Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya berminat untuk tahu lebih tentang Ihsan selepas terdengar tentang hadith Jibril. Ihsan disebut bersama dengan Iman, Islam dan hari pembalasan, tetapi seperti jarang dengar disebutkan. Minta maaf kalau saya ada terlepas pandang artikel sebelum ini jika ada ditulis. Jazakallahu khairan.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan hadith Nabi SAW:
بَيْنَمَا نَحْنُ عِنْدَ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ذَاتَ يَوْمٍ إِذْ طَلَعَ عَلَيْنَا رَجُلٌ شَدِيدُ بَيَاضِ الثِّيَابِ شَدِيدُ سَوَادِ الشَّعَرِ لاَ يُرَى عَلَيْهِ أَثَرُ السَّفَرِ وَلاَ يَعْرِفُهُ مِنَّا أَحَدٌ حَتَّى جَلَسَ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فَأَسْنَدَ رُكْبَتَيْهِ إِلَى رُكْبَتَيْهِ وَوَضَعَ كَفَّيْهِ عَلَى فَخِذَيْهِ ثُمَّ قَالَ يَا مُحَمَّدُ أَخْبِرْنِي عَنِ الإِسْلاَمِ قَالَ ” أَنْ تَشْهَدَ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ وَتُقِيمَ الصَّلاَةَ وَتُؤْتِيَ الزَّكَاةَ وَتَصُومَ رَمَضَانَ وَتَحُجَّ الْبَيْتَ إِنِ اسْتَطَعْتَ إِلَيْهِ سَبِيلاً ” . قَالَ صَدَقْتَ . فَعَجِبْنَا إِلَيْهِ يَسْأَلُهُ وَيُصَدِّقُهُ ثُمَّ قَالَ أَخْبِرْنِي عَنِ الإِيمَانِ قَالَ ” أَنْ تُؤْمِنَ بِاللَّهِ وَمَلاَئِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ وَالْقَدَرِ كُلِّهِ خَيْرِهِ وَشَرِّهِ ” . قَالَ صَدَقْتَ . قَالَ فَأَخْبِرْنِي عَنِ الإِحْسَانِ قَالَ ” أَنْ تَعْبُدَ اللَّهَ كَأَنَّكَ تَرَاهُ فَإِنْ لَمْ تَكُنْ تَرَاهُ فَإِنَّهُ يَرَاكَ ” . قَالَ فَأَخْبِرْنِي عَنِ السَّاعَةِ قَالَ ” مَا الْمَسْئُولُ عَنْهَا بِأَعْلَمَ بِهَا مِنَ السَّائِلِ ” . قَالَ فَأَخْبِرْنِي عَنْ أَمَارَاتِهَا قَالَ ” أَنْ تَلِدَ الأَمَةُ رَبَّتَهَا وَأَنْ تَرَى الْحُفَاةَ الْعُرَاةَ الْعَالَةَ رِعَاءَ الشَّاءِ يَتَطَاوَلُونَ فِي الْبُنْيَانِ ” . قَالَ عُمَرُ فَلَبِثْتُ ثَلاَثًا ثُمَّ قَالَ لِي رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ” يَا عُمَرُ هَلْ تَدْرِي مَنِ السَّائِلُ ” . قُلْتُ اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ . قَالَ ” فَإِنَّهُ جِبْرِيلُ عَلَيْهِ السَّلاَمُ أَتَاكُمْ لِيُعَلِّمَكُمْ أَمْرَ دِينِكُمْ
Maksudnya: “Ketika kami berada di sisi Rasulullah SAW pada suatu hari, tiba-tiba datanglah seorang lelaki yang sangat putih pakaiannya dan sangat hitam rambutnya, tidak kelihatan padanya tanda perjalanan jauh dan tidak ada seorang pun di antara kami yang mengenalinya. Sehinggalah dia duduk di hadapan Nabi SAW lalu merapatkan kedua lututnya kepada lutut Baginda, dan meletakkan kedua tapak tangannya ke atas pahanya, lalu berkata: ‘Wahai Muhammad, ceritakan kepadaku tentang Islam,’ Rasulullah SAW bersabda: ‘Islam adalah engkau bersaksi bahawa tidak ada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, dan Nabi Muhammad adalah utusan Allah, engkau mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa Ramadhan dan menunaikan haji jika mampu.’ Kemudian dia berkata: ‘Anda berkata benar.’ Kami hairan, dia yang bertanya, dia pula yang membenarkan.
Kemudian dia bertanya lagi: ‘Ceritakan kepadaku tentang Iman.’ Lalu Baginda SAW bersabda: ‘Engkau beriman kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, Rasul-Rasul-Nya, hari akhirat dan engkau beriman kepada takdir yang baik dan yang buruk.’ Kemudian dia berkata: ‘Anda berkata benar.’ Kemudian dia berkata lagi: ‘Beritahukan kepadaku tentang Ihsan.’ Lalu Baginda SAW bersabda: ‘Ihsan adalah engkau beribadah kepada Allah seakan-akan engkau melihat-Nya, jika engkau tidak melihat-Nya maka sesungguhnya Dia melihat engkau.’
Kemudian dia berkata: ‘Beritahukan kepadaku tentang hari kiamat (bila ia akan berlaku).’ Baginda SAW bersabda: ‘Yang ditanya tidak lebih tahu daripada yang bertanya.’ Dia berkata: ‘Ceritakan kepadaku tentang tanda-tandanya.’ Baginda SAW bersabda: ‘Jika seorang hamba melahirkan tuannya dan jika engkau melihat penggembala kambing yang berkaki ayam, tidak berpakaian dan miskin, (kemudian) berlumba-lumba meninggikan bangunannya.’
Kemudian orang itu berlalu dan aku (Umar R.A) termenung seketika. Kemudian Baginda SAW bertanya: ‘Wahai Umar, tahukah engkau siapa yang bertanya itu?’ Aku berkata: ‘Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.’ Baginda SAW bersabda: ‘Dialah Jibril yang datang kepada kamu untuk mengajarkan agama kamu.’”
Riwayat Muslim (8) pada permulaan kitab al-Iman
Sepertimana yang terdapat di dalam hadis di atas, ihsan itu ialah: “Engkau beribadah kepada Allah seolah-olahnya engkau melihat-Nya, sekiranya engkau tidak melihat-Nya maka sesungguhnya Dia melihat engkau.”
Hakikat ihsan itu tercapai dengan dua perkara iaitu ibadah yang sempurna lagi berterusan dan kehadiran hati, kesedaran jiwa, serta penyaksian batin terhadap makna-makna ketuhanan (hakikat-hakikat tauhid) dalam ibadah tersebut. Penyaksian batin ini diistilahkan oleh ulama tasawwuf sebagai muraqabah dan musyahadah dan ia mempunyai tingkatan-tingkatan yang tertentu. Makna ihsan juga merujuk kepada amalan batin manusia iaitu penyaksian hati terhadap hadrat Ilahi. Oleh itu Islam melibatkan anggota lahiriah manusia, iman pula melibatkan anggota dalaman manusia iaitu hati, manakala ihsan pula merupakan gerak jiwa manusia. (Lihat Syarah Hadis 40, hlm 15-21)
Ihsan adalah perintah Allah SWT kepada kita umat Islam sebagaimana firman-Nya:
وَأَحْسِنُوا ۛ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ
Maksudnya: “Dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.”
(Surah al-Baqarah: 195)
Ihsan hendaklah dilakukan kepada semua benda atau pihak bukan semata-mata kepada manusia, bahkan haiwan termasuklah cara pembunuhan atau sembelihan sebagai mana dalam hadith yang sahih riwayat Muslim (1955). Allah SWT juga memerintahkan kita supaya menyuruh ke arah dan melaksanakan keadilan serta ihsan. Firman Allah SWT:
إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan,”
(Surah al-Nahl: 90)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ زِدْنَا وَلَا تَنْقُصْنَا، وَأَكْرِمْنَا وَلَا تُهِنَّا، وَأَعْطِنَا وَلَا تَحْرِمْنَا، وَآثِرْنَا وَلَا تُؤْثِرْ عَلَيْنَا، وَارْضِنَا وَارْضَ عَنَّا
Maksudnya: “Wahai Allah! Tambahkanlah buat kami dan jangan Engkau kurangkan. Muliakanlah kami, jangan hinakan kami. Berilah buat kami, jangan dicegahnya. Pilihlah kami, jangan Engkau biarkan dan redhailah kami dan redhailah pula semua usaha kami.”
Riwayat al-Tirmizi (3173), al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (1443) dan Ahmad (223)
Bertarikh: 26 September 2023 bersamaan 10 Rabiulawwal 1445