Soalan:
Assalamualaikum Dr. Saya nak bertanya berkenaan ulser mulut (netup bibir). Apakah hukum ulser tersebut ketika puasa kerana akan wujud rasa lain seperti masin di dalam mulut walaupun setelah berkumur. Ada masanya ketika diletakkan tisu ke atas ulser ada sedikit warna kuning dan agak rumit untuk menjaganya sifat ulser ini terbuka dan berada di dalam mulut, adakah ia menajiskan mohon penjelasan Dr. ?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Menurut Dr. Zubaidi Hj Ahmad, ulser mulut merupakan satu keadaan yang biasa berlaku. Ulser mulut biasanya berbentuk bulat, berwarna putih atau kelabu dan bengkak. Ia menyebabkan rasa tidak selesa, sakit ketika hendak makan dan minum ataupun semasa memberus gigi. Dalam keadaaan ulser yang teruk, pertuturan seseorang juga mungkin dipengaruhi.
Ulser mulut boleh terjadi apabila terdapat kecederaan tergigit mulut dengan tidak sengaja atau dengan penggunaan gigi palsu dan pendakap gigi yang tidak sempurna. Selain daripada itu, tabiat pemakanan juga boleh mempengaruhi kejadian ulser mulut. Makan makanan yang terlalu pedas, panas ataupun keras dan kurang minum air boleh menyebabkan tisu lembut di dalam mulut mudah mengalami kecederaan dan akhirnya menyebabkan ulser mulut.
Sebab-sebab ulser mulut yang lain ialah kekurangan vitamin B, C dan E, penggunaan sesetengah ubat-ubatan, jangkitan virus, bakteria atau infeksi kulat, penyakit sistemik dan sebagainya. Ulser mulut bukan suatu penyakit, tetapi ia boleh menjadi petanda klinikal untuk sesuatu penyakit yang sedia ada. Oleh itu, punca penyebab ulser mulut perlu dikenal pasti supaya rawatan dan pengendalian yang sewajarkan dapat dilakukan.
Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan antara perkara yang membatalkan puasa adalah memasukkan seseuatu ke dalam rongga. Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji juga ada menyebut bahawa salah satu daripada perkara yang membatalkan puasa ialah “sampainya suatu ain ke jauh (rongga) daripada saluran yang terbuka. Ain itu adalah suatu yang boleh dilihat dengan mata kasar. Jauf pula ialah bahagian otak[4] atau bahagian selepas tekak sehingga perut dan usus-usus. Saluran terbuka pula bermaksud mulut, telinga, alat sulit hadapan, dan belakang, bagi lelaki dan perempuan.”(Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/342)
Dalam isu ini kami katakan secara asasnya darah merupakan najis sebagaimana firman Allah SWT:
قُل لَّا أَجِدُ فِي مَا أُوحِيَ إِلَيَّ مُحَرَّمًا عَلَىٰ طَاعِمٍ يَطْعَمُهُ إِلَّا أَن يَكُونَ مَيْتَةً أَوْ دَمًا مَّسْفُوحًا أَوْ لَحْمَ خِنزِيرٍ فَإِنَّهُ رِجْسٌ
Maksudnya: “Aku tidak mendapati dalam perkara yang diwahyukan kepadaku sesuatu yang diharamkan bagi orang hendak memakannya melainkan benda itu berupa bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi – kerana sesungguhnya ia adalah kotor…
(Surah al-An’am:145)
Ayat di atas menerangkan bahawa darah yang mengalir tidak kira datang daripada haiwan mahupun manusia merupakan perkara yang dianggap kotor dan najis apatah lagi dalam kuantiti yang banyak. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 1/44)
Namun kami katakan darah daripada ulser tersebut dimaafkan kerana ia bukanlah darah yang mengalir yang boleh membatalkan puasa sekira menelannya dengan sengaja. Oleh yang demikian kami katakan ia tidak memberi kesan kepada sahnya puasa saudara.
Syeikh Bin Baz menyatakan bahawa: Tidak membatalkan puasa, baik darah yang keluar dari mulutmu atau dari bahagian tubuhmu yang lain. Luka-luka tidak membatalkan puasa, begitu juga dengan wuduk. Darah yang keluar dari bibir atau gusi tidak merosakkan wuduk, tetapi anda perlu membersihkannya sehingga hilang. Wuduk tetap sah. Demikian juga, puasa tetap sah. Yang dapat membatalkan puasa adalah berbekam, jika seseorang berbekam dalam keadaan sihat, maka ia dapat membatalkan puasanya, ini adalah pendapat yang paling kuat di kalangan ulama.[1]
Firman Allah SWT:
فَٱتَّقُوا۟ ٱللَّـهَ مَا ٱسْتَطَعْتُمْ
Maksudnya: “Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu.”
(Surah al-Taghabun: 16)
Syeikh al-Sa‘di menyebutkan, ayat ini menunjukkan bahawa setiap kewajipan yang tidak mampu dilakukan oleh seorang hamba menjadi gugur. Dalam erti kata lain, seorang hamba itu, jika dia mampu menunaikan sebahagian kewajipan dan tidak mampu untuk menunaikan sebahagian yang lain, maka cukuplah dia menunaikan kewajipan yang dia mampu lakukan, manakala kewajipan yang dia benar-benar tidak mampu untuk tunaikan menjadi gugur. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/868).
Begitu juga firman Allah:
لا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلاَّ وُسْعَهَا
Maksudnya: “Allah tidak membebani seseorang kecuali sesuai dengan batas kemampuannya”
(Surah al-Baqarah: 286)
Syeikh al-Maraghi berkata: Allah SWT tidak membebankan hamba-hamba-Nya dengan sesuatu yang tidak mampu mereka kerjakan. Bahkan sifat kemurahan-Nya memberikan kemudahan kepada mereka. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/672)
Sebagai kesimpulannya, kami nyatakan bahawa sedikit darah yang mungkin keluar dari ulser atau luka kecil tidak akan membatalkan puasa saudara. Ini adalah perkara yang diampunkan dan dianggap tidak mempengaruhi puasa kerana jumlah darah yang keluar adalah sedikit.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّار
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”
Wallahua’lam
[1] https://binbaz.org.sa/fatwas/16283/
Diakses pada 22 September 2023
Bertarikh: 26 September 2023 bersamaan 10 Rabiulawwal 1445