#3238: Menjumpai Binatang Buruan Yang Telah Mati

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh atau tidak seseorang pemburu selepas melepaskan tembakan yang mengenai sasarannya dan kemudian selepas beberapa ketika baru bertemu binatang buruannya yang telah mati. Adakah halal dimakan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Berburu dalam Islam dibenarkan. Saat yang sama, seseorang itu perlu meraikan dan mematuhi undang-undang sesebuah negeri atau negara. Ini untuk mengelakkan sebarang hukuman atau kesalahan di sisi undang-undang.

Seringkali terjadi apabila pemburu sudah melepaskan tembakan dan mengenai sasarannya, tetapi buruan itu lari bersembunyi dan apabila ditemui semula binatang itu sudah mati. Dalam isu ini, binatang buruan itu boleh menjadi halal dengan beberapa syarat, iaitu:

  1. Binatang buruan itu tidak jatuh ke dalam air. Nabi SAW bersabda:

إِذَا رَمَيْتَ سَهْمَكَ فَإِنْ وَجَدْتَهُ قَدْ قُتِلَ فَكُلْ، إِلَّا أَنْ تَجِدَهُ قَدْ وَقَعَ فِي مَاءٍ فَإِنَّكَ لَا تَدْرِي، الَمَاءُ قَتَلَهُ أَمْ سَهْمُكَ؟

Maksudnya: “Kalau kamu lemparkan panahmu, dan jika kamu dapatinya sudah mati, bolehlah kamu memakannya melainkan jika kamu dapatinya telah jatuh ke dalam air, maka kamu tidak mengetahui apakah air yang membunuhnya atau panahmu?”

Riwayat al-Bukhari dan Muslim

  1. Tidak terdapat kesan lain pada binatang buruan selain dari kesan tembakan atau panah pemburu dan dia meyakini bahawa bekas itulah yang menyebabkan kematian binatang buruan itu. Adi bin Hatim RA berkata:

يَا رَسُوْلَ اللَّهِ! أَرْمِي الصَّيْدَ فَأَجِدُ فِيْهِ سَهْمِي مِنَ الْغَدِ؟ فَقَالَ: إِذَا عَلِمْتَ أَنَّ سَهْمَكَ قَتَلَهُ وَلَمْ تَرَ فِيهِ أَتَرَ سَبْعِ فَكُلْ

Maksudnya: “Hai Rasulullah! Saya memanah pada seekor binatang buruan, lalu saya dapati pada keesokan harinya buruan itu terdapat kesan panahku! Baginda SAW bersabda: Jika kamu yakin bahawa panahmu yang membunuhnya dan kamu melihat tiada bekas (gigitan) binatang buas yang lain padanya, maka bolehlah kamu memakannya.”

Riwayat al-Tirmizi dan beliau mensahihkannya

  1. Jangan biarkan binatang buruan itu menjadi busuk dan rosak. Ini kerana bagi manusia yang normal pasti merasa geli dan jijik untuk memakannya dan kemungkinan ianya boleh membawa penyakit jika memakannya.

Dalam Sahih Muslim, Nabi SAW bersabda kepada Abu Tha’labah al-Khusyani:

إِذَا رَمَيْتَ سَهْمَكَ فَغَابَ، أَيِ الصَّيدُ، ثَلَاثَةَ أَيَّامٍ، وَأَدْرَكَتَهُ فَكُلُهُ مَالَم يَنتين

Maksudnya: “Jika kamu memanah (pada binatang buruan), lalu binatang itu hilang sehingga tiga hari, kemudian baru kamu menjumpainya, maka bolehlah kamu memakannya selagi ianya belum busuk.”

Riwayat al-Tirmizi dan beliau mensahihkannya

(Lihat Halal dan Haram dalam Islam hlm. 120-122)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ فضْلِكَ وَرَحْمَتِكَ ، فَإِنَّهُ لا يَمْلِكُهَا إِلا أَنْتَ

Maksudnya: Ya Allah, sesungguhnya kami memohon kepada-Mu agar diberi kurniaan dan rahmat-Mu. Sesungguhnya tiada yang memilikinya kecuali-Mu.”

Bertarikh: 25 September 2023 bersamaan 9 Rabiulawwal 1445