesen atau dalam kenderaan ETS. Yang demikian merupakan kemudahan dan toleransi yang diberikan oleh Allah SWT kepada hambanya agar tidak terbeban dalam melakasanakan ibadah kepadanya. Ini sebagaimana firman Allah SWT:

 وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِي الدِّينِ مِنْ حَرَجٍ

Maksudnya: “Dia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama.”

(Surah al-Hajj: 78)

Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ الدِّينَ يُسْرٌ، وَلَنْ يُشَادَّ الدِّينَ أَحَدٌ إِلَّا غَلَبَهُ، فَسَدِّدُوا وَقَارِبُوا، وَأَبْشِرُوا، وَاسْتَعِينُوا بِالْغَدْوَةِ وَالرَّوْحَةِ وَشَيْءٍ مِنَ الدُّلْجَةِ

Maksudnya: “Sesungguhnya agama (Islam) itu mudah, dan tidaklah sama sekali seseorang yang tasyaddud dalam beragama melainkan pasti agama itu akan mengalahkannya, oleh sebab itu hendaklah kamu menepatinya dan menghampirinya dan bergembiralah (dengan berita itu). Dan mohon pertolonganlah kamu dengan waktu pagi dan petang dan sedikit daripada waktu malam. (Dan dalam lafaz yang lain pula): Hendaklah kamu bersikap sederhana, hendaklah kamu bersikap sederhana, niscaya kamu akan sampai (kepada tujuan yang selamat).”

Riwayat al-Bukhari (39)

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

Wallahua’lam

[1] https://sh-albarrak.com/article/3873

Diakses pada 21 September 2023

Bertarikh: 25 September 2023 bersamaan 9 Rabiulawwal 1445