Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah melabur di dalam Wahed Invest dibenarkan dalam Islam? Labur dalam masa 4 ke 8 jam sehingga keuntungan diperolehi, dan terus kredit ke dalam akaun pelabur. Jumlah yang dilaburkan sedikit sahaja, tetapi keuntungan dari pelaburan berlipat kali ganda.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Pengenalan Wahed Invest
Wahed Invest LLC (Wahed) adalah penasihat pelaburan yang berdaftar di bawah Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa (SEC) – Amerika Syarikat. Ia menyediakan perkhidmatan pembrokeran[1] kepada pelanggannya melalui rakan kongsi pembrokerannya, Apex Clearing Corporation, salah satu ahli The New York Stock Exchange (NYSE), Financial Industry Regulatory Authority (FINRA) dan Securities Investor Protection Corporation (SIPC). Apex ini pula dikawal selia oleh U.S. Securities and Exchange Commission (SEC) dan Commodity Futures Trading Commission (CFTC).
Wahed juga merupakan pemegang Lesen Perkhidmatan Pasaran Modal (CSML) Pengurusan Pelaburan Digital (DIM) yang diterbitkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC). Wahed diberi kebenaran untuk menjalankan perniagaan pengurusan dana yang menggabungkan teknologi inovatif ke dalam perkhidmatan pengurusan portfolio automatik yang ditawarkan kepada pelanggan di bawah lesen yang dikeluarkan menurut Jadual 2 Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007.
Platform ini tidak bertujuan untuk menawarkan atau meminta sesiapa untuk membeli atau menjual sekuriti di dalam bidang kuasa dimana aktiviti tersebut tidak dibenarkan atau di kawasan dimana aktiviti pelaburan tersebut akan melanggar undang-undang atau peraturan.[2] Ini bermaksud, pelaburan dalam platform ini sepenuhnya diuruskan oleh robo-advisor yang akan melabur bagi pihak pelabur.
Adakah Wahed Invest Patuh Syari‘ah?
Berdasarkan maklumat yang kami peroleh, Wahed Invest ini merupakan salah satu platform pelaburan yang patuh syari‘ah. Bahkan, pelabur boleh menyemak sijil pengiktirafan patuh syari‘ah mereka secara terus di laman utama mereka.
Rajah: Sijil Pengiktirafan Patuh Syari‘ah
Mereka juga telah melantik seramai 3 orang panel syari‘ah yang kami lihat cukup berpengalaman dan berkeahlian dalam bidang ini. Salah seorang daripada panel tersebut merupakan anak kelahiran Malaysia, Profesor Dr. Aznan Hasan, Ahli Majlis Syariah, AAOIFI – Bahrain, merangkap Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan juga Ahli Autoriti Syariah Tertinggi di Bank Pusat Emeriah Arab Bersatu. Beliau juga menjawat jawatan Presiden Persatuan Penasihat Syariah dalam kewangan Islam (ASAS). 2 panel lainnya adalah Syeikh Sajid Umar dan Syeikh Muhammad Ahmad Sultan.
Wahed juga melaburkan wang yang diletakkan oleh pengguna hanya pada pelaburan yang halal sahaja. Pihak mereka turut menjelaskan beberapa tempat yang tidak akan dijadikan sasaran pelaburan mereka, antaranya:
- Tembakau.
- Hutang berlebihan.
- Alkohol.
- Senjata api.
- Perjudian.
- Hiburan dewasa.
- Barangan makanan tidak halal.
- Institusi berasaskan riba.
Melihat kepada persoalan yang ditimbulkan saudara, ia seakan bertumpu kepada keuntungan yang pada zahirnya terlihat singkat dan mudah, cukup dengan bermodalkan sejumlah wang yang kecil sebelum meraih keuntungan yang berlipat ganda selepas beberapa jam. Kami menasihatkan agar saudara berhati-hati, kerana realiti pelaburan itu tidaklah seindah khabar yang kita terima. Terkadang-kadang, sangkaan kita yang sedikit tergesa-gesa boleh memakan diri.
Pihak Wahed Invest juga sebenarnya telah membuatkan penafian awal tentang keuntungan ini, katanya: “Semua pelaburan melibatkan risiko, termasuk kemungkinan kerugian wang pelaburan. Prestasi masa lalu tidak menjamin prestasi masa hadapan. Pulangan masa lalu, jangkaan pulangan, dan unjuran kebarangkalian disediakan untuk tujuan maklumat dan ilustrasi, dan mungkin tidak mencerminkan prestasi masa depan yang sebenarnya. Hasil terdahulu mana-mana sistem perdagangan yang diterbitkan oleh Wahed, melalui Laman Web atau sebaliknya, tidak menunjukkan pulangan masa depan oleh sistem itu, dan tidak menandakan pulangan masa depan yang akan direalisasikan oleh anda.”[3]
Menjawab persoalan saudara pula tentang hukum pelaburan di platform ini, kami katakan bahawa selagimana ia selamat daripada sebarang penipuan, scam, atau apa jua unsur yang diharamkan oleh syara‘, maka tidak menjadi masalah untuk seseorang itu melabur. Hal ini kerana hukum asal suatu muamalat itu adalah harus selagi tidak datang sesuatu yang mengharamkannya. Ini berdasarkan umum kaedah fiqhiyyah yang mengharuskan jual beli:
الأَصْلُ فِي الأَشْيَاءِ الإبَاحَةُ حَتَّى يَدُلَّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ
Maksudnya: “Asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).”
Pada zahirnya, kami melihat bentuk pelaburan ini lebih hampir kepada akad syirkah al- ‘inan (شِرْكَةُ الْعِنَانِ), iaitu suatu kerjasama antara dua pihak dengan modal yang diketahui dan setiap rakan kongsi berhak untuk bertindak terhadap perkongsian tersebut. Pembahagian keuntungan ditentukan berdasarkan persetujuan manakala kerugian ditanggung berdasarkan kadar modal yang disumbangkan.
Setiap akad yang berlaku pasti mempunyai rukun yang wajib bagi memastikan setiap kontrak yang dipersetujui adalah sah menurut syara‘. Syirkah al-‘Inan terdapat lima rukun yang asas:
- Pihak-pihak yang melakukan akad, sama ada dua pihak atau lebih.
- Perkara yang diakadkan, seperti modal dan keuntungan.
- Perusahaan yang dilakukan.
- Lafaz akad. (Lihat Tuhfah al-Habib ‘ala Syarh al-Khatib, 3/127)
Akan tetapi, akad yang diaplikasikan pada konsep pelaburan dalam Wahed Invest ini masih terbuka kepada perbincangan para ahli dan pakar muamalat.
Nasihat kami, sekiranya saudara memerlukan seseorang untuk menerangkan dengan lebih jelas tentang sistem pelaburan di Wahed Invest ini, saudara boleh cuba rujuk kepada ahli dan pakar yang sudah lama berkecimpung dalam dunia muamalat Islam. Mereka lebih utama untuk diajukan persoalan dan dilontarkan segala kemusykilan yang mungkin sekian lama terbungkam dalam diri.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
Wallahu a‘lam
[1] Pembrokeran adalah aktiviti yang berkaitan dengan urus niaga broker. (Lihat Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat)
[2] Lihat https://www.wahed.com/generaldisclaimers. Diakses pada 21 September 2023.
[3] Lihat https://www.wahed.com/generaldisclaimers. Diakses pada 21 September 2023.
Bertarikh: 25 September 2023 bersamaan 9 Rabiulawwal 1445