Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Insya Allah pada hujung tahun ini, saya akan menunaikan ibadah umrah untuk kali pertama. Soalan saya, apakah nasihat terbaik untuk mereka yang kali pertama akan pergi menunaikan umrah?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Dalam menjawab persoalan di atas, kami nyatakan seperti berikut:
Pertama: Persediaan Sebelum Ke Tanah Suci
- Apakah amalan yang terbaik untuk seseorang itu sebelum ke tanah suci?
Dalam menjawab soalan di atas, bolehlah merujuk kitab kami yang bertajuk al-Taudhih Syarh al-Idhah fi Manasik al-Haj wa al-‘Umrah, di mana banyak panduan yang lengkap telah dikemukakan di dalamnya.
Kami ringkaskan beberapa persediaan yang penting sebagaimana noktah yang berikut:
- Bertaubat dan beristighfar kepada Allah SWT
- Memohon maaf kepada semua sahabat handai, kaum keluarga, jiran tetangga atas kesilapan
- Pastikan segala tanggungjawab diselesaikan seperti hak anak, makan minum mereka, keperluan mereka disediakan sebaiknya
- Belajar panduan umrah, seboleh-bolehnya daripada mereka yang berpengalaman, dengan bersungguh-sungguh.
- Meminta nasihat orang yang pernah pergi umrah atau haji, terutamanya berkenaan apa yang perlu dilakukan ketika berada di sana.
- Menjaga kesihatan.
- Persiapan mental.
- Kesabaran yang tinggi.
- Sentiasa zikrullah dan selawat kepada Rasulullah SAW.
- Sentiasa membaca al-Quran
- Mencukupkan kewangan serta melebihkan sedikit bertujuan untuk bersedekah, infak dan membantu rakan taulan yang ada ditimpa musibah dan dalam kesukaran.
- Menyiapkan kain ihram bersesuaian dengan penggunaannya, ini jika sekiranya bagi jemaah yang terus memasuki kota Makkah dari Jeddah.
- Apakah buku yang sesuai untuk buat rujukan sebelum ke tanah suci?
Antara buku yang sesuai untuk rujukan semua, buku al-Taudhih Syarh al-Idhah fi Manasik al-Haj wa al-Umrah yang ditelusuri melalui kitab agung karya Imam al-Nawawi. Kami telah mempermudahkannya dengan penyediaan huraian dan terjemahan untuk pembaca.
- Solat dan doa apakah yang terbaik sebelum bergerak ke tanah suci?
Sebelum bergerak ke Tanah Suci, solat dan doa yang terbaik ialah solat sunat musafir dan doa musafir. Antara doa yang boleh dibaca ialah:
بِسْمِ اللهِ تَوَكَّلْتُ عَلَى اللهِ لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللهِ
Maksudnya: “Dengan nama Allah, aku bertawakkal kepada Allah. Tiada upaya dan tiada kekuatan kecuali dengan Allah.”
Riwayat Abu Dawud (5095), al-Tirmizi (3426) dan al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (9917)
- Membuat majlis doa selamat adakah amalan itu dianjurkan?
Secara umumnya ia dianjurkan dan bagi kami ia adalah baik. Hal ini kerana dapat menjamu dan memberi orang makan, di samping lebih mudah untuk bertemu dengan ramai orang bagi tujuan bermaaf-maafan, memberi pesanan, wasiat dan seumpamanya. Kami melihat inilah maksud utama majlis tersebut diadakan. Selain itu, ia juga menjadi penyebab rakan-rakan dan para hadirin yang hadir mendoakan buatnya agar dipermudahkan segala urusan pergi dan balik serta melaksanakan ibadah haji atau umrah.
- Apakah keistimewaan bermaafan sesama Islam sebelum ke tanah suci?
Antara kelebihannya adalah:
- Bersih daripada dosa sesama anak Adam dan ia amat digalakkan.
- Kita lihat, sahabat Nabi SAW, sebelum berpisah mereka membaca surah al-Asr dan tasbih kaffarah.
- Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:
مَنْ جَلَسَ فِي مَجْلِسٍ فَكَثُرَ فِيهِ لَغَطُهُ، فَقَالَ قَبْلَ أَنْ يَقُومَ مِنْ مَجْلِسِهِ ذَلِكَ: سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ وَبِحَمْدِكَ، أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ أَسْتَغْفِرُكَ وَأَتُوبُ إِلَيْكَ، إِلاَّ غُفِرَ لَهُ مَا كَانَ فِي مَجْلِسِهِ ذَلِكَ
Maksudnya: Sesiapa yang duduk dalam satu majlis, maka banyaklah salah dan silapnya. Justeru, dia berkata sebelum bangkit daripada majlis tersebut: ‘ سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ وَبِحَمْدِكَ، أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ أَسْتَغْفِرُكَ وَأَتُوبُ إِلَيْكَ’ melainkan ia diampunkan dosanya selama mana dia berada dalam majlis tersebut.
Riwayat al-Tirmizi (3433), al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (10330) dan Ahmad (10415)
- Apa doa yang sunat dibaca oleh orang yang meninggalkan keluarganya?
Doa yang sunat dibaca oleh orang yang meninggalkan keluarga, harta dan selainnya apabila bermusafir:
أَسْتَوْدِعُكُمُ اللهُ الَّذِي لَا تَضِيعُ وَدَائِعُهُ
Maksudnya: “Aku menyerahkan kamu semua kepada Allah yang Ia tidak akan lalai dari pemeliharaan (simpanan) Allah.”
Riwayat Ahmad (9353) al-Nasa’i (10269) dan Ibn Majah (2825)
Nabi SAW membaca doa ini apabila terdapat seseorang yang bermusafir (iaitu doa orang yang bermukim kepada orang yang melakukan pemusafiran):
أَسْتَوْدِعُ اللهَ دِينَكَ وَأَمَانَتَكَ وَخَوَاتِيمَ عَمَلِكَ
Maksudnya: “Aku menyerahkan agamamu, amanahmu, dan perbuatanmu yang terakhir kepada Allah.”
Riwayat Ahmad (8815), al-Nasa’i (10269) dan Ibn Majah (2825)
Kedua: Adab-Adab Sewaktu Di Tanah Suci.
- Apakah adab-adab sekiranya berada di dalam Masjidil Haram?
Mulakan dengan membaca doa masuk ke dalam masjid:
اللَّهُمَّ افْتَحْ لِي أَبْوَابَ رَحْمَتِكَ
Maksudnya: “Ya Allah, bukalah pintu-pintu rahmat-Mu buatku.”
Kemudian doa ketika melihat Ka‘bah:
اللَّهُمَّ زِدْ هَذَا الْبَيْتَ شَرَفًا وَتَعْظِيمًا وَمَهَابَةً وَتَكْرِيمًا ، وَزِدْ مِنْ شَرَفِهِ وَعَظَمَةً مِمَّنْ حَجَّهُ أَوْ اعْتَمَرَ تَشْرِيفًا وَتَعْظِيمًا وَتَكْرِيمًا وَمَهَابَةً
Maksudnya: “Ya Allah tambahkanlah Baitullah ini dengan kemuliaan, kebesaran, keagungan, kebaikan, dan tambahkanlah kurnia-Mu kepada sesiapa juga yang memuliakannya (Baitullah) dan membesarkannya dari kalangan yang mengerjakan haji dan umrah dengan kemuliaan, kebesaran dan kebajikan.”
Seterusnya, diikuti dengan solat sunat 2 rakaat. Akan tetapi, jika jemaah dalam keadaan berihram, maka dia menjadikan Tawaf Qudum atau Tawaf Umrah sebagai permulaan.
Digalakkan juga untuk melakukan tawaf sunat sekerap yang mungkin, begitu juga solat sunat, baca al-Quran, i‘tikaf, mendapatkan keberkatan dengan minum air zamzam, mengingati Allah SWT dengan perbanyakkan berzikir, selawat atas Rasulullah SAW, istighfar dan banyak lagi amalan lain.
Kami juga menasihatkan agar jemaah mengelakkan daripada banyak bermain dengan peranti pintar, seperti berswafoto, bercakap-cakap di telefon tanpa keperluan, atau mengambil gambar persekitaran sehingga hilang daripada fokus dan tujuan asalnya menziarahi Baitullah itu.
- Apakah adab-adab sekiranya berada di dalam Masjid Nabawi?
Apabila sampai di pintu Masjid Nabi SAW melangkah masuk dengan kaki kanan sambil membaca:
أَعُوْذُ بِاللَّهِ العَظِيْمِ وَبِوَجْهِهِ الكَرِيْمِ وَبِسُلْطَانِهِ القَدِيْمِ مِنِ الشَّيْطَاِن الرَّجِيْمِ، بِسْمِ اللهِ، وَالْحَمْدُلله، اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ، وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ وَسَلَّمَ، اللَّهُمَّ اغْفِرْلِي ذُنُوْبِي وَافْتَحْ لِي أَبْوَابَ رَحْمَتِكَ
Maksudnya: “Aku memohon perlindungan dengan Allah yang Maha Agung, dengan zat-Nya yang Maha Mulia dan dengan kekuasaan-Nya yang Maha Qadim, daripada syaitan yang direjam. Dengan nama Allah dan segala puji-pujian bagi Allah. Ya Allah, berselawatlah ke atas Nabi Muhammad SAW dan ke atas keluarganya, dan sejahterakanlah mereka! Ya Allah, ampunilah dosa-dosaku dan bukakanlah pintu rahmat-Mu untukku.”
Kemudian boleh disusuli dengan sembahyang sunat, dan sebaik-baiknya di dalam kawasan Raudhah. Setelah itu, pergilah ke maqam Rasulullah SAW sambil memberi salam:
السَّلاَمُ عَلَيْكَ يَا رَسُوْلَ اللهَ، السَّلاَمُ عَلَيْكَ يَا نَبِيَّ اللهِ، السَّلاَمُ عَلَيْكَ يَا خَيْرَةَ اللهِ، السَّلاَمُ عَلَيْكَ يَا خَيرَةَ رَبِّ العَالَمِيْنَ. جَزَاكَ اللهُ يَا رَسُوْلَ اللهَ عَنَّا أَفْضَلَ مَا جَزَى نَبِيًّا وَرَسُوْلاً عَنْ أُمَّتِهِ. أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ، وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّكَ عَبْدُهُ وَرَسُوْلِهِ مِنْ خَلْقِهِ، وَأَشْهَدُ أَنَّكَ قَدْ بَلَّغْتَ الرِّسَالَةَ، وَأَدَّيْتَ الأَمَانَةَ، وَنَصَحْتَ الأُمَّةَ، وَجَاهَدْتَ فِي اللهِ حَقَّ جِهَادِهِ
Maksudnya: “Sejahtera ke atasmu wahai Rasulullah. Sejahtera ke atasmu wahai Nabi Allah. Sejahtera ke atasmu wahai insan pilihan Allah. Sejahtera ke atasmu wahai insan pilihan Tuhan seluruh alam. Semoga Allah memberi balasan kepadamu bagi pihak kami wahai Rasulullah, sebaik-baik balasan yang Allah berikan kepada Nabi dan Rasul bagi pihak umatnya. Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang disembah dengan sebenar-benarnya melainkan Allah yang tiada sekutu bagi-Nya. Dan aku bersaksi bahawa engkau adalah hamba-Nya dan Rasul dari kalangan makhluk-Nya. Aku bersaksi juga bahawa engkau telah menyampaikan risalah, menunaikan amanah, menasihati ummah dan berjihad untuk Allah sebenar-benar jihad.”
Ucapan hendaklah dengan perlahan dan tidak meninggi suara, sebagaimana dalam firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَرْفَعُوا أَصْوَاتَكُمْ فَوْقَ صَوْتِ النَّبِيِّ وَلَا تَجْهَرُوا لَهُ بِالْقَوْلِ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengangkat suara kamu melebihi suara Nabi, dan janganlah kamu menyaringkan suara (dengan lantang) semasa bercakap dengannya.”
(Surah al-Hujurat: 2)
Digalakkan juga untuk duduk beri‘tikaf dengan tenang di dalam masjid, perbanyakkan sembahyang sunat, perbanyakkan berselawat kepada junjungan kita Rasulullah SAW, dan menginsafi diri dengan mengenang sirah perjuangan Baginda SAW.
Sekiranya berkelapangan, luangkan waktu untuk mendengar pengajian yang banyak dibuat di dalam Masjid Nabawi.
- Apakah fadhilat sekiranya melakukan ibadat solat di tanah suci Makkah dan Madinah?
Terdapat banyak kelebihan di dua bumi atau tanah haram ini, termasuklah melaksanakan ibadat solat. Antaranya:
- Daripada Jabir bin Abdillah RA bahawa Nabi SAW bersabda:
صَلَاةٌ فِي الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ أَفْضَلُ مِنْ مِائَةِ أَلْفِ صَلَاةٍ فِيمَا سِوَاهُ
Maksudnya: “Solat di Masjid al-Haram lebih baik daripada 100,000 (seratus ribu) solat di tempat lain.”
Riwayat al-Bukhari (1190) dan Muslim (1394) dengan sedikit perbezaan. Lafaz di atas mengikut riwayat Ahmad (15271). Syeikh Syu’aib al-Arna’ut menyatakan bahawa sanadnya adalah sahih mengikut syarat Imam al-Bukhari dalam takhrij beliau atas musnad Ahmad.
- Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
صَلَاةٌ فِي مَسْجِدِي هَذَا أَفْضَلُ مِنْ أَلْفِ صَلَاةٍ فِيمَا سِوَاهُ إِلَّا الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ
Maksudnya: “Solat di masjidku ini (Masjid Nabawi) lebih baik daripada seribu kali solat di tempat lain kecuali masjid al-Haram.”
Riwayat Muslim (1394)
- Daripada Sahl bin Hunaif R.A, Nabi SAW bersabda:
مَنْ تَطَهَّرَ فِي بَيْتِهِ، ثُمَّ أَتَىٰ مَسْجِدَ قُبَاءٍ، فَصَلَّى فِيْهِ، كَانَ لَهُ كَأَجْرِ عُمْرَةٍ.
Maksudnya: “Sesiapa yang bersuci di rumahnya, kemudian dia datang ke Masjid Quba’ dan solat di sana, maka dia akan memperoleh pahala seperti pahala umrah.”
Riwayat Ibn Majah (1412)
Inilah kelebihan solat di ketiga-tiga masjid iaitu Masjid al-Haram dengan ganjaran 100,000 solat di tempat lain, manakala solat di Masjid al-Nabawi adalah sebanyak 1,000 kali solat.
Akhir kalam, semoga sedikit jawapan ini memberi manfaat kepada mereka yang akan mengerjakan umrah dan kami akhiri dengan doa:
اللّٰهُمَّ اجْعَلْ عُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.
Maksudnya: “Ya Allah! jadikanlah umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”
Bertarikh: 26 September 2023 bersamaan 10 Rabiulawwal 1445