#3243: Khutbah Rasulullah SAW Ketika Pembukaan Kota Makkah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah Nabi SAW menyampaikan khutbah pada hari kedua selepas pembukaan kota Makkah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

إِذَا جَاءَ نَصْرُ اللَّهِ وَالْفَتْحُ ‎﴿١﴾‏ وَرَأَيْتَ النَّاسَ يَدْخُلُونَ فِي دِينِ اللَّهِ أَفْوَاجًا ‎﴿٢﴾‏ فَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ وَاسْتَغْفِرْهُ ۚ إِنَّهُ كَانَ تَوَّابًا ‎﴿٣﴾‏

Maksudnya: Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai negeri Makkah), –  Dan engkau melihat manusia masuk dalam ugama Allah beramai-ramai, –  Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya, sesungguhnya Dia amat menerima taubat.”

(Surah al-Nasr: 1-3)

Ucapan Rasulullah SAW pada hari kedua pembukaan Makkah

Pada hari kedua selepas pembukaan kota Makkah, Rasulullah SAW bangun di hadapan orang ramai untuk menyampaikan ucapan. Rasulullah SAW memuji dan mengagungkan Allah dengan selayak untuk-Nya.

Kemudian Rasulullah SAW berkata, “Hai manusia! Sesungguhnya Allah mengharamkan Makkah sejak diciptakan langit dan bumi; ia haram dengan pengharaman Allah sampailah ke Hari Kiamat. Oleh itu, orang yang beriman dengan Allah dan Hari Akhirat tidak halal menumpahkan darah atau menebang pokok-pokoknya. Kalau ada orang cuba menganggap ringan dengan alasan bahawa Rasulullah SAW sendiri berperang di Makkah, maka hendaklah kamu kata, ‘Sesungguhnya Allah hanya membenarkan kepada Rasul-Nya tetapi tidak kepada kamu,’ itu pun hanya dihalalkan kepadaku sebahagian waktu di siang hari, dan pada hari ini kehormatannya kembali semula sebagaimana kehormatannya semalam. Hendaklah orang yang hadir menyampaikan kepada orang yang tidak ada.”

Dalam satu riwayat lain menyebutkan, “Jangan dipotong duri-durinya, jangan diburu buruan, jangan dipungut barang yang jatuh kecuali orang yang benar-benar mengenalinya dan jangan dipotong rumput rampainya.” Lantas al-Abbas berkata, “Wahai Rasulullah, kecuali pokok idhkhir kerana ia digunakan oleh tukang-tukang untuk membuat rumah.” Rasulullah SAW bersabda, “Kecuali idhkhir.”

Pada hari itu, Bani Khuzaah telah membunuh seorang lelaki Bani sebagai membela seorang daripada kalangan mereka yang terbunuh semasa Layth jahiliah. Mengenai hal ini, Rasulullah SAW bersabda, “Hai sekalian Bani Khuzaah, hentikanlah daripada membunuh. Sesungguhnya telah banyak berlaku pembunuhan sekali pun ada manfaat. Kamu telah membunuh seseorang yang terpaksa aku jelaskan diatnya. Oleh itu, barang siapa yang membunuh selepas ucapanku ini, maka keluarga mangsa boleh memilih antara dua pilihan; jika mahu mereka boleh membunuh balas dan jika mahu mereka boleh menuntut bayaran diat.”

Dalam satu riwayat menyebutkan bahawa bangun seorang lelaki dari Yaman yang bernama Abu Shah dan berkata, “Wahai Rasulullah, tuliskan untukku ucapan ini.” Rasulullah SAW pun berkata, “Tuliskan untuk Abu Shah.” (Lihat Sirah Nabawiyyah al-Rahiq al-Makhtum, hlm. 705-706)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”

Bertarikh: 25 September 2023 bersamaan 9 Rabiulawwal 1445