Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah solat yang dilakukan oleh Rasulullah SAW ketika pembukaan Kota Makkah dan berapa rakaatkah baginda solat ketika itu?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Solat Dhuha Sempena Pembukaan Kota Makkah?
Pada hari itu, Rasulullah SAW masuk ke rumah Hani binti Abu Talib. Di dalam rumahnya, Rasulullah SAW mandi dan terus sembahyang sunat lapan rakaat. Waktu itu adalah waktu Dhuha maka, ada orang menyangka Rasulullah SAW bersembahyang Dhuha, padahal Rasulullah SAW solat itu adalah kerana mensyukuri anugerah yang dikurniakan oleh Allah, iaitu pembukaan Makkah.
Ummu Hani memberikan perlindungan kepada dua orang iparnya, lalu Rasulullah SAW berkata, “Hai Ummu Hani, kami melindungi orang yang kau lindungi.” Sebelum itu, saudaranya iaitu Ali bin Abu Talib R.A mahu membunuh kedua-dua iparnya tetapi Ummu Hani melindungi kedua-dua mereka di dalam rumahnya dan meminta Rasulullah SAW untuk memberikan perlindungan. Lantaran itu, Rasulullah SAW mengucapkan seperti yang disebut di atas. (Lihat Sirah Nabawiyyah al-Rahiq al-Makhtum, hlm. 702)
Adakah solat yang dilakukan oleh Nabi SAW semasa pembukaan Kota Mekah ialah Solat Dhuha atau Solat al-Fath?
Terdapat dua pendapat dalam kalangan ulama:
- Ada yang mengatakan ia adalah Solat Dhuha, dengan dalil bahawa Nabi SAW mengerjakan lapan rakaat, dan ini digunakan sebagai bukti bahawa Solat Dhuha boleh dilaksanakan sebanyak lapan rakaat.
- Ada pula yang mengatakan ia adalah Solat al-Fath, iaitu solat khusus sempena kemenangan dan pembukaan Kota Mekah.
Syeikh Abdul Aziz bin Baz menyatakan: “Sebahagian ulama menamakannya sebagai Solat al-Fath, dan sebahagian lain menyebutnya sebagai Solat Dhuha. Pandangan yang lebih tepat ialah ia termasuk dalam kedua-duanya; ia adalah Solat Dhuha, namun ia juga disunnahkan dilakukan sebagai tanda syukur atas kemenangan, sebagaimana yang dilakukan oleh Nabi SAW.” [1]
Adakah Solat al-Fath boleh menggantikan Solat Dhuha?
- Bagi mereka yang berpendapat Solat al-Fath adalah solat khusus, mereka mengatakan bahawa ia tidak menggantikan Solat Dhuha kerana sifatnya yang berbeza.
- Bagi yang mengatakan ia adalah Solat Dhuha, maka tidak ada perbezaan antara kedua-duanya, dan pelaksanaannya dianggap memenuhi kedua-dua tujuan.
Perbahasan Tentang Bilangan Rakaat Solat Dhuha
Kami juga kemukakan di sini perbahasan tentang bilangan rakaat solat dhuha yang paling minimum, dan bilangan rakaat yang paling banyak.
Pertama: Bilangan Rakaat Paling Minimum
Bilangan rakaat solat Dhuha paling sedikit berdasarkan kepada hadis-hadis berkaitan dengan solat Dhuha bolehlah dibuat kesimpulan bahawa bilangan rakaat solat Dhuha sekurang-kurangnya ialah dua. Hal ini berdasarkan kepada beberapa hadis, iaitu:
Daripada Abu Hurairah R.A, katanya:
أَوْصَانِي خَلِيلِي صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِثَلاَثٍ: «صِيَامِ ثَلاَثَةِ أَيَّامٍ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ، وَرَكْعَتَيِ الضُّحَى، وَأَنْ أُوتِرَ قَبْلَ أَنْ أَنَامَ
Maksudnya: “Kekasihku (Rasulullah) SAW telah mewasiatkan kepadaku agar berpuasa tiga hari pada setiap bulan, mendirikan dua rakaat solat Dhuha, dan berwitir sebelum tidur.”
Riwayat al-Bukhari (1981) dan Muslim (721)
Imam al-Nawawi berkata: “Hadis ini dan hadis Abu al-Darda’ adalah galakan untuk melaksanakan solat Dhuha dan hukumnya sah jika dilakukan sebanyak dua rakaat.” (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 5/234)
Daripada Ibn Umar katanya R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda: Firman Allah SWT di dalam hadis qudsi:
ابْنَ آدَمِ إرْكَعْ صَلِّ لِيْ رَكْعَتَيْنِ أَوَّلَ النَّهَارِ أَضْمَنْ لَكَ آخِرَهُ
Maksudnya: “Hai anak Adam, solatlah kerana-Ku dua rakaat Dhuha pada awal hari nescaya Aku jamin hingga akhir hari tersebut.”
Riwayat al-Tabarani dalam al-Kabir
Daripada Uqbah bin Amir RA, bahawa beliau berkata:
مَنْ قَامَ إِذَا اسْتَقْبَلَتْهُ الشَّمْسُ فَتَوَضَّأ فَأَحْسَنَ وُضُوْءَهُ، ثُمَّ قَامَ فَصَلَّى رَكْعَتَيْنِ، غُفِرَ لَهُ خَطَايَاهُ، وَكَانَ كَمَا وَلَدَتْهُ أُمُّهُ
Maksudnya: “Siapa yang bangun melaksanakan wuduk dengan sesempurnanya ketika matahari sedang naik kemudian solat dua rakaat nescaya diampun baginya segala dosanya dan adalah dia sama seperti baru dilahirkan ibunya.”
Riwayat Abu Ya’la
Daripada Ibn Abbas R.Anhuma:
عَلَى كُلِّ سُلاَمَى مِنِ ابْنِ آدَمَ فِيْ كُلِّ يَوْمٍ صَدَقَةٌ، وَيُجْزِئُ مِنْ ذَلِكَ كُلِّهِ رَكْعَتَا الضُّحَى
Maksudnya: “Di atas setiap sendi-sendi anak Adam, pada setiap hari mempunyai hak untuk bersedekah dan memadai daripada demikian itu semuanya dengan dua rakaat Dhuha.”
Riwayat al-Tabarani dalam al-Saghir (639) dan al-Awsat (4449)
Daripada Abu Umamah RA katanya, Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا طَلَعَتِ الشَّمْسِ مِنْ مَطْلِعِهَا كَهَيْئَتِهَا لِصَلاَةِ الْعَصْرِ، حِيْنَ تَغْرُبُ مِنْ مَغْرِبِهَا، فَصَلَّى رَجُلٌ رَكْعَتَيْنِ وَأَرْبَعَ سَجَدَاتٍ، فَإِنَّهُ لَهُ أَجْرٌ ذَلِكَ الْيَوْمِ. وَحَسِبْتُهُ قَالَ: وَكَفَّرَ عَنْهُ خَطِيْئَتَهُ وَإِثْمَهُ. وَأَحْسِبُهُ قاَلَ: وَإِنْ مَاتَ مِنْ يَوْمِهِ دَخَلَ الْجَنَّةَ
Maksudnya: “Apabila keluarnya matahari daripada tempatnya seperti keadaannya bagi solat Asar ketika tenggelam ketika Maghribnya maka seseorang solat dua rakaat dan empat sujud, maka sesungguhnya baginya pahala hari tersebut. Dan aku sangkanya Baginda bersabda: Dikifaratkan daripadanya kesalahan dan dosanya. Dan aku sangka juga Baginda bersabda: Jika sekiranya beliau mati pada hari tersebut, nescaya masuk syurga.”
Riwayat al-Tabarani (7790)
Kedua: Bilangan Rakaat Paling Maksimum
Terdapat dua pandangan ulama berkenaan dengan jumlah yang paling maksimum bagi mengerjakan solat Dhuha :
Pendapat Pertama: Lapan Rakaat
Inilah pendapat mazhab Maliki dan Hanbali mengikut pendapat yang sahih. Bahkan mazhab Maliki memakruhkan sesiapa yang melebihi daripada lapan rakaat jika berniat solat Dhuha . Ini berdasarkan kepada beberapa hadis, antaranya:
Daripada Ummu Hani[2] binti Abi Talib R.Anha menceritakan:
أَنَّهُ لَمَّا كَانَ عَامَ الْفَتْحِ أَتَتِ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمْ وَهُوَ بِأَعْلَى مَكَّة فَقَامَ رَسُوْلُ اللهِ إِلَى غَسْلِهِ فَسَتَرَتْ عَلَيْهِ فَاطِمَةُ ثُمَّ أَخَذَ ثَوْبَهُ وَالْتَحَفَ بِهِ ثُمَّ صَلَّى ثَمَانِيَ رَكَعَاتٍ سُبْحَةَ الضُّحَى
Maksudnya: “Bahawa sesungguhnya tatkala tahun pembukaan kota Mekah, beliau (Ummu Hani) menemui Rasulullah SAW ketika Baginda SAW berada di puncak bukit kawasan Mekah. Lalu Rasulullah SAW pergi mandi dengan dilindungi oleh Fatimah. Kemudian Baginda mengenakan pakaiannya dan terus bersolat Dhuha sebanyak lapan rakaat.”
Riwayat Muslim (336)
Daripada Ummu Hani R.Anha:
أَنَّ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى يَوْمَ الْفَتْحِ سُبْحَةَ الضُّحَى ثَمَانِيَ رَكَعَاتٍ وَيُسَلِّمُ مِنْ كُلِّ رَكْعَتَيْنِ
Maksudnya: “Bahawa Rasulullah bersolat Dhuha sebanyak lapan rakaat pada hari pembukaan kota Mekah. Baginda mengucap salam setiap kali selesai dua rakaat.”
Riwayat Abu Dawud[3] (1290) dan al-Albani berkata: Hadis ini daif
Imam al-Nawawi berkata: Para ashab kami dan jumhur ulama berdalilkan dengan hadis ini dalam menyatakan istihbab (galakan) melakukan solat dhuha sebanyak lapan rakaat. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 5/233)
Pendapat Kedua: Dua Belas Rakaat
Inilah pendapat mazhab Hanafi, Syafie dalam satu wajah yang lemah dan Imam Ahmad dalam satu riwayat. Ini berdasarkan kepada beberapa hadis, antaranya:
Daripada Ibn Umar R.Anhuma katanya, aku berkata kepada Abu Zar: Hai pakcik, wasiatkan aku! Jawabnya: Kamu bertanya kepadaku sebagaimana aku bertanya kepada Rasulullah SAW. Lantas Baginda bersabda:
إِنْ صَلَّيْتَ الضُّحَى رَكْعَتَيْنِ لَمْ تُكْتَبْ مِنَ الْغَافلِيْنَ، وَإِنْ صَلَّيْتَ أَرْبَعاً كُتِبْتَ مِنَ الْعَابِدِيْنَ، وَإِنْ صَلَّيْتَ سِتًّا لَمْ يَلْحَقْكَ ذَنْبٌ، وَإِنْ صَلَّيْتَ ثَمَانِيًا كُتِبْتَ مِنَ الْقَانِتِيْنَ، وَإِنْ صَلَّيْتَ اثْنَتَى عَشَرَةَ رَكْعَةً بُنِيَ لَكَ بَيْتٌ فِي الْجَنَّةِ، وَمَا مِنْ يَوْمٍ وَلاَ لَيْلَةٍ وَلاَ سَاعَةٍ إِلاَّ وَلِلَّهِ فِيْهَا صَدَقَةٌ يَمُنُّ بِهَا عَلَى مَنْ يَشَاءُ مِنْ عِبادِهِ، وَمَا مَنَّ عَلَى عَبْدٍ مِثْلَ أَنْ يُلْهِمَهُ ذِكْرُهُ
Maksudnya: “Jika kamu laksanakan solat Dhuha dua rakaat nescaya tidak ditulis di kalangan orang yang lalai, dan jika kamu laksanakan solat Dhuha empat rakaat nescaya ditulis di kalangan Abidin, jika kamu laksanakan solat Dhuha enam rakaat nescaya kamu tidak diikuti dengan dosa dan jika kamu laksanakan solat Dhuha lapan rakaat nescaya kamu ditulis di kalangan Qanitin (sentiasa berdiri untuk beribadat) dan jika kamu laksanakan solat Dhuha dua belas rakaat nescaya dibina bagimu istana dalam syurga dan tiada sehari semalam dan waktu kecuali bagi Allah padanya sedekah yang dikurniakan dengannya atas siapa yang dikehendaki atas hambanya dan tiada daripada mana-mana hamba seumpama diilham-Nya untuk zikir kepada-Nya.”
Riwayat Ibn Hibban (1/295). Al-‘Iraqi menyatakan hadis ini adalah dha’if (Lihat Tarh al-Tathrib, 3/71)
Daripada Abu al-Darda RA katanya Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ صَلَّى الضُّحَى رَكْعَتَيْنِ لَمْ يُكْتَبْ مِنَ الْغَافِلِيْنَ، وَمَنْ صَلَّى أَرْبَعاً كُتِبَ مِنَ الْعَابِدِيْنَ، وَمَنْ صَلَّى سِتًّا كُفِيَ ذَلِكَ الْيَوْمَ، وَمَنْ صَلَّى ثَمَانِياً كَتَبَهُ الله مِنَ الْقَانِتِيْنَ، وَمَنْ صَلَّى ثِنْتَى عَشْرَةَ بَنَى اللهُ لَهُ بَيْتاً فِي الْجَنَّةَ، وَمَا مِنْ يَوْمٍ وَلَيْلَةٍ إِلاَّ لله مَنُّ يَمُنُّ بِهِ عَلَى عِبَادِهِ وَصَدَقَةٌ، وَمَا مَنَّ اللهُ عَلَى أَحَدٍ مِنْ عِبَادِهِ أَفْضَلُ مِنْ أَنْ يُلْهِمَهُ ذِكْرَهُ
Maksudnya: “Siapa yang solat Dhuha dua rakaat nescaya tidak ditulis di kalangan yang lalai dan siapa yang solat Dhuha empat rakaat nescaya ditulis di kalangan Abidin dan siapa yang solat Dhuha enam rakaat nescaya dicukupkan hari tersebut dan siapa yang solat Dhuha lapan rakaat nescaya Allah menulis baginya di kalangan Qanitin (sentiasa berdiri untuk beribadat) dan siapa yang solat Dhuha dua belas rakaat nescaya dibina istana baginya dalam syurga dan tiada berlalu hari dan malam kecuali bagi Allah kurnian yang dikurniakan baginya atas hamba-hamba-Nya dan sedekah dan tiada kurniaan Allah ke atas seorang hamba-Nya lebih baik daripada diilham-Nya untuk berzikir kepada-Nya.”
Riwayat al-Tabarani dalam al-Kabir sepertimana disebut dalam al-Targhib wa al-Tarhib (1/266) oleh al-Munziri
Daripada Anas bin Malik R.A berkata Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ صَلَّى الضُّحَى ثِنْتَىْ عَشْرَةَ رَكْعَةً بَنَى اللَّهُ لَهُ قَصْرًا مِنْ ذَهَبٍ فِي الْجَنَّةِ
Maksudnya: “Siapa yang melaksanakan Solat Dhuha 12 rakaat, nescaya Allah binakan untuknya istana daripada emas di dalam syurga.”
Riwayat al-Tirmizi (473) dan beliau berkata hadis gharib. Akan tetapi ia dikuatkannya dengan syawahid.
Ibn Abidin berkata: Telah dihukumkan bahawa hadis daif harus beramal dengannya dalam masalah kelebihan.
Al-Haskafi dari ulama Hanafi menukilkan daripada kitab al-Zakhair al-Asyrafiah pertengahannya ialah lapan rakaat dan ia paling afdal kerana sabit dengan perbuatan dan sabda Baginda SAW. Adapun sebanyak-banyaknya, maka itu hanya dengan ucapannya sahaja. (Lihat al-Durr al-Mukhtar, 2/24)
Dalam mazhab Syafie, ramai di kalangan ulama berselisih pendapat, antaranya Imam Nawawi mempunyai dua pendapat:
- Dua belas rakaat sepertimana yang disebut dalam Minhaj al-Talibin (hlm. 36).
- Lapan rakaat seperti yang disebut dalam al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab (4/35).
- Beliau juga berkata dalam Raudhah al-Talibin (1/467): Afdal lapan rakaat dan sebanyaknya dua belas rakaat, di mana hendaklah memberi salam setiap dua rakaat.
Tarjih
Pendapat yang paling asah dan muktamad bahawa bilangan yang paling banyak solat Dhuha ialah lapan rakaat inilah yang dipilih dalam kitab al-Tahqiq dan al-Majmu’ termasuk Syeikh Muhammad al-Ramli. Tetapi Ibn Hajar al-Haitami berpendapat dengan dua belas rakaat sebagaimana Syeikh Abdul Salam al-Nazili telah menyebut dalam syairnya:
بِثِنْتَي مِنْهَا لَيْسَ تُكْتَبُ غَافِلاً ! وَأَرْبَعٌ تُدْعَى مُخْبِتًا يَا أَبَا عُمَرْ
وَسِتٌّ هَدَاكَ اللهُ تُكْتَبُ قَانِتًا ! ثَمَانٍ بِهَا فَوْزُ الْمُصَلِّي لَدَى الْحَشْرِ
وَتُمْحَى ذُنُوْبُ الْيَوْمِ بِالْعَشْرِ فَاصْطَبِرْ! وَإِنْ شِئْتَ ثِنْتَا عَشْرَهَا فُزْتَ بِالنَّصْرِ
Dengan dua rakaat kamu tidak ditulis lalai,
4 rakaat kamu digelar Mukhbit hai Abu Amar.
6 rakaat semoga Allah hidayah-Mu ditulis Qanit,
8 rakaat dengannya berjayalah yang solat di Mahsyar.
Dihapus dosa hari tersebut dengan 10 rakaat sabarlah,
Jika kamu mahu 12 rakaat kamu berkemenangan.
Syair di tersebut jelas menunjukkan keharusan solat Dhuha sebanyak dua belas rakaat, walaupun yang ditarjihkan oleh ramai ulama sebanyak lapan rakaat. Justeru, khilaf seperti ini bukan antara benar dan salah, tetapi antara baik dan yang lebih baik. Semoga kita menjadi golongan yang sentiasa melaksanakan solat Dhuha.
Adapun, berkenaan
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ أَعِنَّا عَلَى ذِكْرِكَ ، وَشُكْرِكَ ، وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ
Maksudnya: “Ya Allah, tolonglah kami untuk zikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu dan elok dalam beribadat kepada-Mu.”
Bertarikh: 25 September 2023 bersamaan 9 Rabiulawwal 1445
Nota Kaki:
[1] https://binbaz.org.sa/fatwas/24197/هل-صحت-السنة-في-صلاة-الفتح
[2] Ummu Hani binti Abu Talib al-Hasyimiah. Dikatakan namanya Fakhitah atau Fatimah atau Hindun tetapi nama yang pertama lagi masyhur. Beliau adalah isteri kepada Habirah bin Amr bin Aiz bin Imran al-Makhzumi. Meriwayatkan beberapa hadis dan meninggal dunia pada zaman Muawiyah.
[3] Sulaiman bin Asy’ath al-Sijistani. Dilahirkan pada tahun 202 Hijrah. Beliau mendengar ilmu hadis daripada ramai ulama. Antara gurunya ialah Imam Ahmad, al-Qa’nubi, Sulaiman bin Harb dan lain-lain. Begitu juga yang meriwayatkan daripadanya ialah al-Tirmizi dan al-Nasaie. Beliau pernah berkata: Aku menulis daripada Nabi SAW lebih daripada 500 ribu hadis, kemudian aku menapis untuk dimuatkan dalam kitab al-Sunan, di mana jumlah hadisnya 4800 hadis, tiada di dalamnya hadis yang diijmak ulama ditinggalkannya. Beliau meriwayatkan Sunannya di Baghdad dan penduduk di sana mengambil daripadanya. Beliau pernah membentangkannya kepada Imam Ahmad dan dipujinya. Al-Khatabi pernah berkata: Sunan Abu Dawud lebih baik kedudukan dan lebih banyak fiqh daripada dua sahih. Ibn al-Arabi berkata: Siapa yang di rumahnya terdapat kitab Allah dan Sunan Abu Dawud, nescaya dia tidak berhajat sesuatupun daripada ilmu. Al-Ghazali menjelaskannya bahawa memadai bagi mujtahid menguasai hadis-hadis hukum dan pendapat tersebut dipersetujui oleh ulama. Meninggal dunia pada tahun 275 Hijrah di Kota Basrah.