#3260: Berhutang Untuk Mempelajari Agama

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah boleh dan patut seseorang itu berhutang kerana ingin mempelajari ilmu agama di peringkat tinggi, dan bersusah payah dalam usaha untuk sampai kepada pengajian itu? Dan bagaimana pula ustaz melihat keadaan ini? Mohon penjelasan, jazakumullahukhairan.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

فَلَوْلَا نَفَرَ مِن كُلِّ فِرْقَةٍ مِّنْهُمْ طَائِفَةٌ لِّيَتَفَقَّهُوا فِي الدِّينِ وَلِيُنذِرُوا قَوْمَهُمْ إِذَا رَجَعُوا إِلَيْهِمْ لَعَلَّهُمْ يَحْذَرُونَ

Maksudnya: “Oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam ugama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah).

(Surah al-Taubah: 122)

Berdasarkan ayat di atas, jelas menunjukkan perintah dan kepentingan menuntut ilmu bagi setiap Muslim. Bagi melaksanakan perintah ini, jikalau dia tidak mampu dari segi kewangan sebenarnya seorang penuntut ilmu layak untuk memohon dan menerima zakat.

Allah SWT berfirman:

 إِنَّمَا الصَّدَقَاتُ لِلْفُقَرَاءِ وَالْمَسَاكِينِ وَالْعَامِلِينَ عَلَيْهَا وَالْمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ وَفِي الرِّقَابِ وَالْغَارِمِينَ وَفِي سَبِيلِ اللَّـهِ وَابْنِ السَّبِيلِ ۖ فَرِيضَةً مِّنَ اللَّـهِ ۗ وَاللَّـهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ

Maksudnya: “Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”

Surah al-Taubah (60)

Para ulama berpendapat bahawa seseorang yang berstatus pelajar juga mempunyai bahagian dalam asnaf zakat melalui asnaf fi sabilillah selain daripada kategori asnaf fakir, miskin dan sebagainya.

Terdapat pelbagai tafsiran dan definisi yang dikemukan para ulama berkenaan asnaf fi sabilillah. Di sini kami sertakan takrifan rasmi yang dipilih oleh Pusat Pungutan Zakat -Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP).

Asnaf fi sabilillah ialah: “Mana‐mana orang atau pihak yang melibatkan diri dalam suatu aktiviti atau aktiviti untuk menegak, mempertahankan dan mendakwahkan agama Islam serta kebajikannya.[1]

Berdasarkan kepada takrifan umum di atas penuntut ilmu atau pelajar termasuk di dalam kategori asnaf fi sabilillah melalui skim Pendidikan.[2]

Imam al-Nawawi ketika membincangkan berkenaan golongan fakir miskin yang mampu bekerja dan mencari rezeki dalam masa yang sama ingin mempelajari ilmu agama menyebut:

وَلَوْ قَدَرَ عَلَى كَسْبٍ يَلِيقُ بِحَالِهِ إلَّا أَنَّهُ مُشْتَغِلٌ بِتَحْصِيلِ بَعْضِ الْعُلُومِ الشَّرْعِيَّةِ بِحَيْثُ لَوْ أَقْبَلَ عَلَى الْكَسْبِ لَانْقَطَعَ عَنْ التَّحْصِيلِ حَلَّتْ لَهُ الزَّكَاةُ لِأَنَّ تَحْصِيلَ الْعِلْمِ فَرْضُ كِفَايَةٍ

Maksudnya: “Jika seseorang berkemampuan untuk mencari pekerjaan yang sesuai dengan keadaannya namun disibukkan diri dengan mempelajari sebahagian daripada ilmu syariah yang mana sekiranya dia fokus terhadap mencari rezeki kelak terputuslah peluang menuntut ilmu, oleh itu halal untuknya menerima zakat.” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 6/190)

Ia juga adalah pandangan majoriti ulama seperti yang disebutkan dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah:

اتَّفَقَ الْفُقَهَاءُ عَلَى جَوَازِ إعْطَاءِ الزَّكَاةِ لِطَالِبِ الْعِلْمِ، وَقَدْ صَرَّحَ بِذَلِكَ الْحَنَفِيَّةُ وَالشَّافِعِيَّةُ، وَالْحَنَابِلَةُ، وَهُوَ مَا يُفْهَمُ مِنْ مَذْهَبِ الْمَالِكِيَّةِ

Maksudnya: “Para fuqaha bersepakat tentang keharusan memberikan wang zakat kepada penuntut ilmu. Perkara ini disebutkan secara jelas oleh para ulama mazhab Hanafi, Syafie dan Hanbali. Begitu juga yang difahami daripada mazhab Maliki. Manakala sebahagian ulama Hanafi menyatakan:

وَذَهَبَ بَعْضُ الْحَنَفِيَّةِ إلَى جَوَازِ أَخْذِ طَالِبِ الْعِلْمِ الزَّكَاةَ وَلَوْ كَانَ غَنِيًّا إذَا فَرَّغَ نَفْسَهُ لإِفَادَةِ الْعِلْمِ وَاسْتِفَادَتِهِ، لِعَجْزِهِ عَنْ الْكَسْبِ

Maksudnya: Bahkan sebahagian daripada ulama’ mazhab Hanafi berpendapat bahawa penuntut ilmu berhak mendapat zakat walaupun dia seorang yang kaya sekiranya dia menfokuskan diri untuk memperoleh ilmu pengetahuan disebabkan kekangan untuk mencari pendapatan. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 28/337)

Berdasarkan huraian di atas, secara asalnya sekiranya seseorang itu menerima harta zakat atas kapasitinya sebagai asnaf zakat berdasarkan syarat dan kriteria yang ditetapkan Baitulmal, maka diharuskan untuk menggunakan wang tersebut mengikut perancangan dan kehendak dirinya terhadap perkara-perkara yang dibenarkan syarak.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

[1] Lihat https://www.zakat.com.my/info-zakat/golongan-penerima-zakat/

[2] Lihat https://www.maiwp.gov.my/i/index.php/en/bz

Bertarikh: 26 September 2023 bersamaan 10 Rabiulawwal 1445