#3240: Kisah Kunci Ka’bah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah kunci Ka’bah dimiliki oleh satu keturunan sahaja untuk menjaganya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

إِذَا جَاءَ نَصْرُ اللَّهِ وَالْفَتْحُ ‎﴿١﴾‏ وَرَأَيْتَ النَّاسَ يَدْخُلُونَ فِي دِينِ اللَّهِ أَفْوَاجًا ‎﴿٢﴾‏ فَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ وَاسْتَغْفِرْهُ ۚ إِنَّهُ كَانَ تَوَّابًا ‎﴿٣﴾‏

Maksudnya: Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai negeri Makkah), –  Dan engkau melihat manusia masuk dalam ugama Allah beramai-ramai, –  Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya, sesungguhnya Dia amat menerima taubat.”

(Surah al-Nasr: 1-3)

Dalam menjawab persoalan di atas, selepas pembukaan kota Makkah, Rasulullah SAW telah melakukan banyak perkara untuk diselesaikan. Salah satunya isu kunci Ka’bah.

Kemudian Rasulullah SAW duduk di dalam masjid. Ali RA bangun menghadap Rasulullah SAW; waktu itu kunci Kaabah berada di tangan Rasulullah SAW. Ali berkata, “Hai, Rasulullah SAW, serahlah urusan penjagaan Kaabah dan minuman orang haji kepada kami. Mudah-mudahan Allah merahmatimu.”

Dalam riwayat lain menyebutkan bahawa yang menyatakan itu ialah al-Abbas. Rasulullah SAW bertanya, “Di mana Uthman bin Talhah?” Setelah dipanggil, Rasulullah SAW berkata kepada Uthman, “Nah, ambillah kuncimu wahai Uthman. Hari ini adalah hari menunaikan janji.”

Dalam riwayat Ibnu Saad dalam al-Tabaqat menyebut, ketika Rasulullah SAW menyerahkan kunci itu kepada Uthman, Rasulullah SAW bersabda, “Ambillah kunci ini buat selama-lamanya. Tidak ada yang boleh merampas kunci ini daripadamu, hai Uthman, melainkan orang yang zalim. Sesungguhnya Allah telah mengamanahkan kepadamu untuk menjaga rumah-Nya. Oleh itu makanlah hasil yang diperolehi daripada rumah ini dengan cara yang baik.” (Lihat Sirah Nabawiyyah al-Rahiq al-Makhtum, hlm. 701)

Benarlah firman Allah SWT:

 إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْلِهَا

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya).”

(Surah al-Nisa’: 58)

Ibn Kathir berkata: “Allah khabarkan kepada kamu agar kamu laksanakan amanah kepada yang berhaknya.” (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 2/331)

Kami akhiri dengan doa:

اَللَّهُمَّ أَنْتَ رَبُّنَا لاَ إِلَـهَ إِلاَّ أَنْتَ، خَلَقْتَنَا وَنَحْنُ عَبِيْدُكَ، وَنَحْنُ عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْنَا، نَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْنَا، نَبُوْءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيْنَا، وَنَبُوْءُ بِذُنُوْبِنَا، فَاغْفِرْ لَنَا فَإِنَّهُ لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوْبَ إِلاَّ أَنْتَ

Maksudnya: “Ya Allah, Engkau adalah Tuhan kami. Tidak ada tuhan yang berhak disembah kecuali Engkau, Engkaulah yang menciptakan kami dan kami adalah hamba-Mu. Kami akan setia pada perjanjian kami pada-Mu dan janji-Mu dengan sedaya upaya kami. Kami berlindung kepada-Mu dari kejahatan yang kami lakukan. Kami mengakui nikmat-Mu kepada kami dan kami mengakui dosa kami, maka ampunilah kami. Sesungguhnya tiada yang mengampuni dosa kecuali Engkau.”

Bertarikh: 25 September 2023 bersamaan 9 Rabiulawwal 1445