#3234: Dapat Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, Tetapi Merasakan Ada Kekurangan Dalam Nilai Bekerja

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya pernah mendapat Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) di pejabat. Tapi bila saya dengar ceramah Dato Seri tentang Amanah Bekerja di Youtube, saya rasa macam ada yang kurang dalam nilai bekerja saya. Mohon nasihat Dato’ Seri tentang adab dalam bekerja dan bagaimana menjadi pekerja cemerlang yang sebenarnya. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab soalan di atas, kami katakan dengan memperbanyakkan istighfar dan memohon keampunan kepada Allah SWT. Firman Allah SWT:

وَأَنِ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ ثُمَّ تُوبُوا إِلَيْهِ يُمَتِّعْكُم مَّتَاعًا حَسَنًا إِلَىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى وَيُؤْتِ كُلَّ ذِي فَضْلٍ فَضْلَهُ

Maksudnya: “Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhan kamu (daripada perbuatan syirik), kemudian hendaklah kamu rujuk kembali taat kepada-Nya; supaya Dia memberi kamu nikmat kesenangan hidup yang baik (di dunia) hingga ke suatu masa yang tertentu, dan (di akhirat pula) Dia akan memberi kepada tiap-tiap seorang yang mempunyai kelebihan (dalam sebarang amal yang soleh) akan pahala kelebihannya itu.”

(Surah Hud: 3)

Ibn Kathir menyebutkan, maksudnya, dan aku memerintah kamu untuk memohon keampunan kepada Allah SWT atas dosa-dosa yang telah berlalu serta bertaubat kepada-Nya daripada perbuatan tersebut, dan kamu tetap dan berterusan atas hal yang demikian. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 7/411).

Selain itu, terdapat hadith daripada Abu Hurairah R.A, bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:

وَاللَّهِ إِنِّي لَأَسْتَغْفِرُ اللَّهَ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ فِي اليَوْمِ أَكْثَرَ مِنْ سَبْعِينَ مَرَّةً

Maksudnya: “Demi Allah, sesungguhnya aku beristighfar kepada Allah dan memohon ampun kepada-Nya setiap hari lebih daripada 70 kali.”

Riwayat al-Bukhari (6307)

Kalaulah Rasulullah SAW yang bersifat maksum sentiasa beristighfar setiap hari melebihi 70 kali, ini menandakan perintah kepada kita lebih aula dalam beristighfar. Hal ini semakin bertambah penegasannya atau pentingnya beristighfar apabila berlaku kesilapan dan dosa. Inilah yang disebut dan dizikirkan oleh Nabi Adam A.S seperti berikut:

رَبَّنَا ظَلَمْنَا أَنْفُسَنَا وَإِنْ لَمْ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ

Maksudnya: “Ya Tuhan kami, kami telah menzalimi diri kami sendiri. Jika Engkau tidak mengampuni kami dan memberi rahmat kepada kami, niscaya kami termasuk orang-orang yang rugi.”

Pada masa yang sama, sentiasalah memuhasabahkan diri dan menambah ilmu dan kepakaran dalam bidang profesion kita di samping menekuni dan berusaha untuk menambahkan dan mempergiatkan lagi keberhasilan. Biarkanlah apa yang diperolehi dalam anugerah tersebut selari dengan apa yang benar-benar berlaku dalam profesion kita dan juga selari dengan usaha kita.

Kami juga mengambil kesempatan di sini menasihatkan agar sama-sama kita merenungi sabda Nabi SAW:

إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ يُحِبُّ إِذَا عَمِلَ أَحَدُكُمْ عَمَلًا أَنْ يُتْقِنَهُ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah ‘Azza Wa Jalla menyukai apabila seseorang daripada kamu melakukan sesuatu amalan (atau pekerjaan) hendaklah buat secara tekun.”

Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu‘jam al-Ausat (897)[1]

Ketekunan atau tekun dalam amalan atau pekerjaan di sini bermaksud menyempurnakan atau melaksanakan satu tuntutan daripada seseorang sebagaimana yang dikehendaki oleh orang tersebut tanpa kurang sedikitpun dengan sesempurna mungkin disertai dengan usaha yang kuat agar tidak terlewat daripada waktu yang telah ditetapkan.

Apatah lagi, galakkan untuk bersungguh-sungguh dalam setiap pekerjaan yang dilakukan ini juga adalah kerana bekerja merupakan salah satu wasilah atau cara bagi mendapatkan rezeki, dalam menyara dan meneruskan kehidupan seharian. Firman Allah SWT:

وَقُلِ اعْمَلُوا فَسَيَرَى اللَّـهُ عَمَلَكُمْ وَرَسُولُهُ وَالْمُؤْمِنُونَ

Maksudnya: “Dan katakanlah (wahai Muhammad): ‘Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan.’

(Surah al-Taubah: 105)

Kami juga telah terangkan dengan panjang lebar dalam buku “Masa: Peliharalah” berkenaan hal ini dan juga tanggungjawab menjadi pekerja yang cemerlang dan berjaya dalam profesionnya. Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama.

Kami akhir dengan doa:

يَا حَيُّ يَا قَيُّومُ بِرَحْمَتِكَ نَسْتَغِيثُ، أَصْلِحْ لَنَا شَأْنَنَا كُلَّهُ، وَلاَ تَكِلْنَا إِلَى أَنْفُسِنَا طَرْفَةَ عَيْنٍ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Yang Maha Hidup, wahai Tuhan Yang Maha Berdiri Sendiri (tidak perlu segala sesuatu), dengan rahmat-Mu kami memohon pertolongan, perbaikilah urusan kami semuanya dan janganlah Engkau serahkan kami kepada diri kami walau sekelip mata.”

Wallahu a‘lam

[1] Al-Tabarani menyatakan, hadith ini tidak diriwayatkan daripada Hisyam melainkan melalui jalur Mus‘ab dan Bisyr telah bersendiri dalam meriwayatkan hadith ini. (Lihat al-Mu‘jam al-Ausat, 1/275). Al-Suyuti dalam al-Jami‘ al-Saghir (1855) menilainya sebagai hasan.

Bertarikh: 25 September 2023 bersamaan 9 Rabiulawwal 1445