#3247: Memberikan Daging Sembelihan Nazar Kepada Orang Bukan Islam

Soalan:

Assalamu’alaikum Dr, saya nak tanya tentang nazar, bolehkah daging yang disembelih atas niat nazar diberikan kepada orang bukan islam makan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Nazar dari sudut istilah ialah apa yang  telah ditakrifkan  oleh para ulama’ iaitu: Mewajibkan atas diri sendiri suatu perbuatan qurbah (mendekatkan diri dengan Allah) yang tidak ditentukan dalam syara’, sama ada secara mutlak atau pun dengan menta’liqkan (iaitu mengaitkan) dengan suatu perkara. (Lihat  al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i, 2/501)

Firman Allah SWT:

ثُمَّ لْيَقْضُوا تَفَثَهُمْ وَلْيُوفُوا نُذُورَهُمْ

Maksudnya: “Kemudian hendaklah mereka membersihkan dirinya dan hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazarnya.

(Surah al-Hajj: 29)

Diriwayatkan daripada  Aisyah bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ نَذَرَ أَنْ يُطِيعَ اللَّهَ فَلْيُطِعْهُ، وَمَنْ نَذَرَ أَنْ يَعْصِيَهُ فَلاَ يَعْصِهِ

Maksudnya: Barangsiapa yang bernazar untuk mentaati Allah maka hendaklah dia melaksanakan ketaatan itu, dan barangsiapa yang bernazar untuk melakukan maksiat maka janganlah dia melakukan maksiat itu.

Riwayat al-Bukhari (6696)

Begitu juga, jika sekiranya seorang itu bernazar untuk melakukan sesuatu ketaatan kepada Allah SWT, maka hendaklah dia menunaikannya. Namun, jika dia bernazar kemaksiatan, maka tidak boleh dia menunaikannya. Rasulullah SAW bersabda dalam satu hadith yang diriwayatkan daripada Aisyah bahawa:

مَنْ نَذَرَ أَنْ يُطِيعَ اللَّهَ فَلْيُطِعْهُ، وَمَنْ نَذَرَ أَنْ يَعْصِيَهُ فَلاَ يَعْصِهِ

Maksudnya: Barangsiapa yang bernazar untuk mentaati Allah maka hendaklah dia melaksanakan ketaatan itu, dan barangsiapa yang bernazar untuk melakukan maksiat maka janganlah dia melakukan maksiat itu.

Riwayat al-Bukhari (6696)

Telah dinyatakan dalam Fiqh al-Manhaji bahawa: Nazar hanya dibolehkan kepada perkara kebajikan dan sekiranya bernazar perkara haram dan makruh maka tidak sah nazarnya seperti bernazar untuk merogol dan selainnya (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/26).

Rukun Nazar

Para ulama menyatakan bahawa nazar mempunyai tiga rukun iaitu :

  • Sighah(bentuk ucapan).
  • Orang yang melakukan nazar (الناذر)
  • Perkara yang dinazarkan (المنذور)

Syeikh Dr. Muhammad Al-Zuhaili dalam menghuraikan rukun yang pertama iaitu sighah menyatakan : ‘’Ia (sighah) adalah ucapan yang terbit dari pelaku nazar. Dan tidak sah nazar melainkan dengan perkataan. Iaitu seseorang itu mengucapkan : ‘’Untuk Allah ke atas diriku perbuatan sekian-sekian’’. Sekiranya seseorang itu menyebut : ‘’Ke atas diriku perbuatan sekian-sekian’’, maka nazarnya sah. Ini kerana, perbuatan ibadah itu tidak berlaku melainkan hanya untuk Allah semata-mata’’. Yang paling lengkap dalam sighah nazar ini sebagai contoh adalah : ‘’Sekiranya Allah menyembuhkan sakitku ini, maka untuk Allah ke atas diriku perbuatan sekian’’. Dan disyaratkan juga pada sighah supaya dilakukan dengan lafaz yang menunjukkan kepada iltizam (kesungguhan).(Lihat Al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 2/505)

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan daging yang disembelih atas niat nazar merupakan perkara yang diperselisihi di kalangan para ulama. Ada yang membenarkannya dan ada juga yang melarang. Namun kami berpandangan adalah sebaiknya daging tersebut  diberikan kepada muslim dari kalangan yang fakir dan miskin dan tidak diberikan kepada non muslim . Yang demikian merupakan pandangan dari kalangan ulama mazhab Syafi’e dan sebahagian daripada mazhab Malik. Ini adalah pendapat yang lebih selamat dan ihtiyat.

Al-Nawawi menyatakan bahawa : Ibnu Manzur berkata: “Umat Islam telah bersepakat  mengenai kebolehan memberi makan orang miskin Muslim dengan daging korban. Namun, mereka berbeza pendapat mengenai memberi makan orang miskin dari kalangan  ahli zimmi. Al-Hasan al-Basri dan Abu Thawr membenarkan memberi makan kepada mereka. Malik berkata: ‘Kami lebih suka memberi makan kepada orang lain selain mereka.’ Malah, Malik juga tidak suka memberi kulit atau apa-apa bahagia daripada daging korban kepada Nasrani.” Al-Laith berkata: “Jika daging korban dimasak, maka tidak ada masalah untuk memberikan kepada ahli zimmi untuk memakannya bersama-sama dengan orang Muslim. Pendapat yang mesti diperhatikan ialah adalah dibenarkan memberi makan kepada  mereka dari korban yang sunat bukan yang wajib. (Lihat al-Din al-Khalis au Irsyad al-Khal ila Din al-Haq,hlm.5/37)

Adapun sekiranya daging tersebut daripada korban yang sunat kami berpandangan dibolehkan untuk memberikannya kepada non muslim  terutama kepada ahli keluarga, jiran atau fakir miskin dari kalangan mereka. Ini sebagaimana firman Allah SWT:

لَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ أَنْ تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّالْمُقْسِطِينَ

Maksudnya: “Allah tiada melarang kamu untuk berlaku baik dan berbuat adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu karena agama dan tidak mengusirmu dari negerimu.”

(Surah Al-Mumtahanah: 8)

Ibn Kathir telah menafsirkan ayat di atas dengan berkata, bahawa Allah SWT tidak menghalang umat Islam berbuat baik terhadap orang bukan Islam selagi mana mereka tidak menentang dalam hal berkaitan agama, tidak menindas kaum wanita dan orang-orang yang lemah. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 8/90)

Diriwayatkan daripada Mujahid bahwa pernah suatu ketika, sesekor kambing disembelih dirumah Abdullah Bin Amru maka ketika  beliau datang lalu bertanya: Apakah kalian telah memberi kepada tetangga yahudi kita? Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

مَا زَالَ جِبْرِيلُ يُوصِينِي بِالْجَارِ حَتَّى ظَنَنْتُ أَنَّهُ سَيُوَرِّثُهُ

Maksudya: Jibril telah berwasiat kepadaku untuk berbuat baik kepada jiran sehingga aku menyaka dia akan mewarisinya.

Riwayat Tarmizi(1943)

Ibnu Qudamah menyatakan: Dan dibenarkan untuk memberi makan kepada orang kafir dari daging korban  kerana ini merupakan sedekah , maka dibenarkan memberi makan kepada orang ahli zimmi dan tawanan, seperti sedekah-sedekah  yang lain.” (Lihat Al-Mughni, 9/450).

Justeru kami katakan dalam isu ini kami katakan daging dari penyembelihan korban yang wajib iaitu nazar hendaklah diberi keutamaan kepada saudara-saudara muslimin yang fakir dan miskin. Namun sekiranya tempat tinggal saudara berjauhan dengan penduduk muslim maka kami katakan dibolehkan memberikan daging tersebut kepada non muslim yang berjiran.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang baik dalam melaksanakan titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّار

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

Wallahua’lam

Bertarikh: 26 September 2023 bersamaan 10 Rabiulawwal 1445