#3250: Hukum Mengatakan Perbankan Islam Ialah Riba’ yang Tersembunyi

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum mengatakan perbankan Islam ialah riba’ yang tersembunyi? Dan mengajak orang ramai mengutuk badan-badan dan individu penasihat syariah kerana mengkhianati masyarakat?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Allah SWT berfirman:

وَأَحَلَّ ٱللَّهُ ٱلۡبَيۡعَ وَحَرَّمَ ٱلرِّبَوٰاْۚ

Maksudnya: “Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba.”

(Surah al-Baqarah: 275)

Menurut Imam al-Mawardi, para ulama telah sepakat tentang pengharaman riba namun terdapat perbezaan pandangan tentang cabang-cabang berkaitan riba dan kaedah pengharamannya. Beliau berkata:

قَدْ أَجْمَعَ الْمُسْلِمُونَ عَلَى تَحْرِيمِ الرِّبَا وَإِنِ اخْتَلَفُوا فِي فُرُوعِهِ وَكَيْفِيَّةِ تَحْرِيمِهِ

Maksudnya: Sesungguhnya telah sepakat kaum muslimin (para ulama) atas pengharaman riba walaupun terdapat perbezaan terhadap perkara cabangnya dan bagaimana pengharamannya.” (Lihat al-Hawi al-Kabir, 5/74)

Manakala pandangan oleh Imam Nawawi dalam al-Majmu’ menyatakan riba adalah salah satu dosa besar malah pengharaman riba ini turut dilakukan oleh syariat agama lain. Beliau berkata:

فَقَدْ أَجْمَعُ الْمُسْلِمُونَ عَلَى تَحْرِيمِ الرِّبَا وَعَلَى أَنَّهُ مِنْ الْكَبَائِرِ وَقِيلَ إنَّهُ كَانَ مُحَرَّمًا فِي جَمِيعِ الشَّرَائِعِ

Maksudnya: “Sesungguhnya telah sepakat kaum muslimin atas pengharaman riba dan ianya merupakan salah satu dosa besar, dan ada pendapat yang menyatakan riba diharamkan pada semua syariat agama-agama lain (samawi)” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 9/391)

Sebenarnya, persoalan di atas sudah beberapa kali kami jawab, kami katakan seperti berikut:

  • Sistem perbankan Islam dan Bank Islam seupaya mungkin menjarakkan daripada riba.
  • Sistem perbankan Islam dan Bank Islam seupaya mungkin menjarakkan daripada gharar (penipuan).
  • Perbankan Islam mempunyai panel syariahnya yang bersifat memantau perjalanan sistem sesebuah bank. Sesuatu produk yang ingin dihasilkan hendaklah mendapat persetujuan panel syariah Bank Negara. Ini lebih meyakinkan kita bahawa kehendak pelaksanaan Bank Islam selaras dengan tuntutan Islam.
  • Kami thiqah dan yakin panel syariah seupaya mungkin menjadikan perbankan Islam benar-benar menepati syariah dan roh maqasid syariah.
  • Antara perkara yang terpenting nawaitu dan usaha yang telah dilakukan sepatutnya mendapat sokongan dan dokongan daripada semua pihak termasuk kerajaan.
  • Beberapa kelemahan yang dikenalpasti bukanlah membawa kepada riba atau gharar tetapi lebih bersifat teknikal dan beberapa hal yang lain. Justeru, bagi mengatasinya, perlulah berlaku pengislahan dari semasa ke semasa dan boleh dibuat review untuk penambahbaikan dan pembetulan beberapa isu teknikal atau seumpanya.

Justeru, kami katakan bahawa tidak sewajarnya sesorang itu mengatakan perbankan Islam ialah riba’ yang tersembunyi sedangkan mereka sedaya upaya berusaha untuk mengelakkan bank daripada terjebak kepada riba. Begitu juga dengan tindakan mengajak orang ramai mengutuk badan-badan dan individu penasihat syariah kerana mengkhianati masyarakat kerana mereka adalah kumpulan yang memantau sistem perbankan ini supaya  ia selari dengan syara’ dan menghindari riba dan penganiayaan.

Marilah sama-sama kita menyokong perbankan Islam sementelahan lagi kita sebagai orang Islam yang wajib menjarakkan diri dari sebarang bentuk riba kerana ia merupakan musuh dan mengisytiharkan perang kepada Allah SWT dan Rasul-Nya.

Kami menutup dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka”

Bertarikh: 26 September 2023 bersamaan 10 Rabiulawwal 1445