Soalan:
Assalamualaikum, Saya ingin bertanya nama Al hayy itu boleh digunakan ke? Walaupun maksud disandarkan ke kalimah sebelum? Atau kalimah al-Hayy termasuk nama Allah yang tak boleh digunakan? Namanya Aali Thoriq al-Hayy.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Dalam Islam, tatkala anak dilahirkan, ibu bapa hendaklah menamakan anaknya dengan nama yang baik dan bukannya nama yang buruk mahupun mengandungi unsur syirik. Bahkan menamakan dengan nama yang baik adalah digalakkan kerana ia merupakan doa dan akan diseru pada Hari Kiamat kelak. Terdapat sebuah riwayat daripada Abu al-Darda’ R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّكُمْ تُدْعَوْنَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِأَسْمَائِكُمْ وَأَسْمَاءِ آبَائِكُمْ فَأَحْسِنُوا أَسْمَاءَكُمْ
Maksudnya: ”Sesungguhnya kamu semua akan diseru pada hari kiamat kelak dengan nama kamu dan nama bapa-bapa kamu. Maka perelokkanlah nama kamu.”
Riwayat Abu Daud (4948)
Daripada Ibn Umar R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ أَحَبَّ أَسْمَائِكُمْ إِلَى اللَّهِ عَبْدُ اللَّهِ ، وَعَبْدُ الرَّحْمَنِ
Maksudnya: Sesungguhnya nama yang paling disukai oleh Allah ialah Abdullah dan Abd al-Rahman.
Riwayat Muslim (6/169), Abu Daud (2/307), al-Tirmizi (4/29), al-Nasa’ie (2/119), Ibn Majah (2/404), al-Darimi (2/294), Ahmad (4774) dan al-Hakim (4/274)
Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan “حي” merupakan nama yang membawa maksud hidup. Apabila disertai dengan “ال” ia membawa maksud Yang Maha Hidup dengan erti kata lain tidak mati. Nama tersebut merupakan nama yang khusus bagi Allah yang mana telah disebutkan banyak tempat di dalam al-Quran antaranya ialah:
Firman Allah SWT:
اللَّهُ لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ الْحَيُّ الْقَيُّومُ
Maksudnya: Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhlukNya)
(Surah al-Baqarah:155)
Begitu juga firman Allah:
وَتَوَكَّلْ عَلَى الْحَيِّ الَّذِي لَا يَمُوتُ وَسَبِّحْ بِحَمْدِهِ
Maksudnya: Dan berserahlah engkau kepada Allah Tuhan Yang Hidup, yang tidak mati; serta bertasbihlah dengan memujiNya.
(Surah al-Furqan:58)
Syeikh Zakaria al-Ansari menjelaskan bahawa diharuskan menggunakan nama-nama yang tidak menjadi kekhususan kepada Allah SWT. Beliau menyebutkan bahawa harus menamakan dengan nama-nama Allah SWT yang tidak dikhususkan dengannya (kepada Allah). Adapun nama-nama yang terkhusus kepada Allah SWT sahaja, maka ia adalah haram. Inilah sepertimana dijelaskan oleh Imam al-Nawawi dalam kitab Syarh Muslim.(Lihat Asna al-Matalib Syarh Raudh al-Talib, 4/243.)
Justeru kami katakan menamakan anak dengan nama-nama Allah SWT perlulah didahulukan dengan nama Abdul, yang berasal dari perkataan عَبْدٌ yang membawa maksud hamba. Maka kami cadangkan, yang terbaik adalah dengan menamakan anak tersebut dengan nama Abdul al-Hayy (عَبْدُ الحي) yang bermaksud hamba Yang Maha Hidup.
Sebagai kesimpulannya, kami ingin menekankan bahawa dalam proses pemilihan nama anak, faktor utama yang harus diutamakan adalah memilih nama yang bermakna baik dan sejajar dengan identiti sebagai seorang muslim, serta harus dihindari makna-makna yang menyimpang dari nilai-nilai agama Semoga nama yang dipilih bagi anak anda membawa berkat dan kebahagiaan dalam kehidupannya.
Marilah kita berdoa semoga Allah kurniakan zuriat kita sebagai zuriat yang soleh dan solehah.
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”
(Surah al-Furqan:74)
Wallahua’lam
Bertarikh: 25 September 2023 bersamaan 9 Rabiulawwal 1445