#3265: Menangisi Pemergian Nenek

Soalan:

Assalamualaikum ustaz, salahkah jika saya menangisi pemergian nenek saya yang sudah lama pergi kerana terlalu rindu dan menyesal kerana banyak mengabaikan arwah semasa hidupnya? Saya sempat meminta maaf kepadanya semasa arwah sedang tenat. Bolehkah ustaz memberikan sedikit nasihat kepada saya berkenaan perkara ini. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Mati ialah pengakhiran hidup manusia di dunia ini dan merupakan satu proses perpindahan roh ke alam seterusnya, iaitu alam barzakh. Mati merupakan satu proses terpisahnya roh daripada jasad. Kematian akan dirasai oleh jasad yang bernyawa apabila tiba masa yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Setiap makhluk pasti akan mati. Firman Allah SWT:

كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ ۖ ثُمَّ إِلَيْنَا تُرْجَعُونَ

Maksudnya: “Tiap-tiap diri (sudah tetap) akan merasai mati, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Kami (untuk menerima balasan).”

(Surah al-Ankabut: 57)

Ibn Kathir menyatakan: Iaitu di mana sahaja kamu berada, nescaya kematian akan mendatangi kamu. Maka, hendaklah kamu berada dalam ketaatan kepada Allah. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 6/197)

Apabila seseorang sudah tiba ajalnya, maka tidak dapat lagi diundurkan atau dipercepatkan walaupun sesaat. Firman Allah SWT:

وَلِكُلِّ أُمَّةٍ أَجَلٌ ۖ فَإِذَا جَاءَ أَجَلُهُمْ لَا يَسْتَأْخِرُونَ سَاعَةً ۖ وَلَا يَسْتَقْدِمُونَ

Maksudnya: “Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh (yang telah ditetapkan); maka apabila datang tempohnya, tidak dapat mereka dikemudiankan walau sesaatpun, dan tidak dapat pula mereka didahulukan.”

(Surah al-A’raf: 34)

Syeikh al-Sa’di ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan: Allah telah mengeluarkan keturunan Adam ke bumi, dan menetapkan mereka di sana. Dia juga menetapkan waktu yang ditentukan bagi mereka, yang tidak dapat dipercepat oleh suatu umat pun, baik umat yang berkumpul mahupun individu. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman,hlm.287)

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan menangisi pemergian ahli keluarga ada dibolehkan kerana ia merupakan sebahagian daripada fitrah kejadian manusia yang dilengkapi dengan perasaan sedih. Namun perlu diingat bahawa jika kita meluahkan kesedihan sehingga ke tahap meratap dan meraung, tindakan tersebut tidak sesuai dan tidak dibolehkan kerana ia boleh dianggap sebagai tidak meredhai terhadap takdir Allah SWT Yang Maha Bijaksana. Nabi Muhammad SAW sendiri mengalirkan air mata pada hari kematian anaknya Ibrahim sebagaimana di dalam hadith daripada Anas bin Malik R.A, katanya:

دَخَلْنَا مَعَ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى أَبِي سَيْفٍ الْقَيْنِ، وَكَانَ ظِئْرًا لإِبْرَاهِيمَ، عَلَيْهِ السَّلاَمُ ـ فَأَخَذَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِبْرَاهِيمَ فَقَبَّلَهُ وَشَمَّهُ، ثُمَّ دَخَلْنَا عَلَيْهِ بَعْدَ ذَلِكَ، وَإِبْرَاهِيمُ يَجُودُ بِنَفْسِهِ، فَجَعَلَتْ عَيْنَا رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَذْرِفَانِ‏.‏ فَقَالَ لَهُ عَبْدُ الرَّحْمَنِ بْنُ عَوْفٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ ـ وَأَنْتَ يَا رَسُولَ اللهِ؟ فَقَالَ ‏«يَا ابْنَ عَوْفٍ إِنَّهَا رَحْمَةٌ»‏‏.‏ ثُمَّ أَتْبَعَهَا بِأُخْرَى فَقَالَ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: ‏«إِنَّ الْعَيْنَ تَدْمَعُ، وَالْقَلْبَ يَحْزَنُ، وَلاَ نَقُولُ إِلاَّ مَا يَرْضَى رَبُّنَا، وَإِنّ َا بِفِرَاقِكَ يَا إِبْرَاهِيمُ لَمَحْزُونُونَ»‏‏.‏ رَوَاهُ مُوسَى عَنْ سُلَيْمَانَ بْنِ الْمُغِيرَةِ عَنْ ثَابِتٍ عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ‏.

Maksudnya: “Kami pergi bersama Rasulullah SAW menemui tukang besi bernama Abu Saif, dan dia ialah suami kepada ibu susu Ibrahim (anak Nabi). Rasulullah SAW mengambil Ibrahim dan menciumnya serta mencium baunya dan kemudian kami memasuki rumah Abu Saif selepas itu. Pada masa itu Ibrahim menghembuskan nafasnya yang terakhir, lalu mata Rasulullah SAW mulai bergenangan. ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf berkata kepada Baginda: “Tuan menangis wahai Rasulullah?” Baginda SAW bersabda: “Wahai Ibn ‘Auf, ini ialah rahmat.” Kemudian air mata Baginda mengalir lagi. Sabda Baginda: “Sesungguhnya mata menangis dan hati bersedih, kami tidak akan mengucapkan sesuatu melainkan apa yang Tuhan kami redha. Wahai Ibrahim! Sesungguhnya kami bersedih dengan perpisahanmu.”

Riwayat al-Bukhari (1303)

Imam al-Syirazi menyebut: Harus menangis atas mayat dengan tidak mengangkat suara dan meratap.” (Lihat al-Tanbih fi al-Fiqh al-Syafi’i, hlm. 53)

Imam Abu Syuja’  Juga menyatakan bahawa :Dan tidak mengapa dengan menangis atas mayat selagimana tidak meratap dan tidak mengoyakkan pakaian dan tidak menampar-nampar pipi. (Lihat al-Ghayah wa al-Taqrib, hlm. 16)

Kami ingin menekankan bahawa kehidupan ini perlu diteruskan. Menangisi pemergian insan yang tersayang adalah wajar dan dibenarkan, kami menggalakkan saudari untuk mengambil semangat baru.

Hindari bersedih secara berterusan, yang mungkin akan mengganggu kehidupan saudari. Ingatlah bahawa perjalanan kehidupan ini masih panjang, dan ia perlu diteruskan dengan penuh harapan dan ketabahan.

Adalah lebih baik bagi waris melakukan perkara-perkara yang dapat memberikan manfaat kepada waris yang telah meninggal dunia seperti memohon keampunan buat mereka, bersedekah, membaca al-Quran atau berwakaf dengan niat pahala tersebut sampai kepada si mati. Yang demikian antara amalan yang dapat menambahkan pahalanya di akhirat.

Daripada Aisyah R.Anha, bahawa seorang lelaki datang bertemu Rasulullah SAW:

إِنَّ أُمِّي افْتُلِتَتْ نَفْسُهَا وَلَمْ تُوصِ، وَإِنِّي أَظُنُّهَا لَوْ تَكَلَّمَتْ لَتَصَدَّقَتْ، فَلَهَا أَجْرٌ إِنْ تَصَدَّقْتُ عَنْهَا وَلِيَ أَجْرٌ؟ فَقَالَ: نَعَمْ

Maksudnya: ”Wahai Rasulullah, sesungguhnya ibuku telah meninggal dunia secara mendadak dan tidak sempat berwasiat. Saya kira, jika ia sempat berbicara nescaya dia akan bersedekah. Adakah baginya pahala jika saya bersedekah untuknya ?”. Maka Baginda SAW menjawab : ”Ya”.

Riwayat Ibn Majah (2717)

Imam al-Ramli berkata: “(Pada menyatakan sedekah bermanfaat kepada mayyit) baginya, dan termasuklah contohnya ialah berwakaf dengan mushaf (al-Quran) atau selainnya, menggalikan perigi, menanamkan pokok daripada hartanya ketika dia masih hidup atau selepas matinya menggunakan harta orang lain.” (Lihat Nihayah al-Muhtaj, 6/92)

Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah dalam fatwanya menyatakan bahawa bacaan al-Quran dan sedekah serta selain daripada keduanya termasuk dalam amalan-amalan yang baik. Tidak ada perselisihan di antara ulama sunnah wal jamaah tentang sampainya pahala ibadah yang bersifat harta, seperti sedekah dan membebaskan hamba, sebagaimana sampainya pahala doa, istighfar, solat sunat, solat jenazah, dan berdoa di sisi kuburnya. (Lihat Majmu‘ al-Fatawa, 24/366).

Justeru kami katakan di sini, antara perkara yang boleh dilakukan oleh orang yang masih hidup kepada yang sudah meninggal dunia adalah dengan memohon keampunaan buat mereka. Oleh yang demikian, berbaktilah kepada nenek saudari yang telah meninggal dunia dengan sentiasa memohon kepada Allah SWT agar diampunkan segala dosanya. Boleh jadi dengan doa yang dipanjatkan oleh anak cucu dapat membahagiakannya di sana.

Diriwayatkan daripada Anas Bin Malik bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 أَوْ تَرَكَ وَلَدًا يَسْتَغْفِرُ لَهُ بَعْدَ مَوْتِهِ

Maksudnya: meninggalkan anak yang sentiasa memohon keampunan baginya setelah kematiannya.

Riwayat Ibn Hibban (354) dan al-Bazzar (7289)

Hadith ini jelas menyatakan bahawa dengan beristighfar kepada ibu bapa atau datuk dan nenek, id dapat memberikan manfaat kepada mereka di sana . Istighfar dan doa serta amalan kebajikan apabila diniatkan kepada si mati dan dihadiahkan kepadanya, insyaAllah akan sampai kepadanya.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang baik dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”

(Surah al-Hasyr :10)

Wallahua’lam

Bertarikh: 26 September 2023 bersamaan 10 Rabiulawwal 1445