#3229: Tertukar Huruf Ha Pedas (ح) dan Ha’ Simpul (هـ) Dalam Surah al-Fatihah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Atas kejahilan saya sebelum ini saya telah salah dan tertukar menyebut huruf ‘ha’ (ha pedas dan ha biasa) dalam surah al-Fatihah. Adakah solat saya selama hari ini tidak sah dan perlu di qadha?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Antara perkara yang perlu dijaga dalam membaca al-Quran adalah membacanya dengan penuh tartil dan bertajwid. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT:

وَرَتِّلِ ٱلۡقُرۡءَانَ تَرۡتِيلًا

Maksudnya:Dan bacalah al-Quran itu dengan perlahan-lahan.”

(Surah al-Muzammil: 4)

Syeikh al-Tantawi di dalam tafsirnya al-Wasit menyebutkan yang dimaksudkan dengan ‘وَرَتِّلِ ٱلۡقُرۡءَانَ تَرۡتِيلًا’ itu adalah membaca dengan suara yang merdu, dengan khusyu’ dan tadabbur serta beriltizam dengan bacaan yang sempurna lagi sahih dengan melihat kepada makhraj-makhraj hurufnya, waqafnya, hukum mad, izhar, ikhfa’ dan sebagainya. (Lihat Tafsir al-Wasit, 15/155)

Terdapat perbezaan pandangan ulama’ terdahulu bersama ulama’ kontemporari, di mana ulama’ terdahulu mewajibkan orang Islam untuk membaca al-Quran dengan bertajwid dan berdosa sekiranya meninggalkannya, dan asas tajwid ini adalah yang berkaitan dengan penjagaan huruf (dari sudut yang boleh mengubah struktur ayat dan juga maknanya) atau yang berkaitan selain darinya seperti hukum idgham, idzhar dan sebagainya.

Dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyah menyatakan: “Ulama’ qiraat dan tajwid yang terdahulu berpendapat bahawa kesemua usul dalam tajwid adalah wajib dan berdosa bagi sesiapa yang meninggalkannya sama ada ia berkait dengan penjagaan huruf daripada mengubah struktur ayat ataupun merosakkan maknanya atau yang berkaitan selain daripadanya yang disebut oleh para ulama’ dalam kitab-kitab tajwid seperti idgham dan seumpamanya. )Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 10/179)

Ibn al-Jazari menukilkan daripada Imam Nasr al-Syairazi: Mengamalkan bacaan tajwid adalah wajib dalam membaca al-Quran. Dan wajib bagi pembaca al-Quran untuk membaca al-Quran dengan bacaan yang benar. (Lihat al-Nasyr fi al-Qira’at al-‘Asyr, 1/112)

Namun, ulama’ masa kini memperincikan lebih lagi kepada wajib syar’ie dan wajib sina’ie. Wajib syar’ie di sini adalah kewajipan mempelajari asas tajwid yang jika ditinggalkan boleh membawa kepada perubahan makna atau kerosakan pada makna. Adapun wajib sina’ie pula adalah apa yang diwajibkan ke atas ahli ilmu tersebut untuk menyempurnakan lagi bacaan al-Quran, dan ia adalah sepertimana yang disebut oleh para ulama’ dalam kitab-kitab tajwid seperti idgham, ikhfa’ dan sebagainya, dan jenis ini jika ia ditinggalkan daripada mempelajarinya tidaklah berdosa. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 10/179)

Syeikh ‘Ali al-Qari berkata: Maka hendaklah meraikan semua kaedah-kaedah makhraj huruf dan sifatnya secara wajib pada perkara yang boleh mengubah struktur ayat atau merosakkan makna, dan dianjurkan pada apa yang dapat mengelokkan lafaz dan sebutan ketika membacanya. (Lihat al-Minah al-Fikriyyah fi Syarh al-Muqaddimah al-Jazariyyah, hlm.112)

Justeru, pendapat yang terpilih dalam kalangan ulama’ berkenaan bahawa yang diwajibkan bagi pembaca al-Quran berdasarkan hukum syara’ ialah dengan memelihara lafaz huruf-huruf itu, dan mengeluarkannya daripada makhrajnya, tanpa menggantikan satu huruf dengan huruf yang lain, dan bacaannya itu tidak mengubah makna, atau struktur kalimah atau ayat. Selain daripada itu, maka ia tidak wajib menurut syara’, tetapi ia dianjurkan dan digalakkan seperti memerdukan bacaan al-Quran dan melagukannya.

Menjawab persoalan diatas, sekiranya seseorang itu melakukan kesalahan pada surah al-Fatihah yang mengubah makna ayat, sama ada kesalahan itu pada huruf, atau pada harakat seperti membaca “أَنْعَمْتَ” dengan baris depan pada huruf ta’ “أَنْعَمْتُ”, maka batallah solatnya dan wajib baginya membetulkan bacaannya dan mempelajari cara bacaan surah al-Fatihah dengan cara yang betul. Namun begitu, sekiranya dia sudah belajar dan bersungguh-sunguh untuk belajarnya, tetapi tidak mampu untuk mengubah kesalahannya itu, maka solatnya itu hanya sah untuk dirinya sahaja dan dan dia tidak boleh sesekali menjadi imam di dalam solat.

Hal ini kerana membaca al-Fatihah merupakan salah satu daripada rukun qauli dalam solat. Solat tidak sah jika tidak membaca surah al-Fatihah. Hal ini berdasarkan sabda Nabi SAW:

لاَ صَلاَةَ لِمَنْ لَمْ يَقْرَأْ فِيهَا بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ

Maksudnya: “Tidak ada solat (tidak solatnya) bagi sesiapa yang tidak membaca di dalamnya surah al-Fatihah.”

Riwayat Ibnu Majah (828)

Dalam menjelaskan hadith ini, Imam al-Nawawi menyebut: “Membaca al-Fatihah bagi yang mampu untuk membacanya merupakan kefardhuan dan rukun yang mana tidak diterjemahkan kepada bahasa selain dari bahasa arab dan juga tidak boleh diganti dengan bacaan yang lain daripada al-Quran. Ia juga wajib dibaca pada kesemua solat sama ada solat fardhu mahupun solat sunat.” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/283)

Namun begitu, sekiranya kesalahan pada surah al-Fatihah yang dibaca seseorang itu merupakan kesalahan yang tidak mengubah makna seperti Membaca tanpa dengung, pendek dan panjang pada harakat mad, tiada qalqalah dan sebagainya yang tak mengubah makna, maka solatnya dan mereka yang mengikutinya itu sah.

Kami telah kemukakan dalam syarahan taklik kami kepada buku Safinah al-Naja berkenaan dengan bacaan surah al-Fatihah dan tempat tasydidnya. Boleh rujuk padanya.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa sekiranya saudara tertukar bacaan Ha iaitu pada Ha pedas (ح) dan pada Ha biasa (ه) ketika membaca surah al-Fatihah dalam solat atas sebab kejahilan, maka ia tidaklah menjadi kesalahan padanya selagi mana ia tidak mengubah makna bacaan al-Fatihah tersebut. Harapan kami supaya Allah SWT mengampunkan dosa kita atas sebab kejahilan tersebut. Dari segi sudut solat pula, insya-Allah solat saudara selama ini tidaklah batal dan saudara tidak perlu menqadha’kan solat tersebut. Apa yang penting, kita semua perlu sentiasa memuhasabah diri dan ibadah kita serta berusaha memperbaiki bacaan al-Quran kita terutamanya dalam solat.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

Bertarikh: 25 September 2023 bersamaan 9 Rabiulawwal 1445