Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya mahu bertanya, wajibkah mandi wajib untuk saudara baru masuk Islam? Bagaimanakah dengan solat atau amalan lain yang dikerjakan sebelum mandi wajib sekiranya ia wajib? Perlu qadha’kah? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya.”
(Surah al-Baqarah: 208)
Syeikh al-Sa‘di ketika menafsirkan ayat di atas menyatakan, ini merupakan perintah Allah kepada orang yang beriman untuk masuk ke dalam agama Islam keseluruhannya. Dalam erti kata lain, dalam seluruh syariat-syariat agama dan mereka tidak meninggalkan sesuatu pun daripadanya, serta mereka tidak seperti orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhannya. Apabila hawa nafsunya itu seiring dengan perkara yang disyariatkan, maka dia kerjakan, namun apabila ia bertentangan dengannya, maka dia tinggalkan. Sepatutnya, apa yang wajib adalah dia menundukkan hawa nafsunya bagi mengikut agama. Dia melakukan segala perbuatan baik semampunya. Manakala apa yang dia tidak mampu lakukan, maka dia berusaha dan berniat melakukannya serta menjangkaunya dengan niatnya itu. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/94).
Dalam menjawab soalan di atas, para ulama berbeza pandangan mengenai hukum mandi bagi orang yang baru memeluk agama Islam, sama ada ia sunat ataupun wajib. Secara ringkasnya, Syeikh Abdullah al-Bassam menukilkan bahawa al-Khattabi menyebutkan, kebanyakan ulama berpegang kepada pendapat bahawa istihbab (digalakkan/sunat) mandi (bagi orang yang baru memeluk Islam), dan bukannya wajib. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 1/381).
Manakala di sisi mazhab Hanbali, apabila seseorang itu memeluk agama Islam, maka diwajibkan baginya mandi wajib. Hal ini kerana dia tidak terlepas daripada pernah melakukan hubungan intim (jimak) atau ihtilam (mimpi basah) dan jika sekiranya dia telah mandi pada saat tersebut (tidak beriman), maka tidak sah mandinya kerana kewajipan dalam agama hanya sah dilaksanakan apabila seseorang itu telah beriman. (Lihat Ma‘alim al-Sunan, 1/112).
Menurut Imam al-Nawawi dalam kitabnya, beliau memperhalusikan masalah mandi wajib bagi golongan muallaf ini kepada tiga keadaan:
Pertama: Apabila seseorang yang pernah berjunub sebelum memeluk agama Islam dan tidak pernah mandi maka wajib baginya mandi wajib setelah memeluk agama Islam. Pendapat ini adalah disepakati oleh Imam al-Syafi‘i.
Kedua: Apabila seseorang yang pernah berjunub sebelum memeluk agama Islam dan dia pernah mandi maka menurut pendapat yang paling kuat di sisi Imam al-Syafi‘i adalah wajib baginya mengulangi mandi wajib setelah memeluk agama Islam.
Ketiga: Apabila seseorang yang tidak mengalami hadas besar sebelum memeluk agama Islam, maka tidak wajib baginya untuk mandi wajib setelah memeluk agama Islam. Namun, jika sekiranya dia ingin mandi, maka hukumnya sunat sahaja. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/152)
Di samping itu, Muhammad Hasan bin ‘Abd al-Ghaffar ketika mensyarahkan matan Abi Syuja‘ berkenaan hukum mandi bagi orang yang baru memeluk agama Islam, beliau menyebutkan, dalam mazhab (Syafi‘i) terdapat dua pendapat. Pendapat yang sahih lagi rajih adalah dia tidak perlu mandi wajib. Dalilnya adalah kerana ramai dalam kalangan orang kafir yang memeluk agama Islam (pada zaman Nabi SAW) tetapi Baginda SAW tidak memerintahkan mereka untuk mandi wajib (bagi hal tersebut). Di antaranya Abu Bakar datang menemui Nabi SAW dengan membawa bapanya. Lalu beliau memeluk agama Islam di tangan Nabi SAW dan Baginda tidak memerintahkannya untuk mandi. Bahkan di sana terdapat banyak lagi contoh-contoh lain yang sabit bahawasanya ramai orang kafir yang memeluk agama Islam tetapi tidak diperintahkan untuk mandi. Justeru, bagi seorang kafir yang memeluk agama Islam, mandi adalah digalakkan/disunatkan dan bukannya wajib. Oleh itu, tidak benar kita mengatakan bahawa masuk Islam itu mewajibkannya untuk mandi, sebaliknya katakanlah, digalakkan kepada orang kafir apabila dia memeluk agama Islam untuk mandi. Inilah pendapat yang rajih (kuat) lagi sahih.
Apabila orang kafir memeluk agama Islam dalam keadaan dia sedang berjunub iaitu sama ada dia pernah berjimak dengan isterinya atau pernah mengalami mimpi basah, kemudian pada waktu pagi Allah SWT telah memasukkan Islam dan menimbulkan rasa cinta kepada Islam dalam hatinya, lalu dia pun memeluk agama Islam dan ingin mendirikan solat fardhu Subuh. Maka dalam hal ini terbahagi kepada dua situasi/keadaan:
Keadaan pertama: Dia telah memeluk agama Islam dan belum mandi wajib daripada junubnya. Maka, dalam hal ini terdapat dua pendapat dalam kalangan ulama mazhab Syafi‘i. Pendapat pertama, dia hendaklah mandi. Ini berdasarkan kepada keumuman firman Allah SWT:
وَإِن كُنتُمْ جُنُبًا فَاطَّهَّرُوا
Maksudnya: “Dan jika kamu junub (berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib.”
(Surah al-Ma’idah: 6)
Ini kerana dia telah memeluk agama Islam ketika dia dalam keadaan berjunub, maka dia termasuk dalam orang yang disebutkan dalam ayat di atas.
Pendapat kedua, dia tidak perlu mandi wajib. Mereka berhujah berdasarkan kepada sabda Nabi SAW bahawa “Taubat telah menghapuskan apa yang sebelumnya — daripada kesalahan dan dosa.” Begitu juga dengan sabda Nabi SAW: “Memeluk Islam telah menghapuskan apa yang sebelumnya — daripada kesalahan dan dosa.”
Namun, pendapat yang rajih (kuat) dalam mazhab (Syafi‘i) ialah pendapat yang pertama. Hal ini kerana dia telah memeluk agama Islam ketika dia dalam keadaan berjunub, maka ayat tersebut turut ditujukan kepadanya.
Keadaan kedua: Dia telah memeluk agama Islam dan telah mandi tetapi bukan dengan niat mengangkat hadas besar (janabah). Maka, dalam hal ini juga terdapat dua pendapat dalam kalangan ulama mazhab Syafi‘i. Pendapat pertama, mandinya itu dikira. Namun, pendapat yang sahih lagi rajih (kuat) — iaitu pendapat kedua — ialah mandinya itu tidak dikira kerana mandi (bagi mengangkat hadas) terdapat padanya syarat-syaratnya iaitu niat. Wajib ada niat padanya berdasarkan kepada hadith: “Sesungguhnya segala amalan dikira dengan niat dan sesungguhnya setiap orang memperolehi apa yang diniatkan.” (Lihat Syarh Matn Abi Syuja‘, 20/5).
Kesimpulannya
Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa hukum mandi wajib bagi mereka yang baru memeluk agama Islam adalah mengikut keadaan sepertimana yang telah kami jelaskan di atas. Namun demikian, dianjurkan atau digalakkan juga bagi mereka yang tidak pernah mengalami hadas besar untuk mandi wajib, meskipun hukumnya sunat.
Adapun ibadat yang dikerjakan sebelum mandi wajib kerana memeluk agama Islam dalam keadaan dia tidak mengetahui atau jahil mengenainya, maka kami cenderung kepada pendapat bahawa ibadat yang telah dilakukannya itu adalah sah dan dia tidak perlu menggantikannya dengan berpegang kepada pendapat yang membolehkannya — iaitu yang menghukumkan mandi kerana masuk Islam sebagai sunat/istihbab. Ini selari dengan kaedah yang menyebutkan:
مَنْ ابْتُلِيَ بِمُخْتَلَفٍ فِيهِ كَانَ لَهُ أَنْ يُقَلِّدَ مَنْ أَجَازَ
Maksudnya: “Sesiapa yang diuji dengan suatu kesusahan yang diperselisihi di dalamnya, maka dia boleh bertaqlid dengan ulama yang mengharuskannya.”
Lebih-lebih lagi, ketika itu dia tidak mengetahui mengenai hal tersebut — kerana baru memeluk Islam. Justeru, kesilapan atau kesalahan yang dilakukannya terdahulu termasuk dalam perkara yang dimaafkan. Firman Allah SWT:
عَفَا اللَّـهُ عَمَّا سَلَفَ
Maksudnya: “Allah maafkan apa yang telah lalu.”
(Surah al-Ma’idah: 95)
Apatah lagi, konsep agama Islam itu sendiri meraikan kemudahan dan menghilangkan kesusahan. Firman Allah SWT:
يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ
Maksudnya: “(Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran.”
(Surah al-Baqarah: 185)
Menurut Syeikh al-Sa‘di, ayat ini bermaksud Allah menghendaki hal yang memudahkan bagi kamu jalan yang membawa kamu kepada keredhaan-Nya dengan kemudahan yang paling mudah dan meringankannya dengan keringanan yang paling ringan. Oleh kerana itu, segala perkara yang diperintahkan oleh Allah kepada hamba-hamba-Nya pada dasarnya adalah sangat mudah sekali, namun apabila terjadi suatu halangan yang menimbulkan kesulitan, maka Allah SWT akan memudahkannya dengan kemudahan lain iaitu dengan menggugurkannya atau menguranginya dengan segala bentuk keringanan. Namun, hal ini adalah sesuatu yang tidak mungkin dapat dibahaskan perinciannya, kerana perinciannya adalah keseluruhan syariat dan termasuk di dalamnya segala bentuk rukhsah dan keringanan. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/86).
Namun, jika dia tetap mahu mengqadha’kan atau menggantikan ibadah yang sudah dilakukan itu seperti solat kerana mungkin bilangannya tidak banyak dan tidak membebankannya, maka tidak mengapa dan itulah sebaik-baiknya sebagai mengambil jalan keluar daripada khilaf.
Seterusnya, apabila dia sudah mandi wajib kerana masuk Islam, maka apa yang berbaki adalah dia perlu belajar mengenai ilmu-ilmu agama dan hukum-hakam terutamanya hal-hal yang melibatkan fardhu ain, akidah, dan seumpamanya yang menjadi asas dalam agama Islam itu sendiri.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
Bertarikh: 25 September 2023 bersamaan 9 Rabiulawwal 1445