#3224: Perdagangan Emas Forex

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hukum perdagangan emas Forex?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Pertamanya, kami katakan bahawa hukum asal bagi suatu akad muamalat dalam Islam adalah harus dan dibenarkan selagimana tidak terdapat padanya sebarang unsur yang merubah hukumnya kepada haram. Ini berdasarkan umum firman Allah SWT:

وَأَحَلَّ اللَّهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَا ۚ

Maksudnya: “Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba.”

(Surah al-Baqarah: 275)

Imam Abu Ja‘far al-Tabari menafsirkan ayat di atas, Allah SWT menghalalkan keuntungan hasil daripada perniagaan dan jual beli. Dan Dia juga mengharamkan riba, yakni pertambahan yang ditambahkan oleh penjual dengan cara bertambahnya hutang pembeli pada tempoh-tempoh yang tertentu. (Lihat Jami‘ al-Bayan, 6/13)

Kedua, suka untuk kami memperingatkan semula bahawa emas itu termasuk dalam item ribawi (boleh berlaku riba padanya) yang perlu kita berwaspada dalam urusan jual belinya. Ini berdasarkan riwayat yang thabit daripada ‘Ubadah bin al-Somit R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الذَّهَبُ بالذَّهَبِ، والْفِضَّةُ بالفِضَّةِ، والْبُرُّ بالبُرِّ، والشَّعِيرُ بالشَّعِيرِ، والتَّمْرُ بالتَّمْرِ، والْمِلْحُ بالمِلْحِ، مِثْلًا بمِثْلٍ، سَواءً بسَواءٍ، يَدًا بيَدٍ، فَإِذَا اخْتَلَفَتْ هَذِهِ الْأَصْنَافُ، فَبِيعُوا كَيْفَ شِئْتُمْ، إِذَا كَانَ يَدًا بِيَدٍ

Maksudnya: “Emas dijual dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, barli dengan barli, tamar dengan tamar, garam dengan garam, timbangan dan beratnya mesti sama, dibayar secara serta-merta (bukan bertangguh). Namun, jika jenis dan kategori barangnya berbeza, maka berjual belilah mengikut yang kamu kehendaki dengan syarat mesti dibayar secara serta-merta.”

Riwayat Muslim (1587)

Berdasarkan hadith di atas, para fuqaha’ mengeluarkan 2 syarat utama bagi membolehkan jual beli item ribawi yang sama jenis berlaku secara sah menurut syara‘:

  • Al-Tamathul (التَمَاثُلُ): Mestilah sama kuantiti.
  • Al-Taqabudh (التَقَابُضُ): Mestilah berlaku serah terima secara lani, tanpa tangguhan.

Perdagangan Emas Forex

Sebelum meneruskan perbincangan mengenai emas Forex, alangkah baiknya jika kita teliti dan fahami terlebih dahulu hukum Forex itu sendiri kerana emas itu dikira ‘mengikut’ dan Forex  itu dikira ‘asal’.

Kaedah ada menyebutkan: (التَّابِعُ تَابِعٌ), yang bermaksud: “(Hukum bagi) yang mengikut itu mengikut (hukum bagi yang asal).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir, 1/117)

Forex atau Foreign Exchange Trading merupakan perdagangan yang melibatkan pertukaran antara mata wang dengan mata wang yang lain. Penjelasan mengenai hukum Forex ini pernah kami terbitkan dalam artikel kami sebelum ini. Untuk maklumat lanjut, saudara boleh rujuk artikel “Penjelasan Hukum Forex Trading” di laman sesawang kami yang dikeluarkan pada 23 Mei 2023.

Kesimpulan daripada penjelasan yang kami bawakan, hukum Forex itu sendiri adalah haram kerana bersalahan dari sudut syara‘ dan juga undang-undang Malaysia sendiri.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-98 yang bersidang pada 13-15 Februari 2012 telah membincangkan berkenaan Perdagangan Pertukaran Mata Wang Asing oleh Individu Secara Lani (Individual Spot Forex) melalui platform elektronik. Keputusan daripada muzakarah tersebut, hukum Forex Trading ini adalah haram kerana ia bercanggah dengan kehendak syarak dan juga tidak sah dari sisi undang-undang. (Lihat Kompilasi Pandangan Hukum Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia, hlm. 87)

Difatwakan juga di dalam al-Majma‘ al-Fiqhi al-Islami bahawa hukum Forex Trading adalah haram. (Lihat Majallah al-Majma‘ al-Fiqhi al-Islami, 22/229)

Di bawah Akta Kawalan Pertukaran Wang 1953, disebutkan dalam Perkara 2: Emas dan Mata Wang Asing, seksyen 4 (1):

“Kecuali dengan kebenaran Bank Negara Malaysia, tiada seorang pun, selain daripada peniaga yang diberi kuasa di Malaysia, boleh untuk;

  1. membeli atau meminjam sebarang emas atau mata wang asing daripada;
  2. menjual atau memberi pinjaman sebarang emas atau mata wangasing kepada; atau
  3. melakukan apa-apa tindakan yang melibatkan, berhubung dengan, atau persediaan untuk, membeli atau menjual mata wang asing dengan manamana orang, selain daripada peniaga yang dibenarkan (authorised dealer).”

Ini juga boleh dirujuk di dalam fatwa yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia, Urus Niaga Mata Wang Asing (Forex) Haram (hlm. 1)

Pengharaman perdagangan Forex ini atas beberapa sebab  yang utama:

  • Tidak memenuhi 2 syarat utama jual beli item ribawi yang diharuskan oleh syara‘; al-Tamathul (التَمَاثُلُ) dan al-Taqabudh (التَقَابُضُ), menyebabkan ia menjadi jual beli yang mempunyai unsur riba.
  • Selain itu, ia juga menyerupai bentuk jual beli berserta pinjaman (البَيْعُ وَالسَّلَفُ) yang dilarang oleh syara‘.
  • Terdapat unsur gharar, yakni ketidakpastian atau kesamaran. Hal ini kerana mereka yang bermain Forex ini tidak mempunyai jaminan dan kepastian sama ada dia akan meraih keuntungan atau mengalami kerugian.
  • Barang yang didagangkan (mata wang Forex) itu tidak mencukupi syarat, iaitu mesti menjadi milik penuh seseorang trader dengan berlakunya serah terima dan pindah milik.
  • Menyalahi undang-undang yang telah ditetapkan oleh ulil amri, Kerajaan Malaysia.

Isu berkenaan emas Forex pula, maka hukumnya mengambil hukum yang sama dengan Forex itu sendiri, iaitu tidak dibolehkan. Hal ini berbetulan dengan kaedah (التَّابِعُ تَابِعٌ) seperti yang telah kami sebutkan di atas.

Tambahan lagi, emas itu sendiri termasuk dalam item ribawi yang disebutkan oleh Rasulullah SAW dalam hadith ‘Ubadah bin al-Somit R.A di atas. Adapun sabda Baginda SAW:

فَإِذَا اخْتَلَفَتْ هَذِهِ الْأَصْنَافُ، فَبِيعُوا كَيْفَ شِئْتُمْ

Maksudnya: “Namun, jika jenis dan kategori barangnya berbeza, maka berjual belilah mengikut yang kamu kehendaki.”

Pada zahirnya kelihatan seakan perdagangan emas Forex ini tidak bersalahan dengan hukum syara‘, tetapi ia kemudiannya diikat dengan satu syarat utama:

إِذَا كَانَ يَدًا بِيَدٍ

Maksudnya: “dengan syarat mesti dibayar secara serta-merta.”

Inilah syarat al-Taqabudh (التَقَابُضُ) yang perlu dipatuhi jika perdagangan emas itu dilakukan dengan tukaran kepada mata wang lain, iaitu berlaku serah terima secara lani, tanpa tangguhan. Kami telah membincangkan masalah al-Taqabudh (التَقَابُضُ) yang tidak berlaku dalam urus niaga Forex, ketika mana terdapatnya Open Position dan Close Position yang menyebabkan tidak berlakunya pindah milik secara terus.

Kami nasihatkan, sebaiknya kita memilih perniagaan yang selamat daripada sebarang unsur yang ditegah oleh syara‘ agar rezeki yang kita peroleh melaluinya suci dan telus. Pelbagai alternatif lain boleh dipilih untuk membuat pelaburan emas, sama ada secara fizikal atau dengan mana-mana institusi yang menyediakan perkhidmatan pelaburan emas secara patuh syariah.

Saudara boleh juga merujuk artikel-artikel kami yang terkait tentang pelaburan emas, seperti “Pelaburan Emas di Bank” dan “Pelaburan Emas Yang Menjanjikan Keuntungan Yang Tetap Dalam Tempoh Yang Tertentu”. Semoga pencerahan ini sedikit sebanyak membuka mata kita tentang selok-belok pelaburan halal dalam Islam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 25 September 2023 bersamaan 9 Rabiulawwal 1445