#3231: Ujian Makmal Terhadap Arak Atau Minuman Keras

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah dibolehkan seorang ahli kimia Muslim untuk melakukan analisis makmal ke atas arak yang dihantar dari pihak polis atau kastam?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”

(Surah al-Maidah: 90)

Arahan supaya menjauhi arak adalah lebih kuat daripada tegahan meminumnya. Hal ini kerana tegahan sahaja tidak termasuk tegahan lain yang berkaitan dengannya, seperti melayan seseorang minum, membeli atau menjualnya.

Sementara, arahan menjauhinya pula bermaksud, amaran supaya menjauhi segala perkara yang berkaitan dengan arak, termasuk minum dan sebagainya.

Setiap Perkara yang Memabukkan Adalah Haram

Ayat al-Quran terdahulu mengharamkan arak yang dibuat daripada anggur sahaja, tetapi pengharaman tersebut termasuklah semua benda yang memabukkan.

Ini berdasarkan hadith daripada Nabi SAW:

كُلُّ شَرَابٍ أَسْكَرَ فَهُوَ حَرَامٌ

Maksudnya: “Semua yang memabukkan adalah haram.”

Riwayat Bukhari (5263) dan Muslim (2001)

Hadith ini menjelaskan maksud arak, iaitu semua perkara yang memabukkan. Semua benda yang memabukkan walau apa pun namanya, hukum meminumnya adalah sama dengan hukum arak, iaitu haram.

Menurut ijma’ ulama’, pengharaman arak adalah kerana ia memabukkan. Oleh itu, pengharaman tersebut mestilah sama atas semua minuman yang memabukkan tanpa perbezaan walau apa jua asalnya.

Menjawab persoalan di atas, kami katakan maksud untuk melakukan analisis makmal ke atas arak mesti dilihat dari sudut tujuannya. Jika ia untuk mengetahui kandungan arak atau terdapat padanya arak maka hal tersebut dibolehkan. Tetapi, jika sekiranya tujuannya sebagai penolong dalam mendapatkan lesen arak, maka hukumnya tidak dibolehkan.

لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فِي الْخَمْرِ عَشَرَةً عَاصِرَهَا وَمُعْتَصِرَهَا وَشَارِبَهَا وَحَامِلَهَا وَالْمَحْمُولَةَ إِلَيْهِ وَسَاقِيَهَا وَبَائِعَهَا وَآكِلَ ثَمَنِهَا وَالْمُشْتَرِيَ لَهَا وَالْمُشْتَرَاةَ لَهُ ‏.‏ قَالَ أَبُو عِيسَى هَذَا حَدِيثٌ غَرِيبٌ مِنْ حَدِيثِ أَنَسٍ ‏.‏ وَقَدْ رُوِيَ نَحْوُ هَذَا عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ وَابْنِ مَسْعُودٍ وَابْنِ عُمَرَ عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم ‏.‏

Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW telah melaknat 10 orang yang berkaitan dengan arak; pembuatnya, pengedarnya, peminumnya, pembawanya, pengirimnya, penuangnya, penjualnya, pemakan wang hasilnya, pembayarnya dan pemesannya.”

Riwayat al-Tirmizi (1295), Abu Daud (3674), Ibn Majah (3381) dan Ahmad (316)

Justeru, jika matlamat membantu menganalisa arak semata-mata tanpa tujuan-tujuan yang lain yang dibenarkan oleh Islam seperti dalam emnetukan kadar kemabukan disebabkan jenayah dan seumpanya, maka, hukumnya dibolehkan. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”

 

Bertarikh: 25 September 2023 bersamaan 9 Rabiulawwal 1445