#3251: Memakan Daging Baghal

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah hukum memakan daging baghal? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Definisi Baghal

Kami mulakan dengan mengemukakan takrif baghal terlebih dahulu. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, baghal ialah binatang hasil daripada pengawanan antara kuda betina dengan keldai jantan.[1] Ringkasnya, baghal atau dalam bahasa Inggeris ia dipanggil sebagai mule adalah hasil persilangan (kacukan) antara seekor keldai jantan (jackass atau jack) dengan seekor kuda betina (mare). Silangan atau kacukan yang kurang umum antara seekor keldai betina dengan seekor kuda jantan menghasilkan hinny, atau hinney, yang lebih kecil daripada baghal (mule). Baghal digunakan sebagai haiwan mengangkut beban di Asia Minor (Anatolia) setidaknya 3,000 tahun yang lalu dan masih digunakan hingga saat ini di banyak bahagian dunia kerana kemampuannya untuk bertahan dalam kondisi susah dan melakukan pekerjaan di bawah kondisi yang terlalu berat bagi banyak haiwan penarik dan haiwan bawaan lainnya. Baghal biasanya mandul.

Baghal menyerupai kuda dalam tinggi badan, keseragaman bulu, dan bentuk leher dan belakang. Ia menyerupai keldai dalam kepala yang pendek dan tebal, telinga panjang, anggota tubuh yang ramping, kuku yang kecil, dan janggut yang pendek. Biasanya, bulunya berwarna coklat atau bay (coklat kemerah-merahan). Ukuran baghal bervariasi luas, mulai dari sekitar 12 hingga 17.5 tangan (120 hingga 180 cm, atau 50 hingga 70 inci) dalam tinggi dan beratnya berkisar antara 275 hingga 700 kg (600 hingga 1,500 paun).[2]

Hukum Memakan Baghal

Dalam menjawab soalan di atas, Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa daging baghal adalah haram di sisi ulama mazhab Syafi‘i, dan ini juga merupakan pendapat seluruh ulama melainkan al-Hasan al-Basri yang berpendapat daging baghal adalah harus — untuk dimakan. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/8).

Hal ini adalah berdasarkan kepada riwayat Jabir bin Abdullah R.A, beliau berkata:

ذَبَحْنَا يَوْمَ خَيْبَرَ الْخَيْلَ، وَالْبِغَالَ، وَالْحَمِيرَ، فَنَهَانَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنِ البِغَالِ، وَالْحَمِيرِ، وَلَمْ يَنْهَنَا عَنِ الْخَيْلِ

Maksudnya: “Pada waktu perang Khaibar, kami menyembelih kuda, baghal dan keldai jinak. Lalu Rasulullah SAW telah melarang kami daripada memakan daging baghal dan keldai jinak, tetapi tidak melarang kami daripada memakan daging kuda.”

Riwayat Abu Daud (3789)

Selain itu, Kamaluddin al-Damiri menyebutkan bahawa baghal haram dimakan kerana ia merupakan haiwan (yakni spesies) yang lahir daripada pengawanan antara haiwan yang halal dengan haiwan yang haram untuk dimakan. Jika haiwan itu lahir, hasil daripada pengawanan antara kuda dengan keldai liar, maka dagingnya adalah halal untuk dimakan tanpa sebarang khilaf. Tambahan lagi, disandarkan juga hukum baghal dari segi pengharaman (memakan dagingnya) bagi setiap haiwan yang lahir daripada hasil pengawanan antara haiwan yang boleh dimakan dengan tidak boleh dimakan seperti al-Sim‘u (السِّمْعُ).[3] Demikianlah juga hukumnya bagi keldai yang lahir, hasil daripada pengawanan antara keldai liar dengan keldai jinak, sama ada haiwan yang halal dimakan itu jantan ataupun betina. (Lihat al-Najm al-Wahhaj fi Syarh al-Minhaj, 9/547-548).

Tambahan pula, hal ini juga bertepatan dengan kaedah fiqh yang menyebutkan:

إِذَا تَعَارَضَ حَاظِرٌ وَمُبِيحٌ قُدِّمَ الحَاظِرُ احْتِيَاطًا

Maksudnya: “Sekiranya bertembung antara hukum haram dan harus, maka hukum haram didahulukan sebagai langkah berhati-hati.” (Lihat al-Qawaid al-Fiqhiyyah al-Mustakhrajah min Kitab I‘lam al-Muwaqqi‘in, hlm. 400).

Pendapat yang mengharamkan daging baghal juga merupakan pendapat dalam kalangan ulama mazhab Hanbali. Ibn Qudamah menyebutkan bahawa baghal adalah haram untuk dimakan di sisi mereka yang mengharamkan daging keldai jinak kerana ia lahir daripadanya, dan apa yang lahir daripada sesuatu yang haram akan mengambil hukum haram tersebut. (Lihat al-Mughni, 9/326).

Manakala ulama dalam kalangan mazhab Hanafi pula berpendapat bahawa hukum baghal bergantung kepada hukum ibunya. Jika ibunya adalah keldai betina jinak, maka hukum dagingnya adalah makruh tahrim — yakni haram — kerana mengikut hukum ibunya. Namun, jika ibunya ialah kuda betina, maka terdapat perbezaan pendapat mengenainya sebagaimana pada hukum kuda iaitu Abu Hanifah berpendapat hukumnya adalah makruh, manakala dua murid kanannya pula — yakni Abu Yusuf dan Muhammad bin al-Hasan berpendapat hukumnya adalah harus. (Lihat Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/145).

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada kenyataan dan perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa hukum daging baghal  ini terbahagi kepada dua keadaan iaitu:

  • Jika ia lahir hasil daripada kacukan silang antara kuda dan keldai liar, tidak kira mana yang jantan dan mana yang betina, maka kami berpendapat bahawa dagingnya adalah halal untuk dimakan tanpa sebarang khilaf kerana kedua-duanya berasal daripada haiwan yang halal untuk dimakan.
  • Namun, jika ia merupakan hasil kacukan pembiakan silang antara kuda dan keldai jinak, tidak kira mana yang jantan dan mana yang betina, maka kami berpendapat bahawa dagingnya adalah haram untuk dimakan kerana ia lahir daripada sesuatu yang haram dimakan (iaitu salah satu induknya) maka ia mengambil hukumnya — iaitu haram. Ini adalah pendapat yang dilihat lebih selamat dan berhati-hati (ihtiyat).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=baghal. Diakses pada 22 September 2023.

[2] Lihat https://www.britannica.com/animal/mule-mammal. Diakses pada 22 September 2023.

[3] Al-Sim‘u ialah haiwan yang lahir daripada pengawanan antara serigala dengan dubuk dan hukumnya adalah haram  untuk dimakan. (Lihat al-Mughni, 9/407-408).

Bertarikh: 26 September 2023 bersamaan 10 Rabiulawwal 1445