#3266: Kisah Berkenaan Tiang-tiang di Raudhah

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh ceritakan mengenai hadith-hadith kisah di Raudhah?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Menelusuri sirah junjungan kita, Nabi Muhammad SAW, antara yang berbekas di hati setiap insan setiap kali menziarahi al-Masjid al-Nabawi adalah peluang untuk mendirikan sembahyang di dalam kawasan Raudhah al-Mutahharah. Melihat betapa mulianya masjid Nabi SAW ini, masih juga terdapat kawasan khusus di dalamnya yang turut dimuliakan daripada kawasan lain sekitarnya. Ia merupakan kawasan yang disebutkan antara taman daripada taman-taman Syurga.

Ini berdasarkan hadith yang warid daripada Abdullah bin Zaid R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَا بَيْنَ بَيْتِي وَمِنْبَرِي رَوْضَةٌ مِنْ رِيَاضِ الْجَنَّةِ، وَمِنْبَرِي عَلَى حَوْضِي

Maksudnya: “Di antara rumahku dan mimbarku adalah satu taman daripada taman-taman Syurga. Dan mimbarku  terletak di atas kolamku.”

Riwayat al-Bukhari (1195) dan Muslim (1390)

Di dalam kawasan Raudhah ini, terdapat beberapa tiang bersejarah yang diberikan nama khusus. Sebahagian dari kisah-kisah yang dinukilkan ada yang sahih, dan ada juga yang dha‘if statusnya.

ملف:Al-Masjid Al-Nabawi Cylinders.jpg

Rajah: Kedudukan Tiang-tiang di Raudhah

Tiang al-Mukhallaqah (المُخَلَّقَةُ)

Tiang al-Mukhallaqah (المُخَلَّقَةُ) merupakan satu tiang yang terletak bersebelahan dengan mihrab. al-Mukhallaqah (المُخَلَّقَةُ) bermaksud ‘yang disapukan padanya wangian.’[1]

Antara hadith yang warid tentang tiang ini, seperti yang diriwayatkan daripada Yazid, katanya: Dahulu Salamah bin al-Akwa‘ sering solat di tiang itu (Tiang al-Mukhallaqah), di mana diletakkan salinan mushaf al-Quran. Lalu aku katakan padanya:

أَرَاكَ تَتَحَرَّى الصَّلاَةَ عِنْدَ هَذِهِ الأُسْطُوَانَةِ

Maksudnya: “Aku melihat kamu ini sering untuk solat di tiang ini.”

Lalu Salamah menjawab:

رَأَيْتُ النَّبِيَّ ﷺ يَتَحَرَّى الصَّلاَةَ عِنْدَهَا

Maksudnya: “Aku melihat Nabi SAW sering solat di tiang ini.”

Riwayat al-Bukhari (502) dan Muslim (509)

Rajah: Tiang al-Mukhallaqah

Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah menukilkan kalam Imam Malik, katanya: “Tempat yang paling disukai untuk didirikan solat sunat di al-Masjid al-Nabawi adalah di Tiang al-Mukhallaqah.” (Lihat Majmu‘ al-Fatawa, 1/232)

Tiang ‘Aisyah

Rajah: Tiang ‘Aisyah

Tiang ini merupakan tiang ke 3 dari mimbar. Ia dikenali sebagai Tiang Muhajirin kerana orang Muhajirin suka berkumpul berdekatan dengan tiang tersebut. Ia juga turut dikenali sebagai Tiang al-Qar‘ah (القَرْعَةُ), yakni Tiang Undi.

Diriwayatkan daripada ‘Aisyah R.Anha bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ فِي الْمَسْجِدِ لَبُقْعَةً قَبْلَ هَذِهِ الْأُسْطُوَانَةِ، لَوْ يَعْلَمُ النَّاسُ مَا صَلَّوْا فِيهَا إِلَّا أَنْ يُطَيَّرَ لَهُمْ فِيهَا قُرْعَةٌ، وَعِنْدَهَا جَمَاعَةٌ مِنْ أَصْحَابِهِ، وَأَبْنَاءِ الْمُهَاجِرِينَ، فَقَالُوا: يَا أُمَّ الْمُؤْمِنِينَ، وَأَيْنَ هِيَ؟ فاسْتَعْجَمَتْ عَلَيْهِمْ، فَمَكَثُوا عِنْدَهَا سَاعَةً، ثُمَّ خَرَجُوا، وَثَبَتَ عَبْدُ اللَّهِ بْنُ الزُّبَيْر. فَقَالُوا إِنَّهَا سَتُخْبِرُهُ بِذَلِكَ الْمَكَانِ فَأَرْمَقُوهُ فِي الْمَسْجِدِ حَتَّى يَنْظُرُوا حَيْثُ يُصَلِّي، فَخَرَج بَعْدَ سَاعَةٍ فَصَلَّى عِنْدَ الْأُسْطُوَانَةِ الَّتِي صَلَّى إِلَيْهَا ابْنُهُ عَامِرُ بْنُ عَبْدِ اللهِ بْنِ الزُّبيرِ، وَقِيلَ لَهَا أُسْطُوَانَةُ القُرْعَةِ.

Maksudnya: “Sesungguhnya di dalam masjid terdapat suatu kawasan yang menghadap tiang ini, yang tidak diketahui oleh orang ramai. Sekiranya mereka tahu, nescaya mereka tidak akan (berusaha untuk) menunaikan solat di tempat itu melainkan mereka perlu mencabut undi. Pada ketika itu, di sisi ‘Aisyah terdapat anak-anak kepada para sahabat. Lalu mereka bertanya: Wahai Ummu al-Mu’minin, di manakah tempat tersebut? Lalu beliau pun mendiamkan diri. Maka mereka itu pun duduk sebentar di sisi beliau. Kemudian mereka keluar, namun Abdullah bin al-Zubair terus kekal disitu. Lalu mereka berkata: Sesungguhnya ‘A’ishah pasti akan menceritakan kepadanya (Abdullah) akan dimana tempat tersebut. Maka perhatikanlah kamu akan dia di dalam masjid, sehingga kamu dapat melihat tempat dia mendirikan solat. Lalu ‘Abdullah pun keluar setelah beberapa ketika, dan beliau mendirikan solat di sisi tiang yang anak lelakinya ‘Amir bin Abdullah bin al-Zubair telah solat padanya. Dikatakan tentangnya: Tiang qur’ah.”

Riwayat al-Tabarani (862) di dalam al-Mu‘jam al-Awsat. Ia dinilai dha‘if oleh Syeikh al-Albani di dalam al-Silsilah al-Dha‘ifah.

Tiang Taubat (التَوْبَةُ)

Nama lain bagi tiang ini adalah TIang Abu Lubabah. Ia terletak bertentangan dengan kubur Rasulullah SAW dan kepala Baginda yang mulia.

Rajah: Tiang Taubat

Tiang ini diberikan jolokan tersebut kerana di situlah tempat salah seorang sahabat Rasulullah SAW yang bernama Abu Lubabah bin Abdul Munzir al-Ansari mengikat dirinya sendiri sebagai bentuk taubat atas kesalahan yang telah dilakukannya.

Firman Allah SWT:

 يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَخُونُوا اللَّهَ وَالرَّسُولَ وَتَخُونُوا أَمَانَاتِكُمْ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya).”

(Surah al-Anfal: 27)

Imam Ibn Kathir menukilkan daripada Abdullah bin Abi Qatadah dan al-Zuhri, bahawa ayat ini diturunkan kepada Abu Lubabah bin Abdul Munzir ketika mana Rasulullah SAW menghantarnya kepada Bani Quraizah supaya mereka tunduk kepada hukum-hakam yang dibawa oleh Baginda SAW.  Lalu Bani Quraizah pun meminta pandangannya, dan dia (Abu Lubabah) pula memberikan mereka pandangan dengan mengisyaratkan dengan tangan ke tengkuknya, seperti isyarat sembelih (mati).

Kemudian barulah Abu Lubabah tersedar tentang apa yang dilakukannya dan  ketahui bahawa dia telah mengkhianati Allah SWT dan Rasul-Nya. Maka dia bersumpah untuk tidak merasa apa-apa makanan pun sehinggalah dia mati atau dia diampunkan oleh Allah SWT. Dia pun pergi ke al-Masjid al-Nabawi dan mengikat dirinya sendiri di tiang, dan kekal di sana selama 6 hari, sehinggalah dia pengsan kerana kehabisan tenaga.

Lalu Allah SWT mengampuninya dengan menurunkan firman-Nya

 وَآخَرُونَ اعْتَرَفُوا بِذُنُوبِهِمْ خَلَطُوا عَمَلًا صَالِحًا وَآخَرَ سَيِّئًا عَسَى اللَّهُ أَن يَتُوبَ عَلَيْهِمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Dan (sebahagian) yang lain mengakui dosa-dosa mereka. Mereka telah mencampur adukkan amal yang baik dengan amal yang lain, yang buruk. Mudah-mudahan Allah akan menerima taubat mereka; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

(Surah al-Taubah: 102)

Sahabat lain beramai-ramai datang untuk menyampaikan berita gembira bahawa Allah SWT telah mengampuninya, dan mereka ingin membebaskan ikatannya. Abu Lubabah menegah orang ramai daripada melepaskannya kecuali Rasulullah SAW. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/36)

Ibn Hisyam menukilkan kalam Ibn Ishaq, katanya: “Ketika mana sampai berita tentang itu (kesalahan Abu Lubabah), dan dia telah menangguh dalam mengakui kesalahannya. Rasulullah SAW bersabda:

أَمَا إنَّهُ لَوْ جَاءَنِي لَاسْتَغْفَرْتُ لَهُ، فَأَمَّا إذْ قَدْ فَعَلَ مَا فَعَلَ، فَمَا أَنَا بِاَلَّذِي أُطْلِقُهُ مِنْ مَكَانِهِ حَتَّى يَتُوبَ اللَّهُ عَلَيْهِ

Maksudnya: “Adapun jika dia datang bertemu aku, nescaya aku akan memohon keampunan buatnya. Akan tetapi dia telah melakukan apa yang dia lakukan itu (yakni mengikat diri di tiang), maka aku tidak akan membebaskannya daripada tempatnya itu sehinggalah Allah mengampuninya.”

Diriwayatkan daripada Yazid bin Abdullah bin Qusait, pengampunan terhadap Abu Lubabah ini diturunkan kepada Rasulullah SAW sebelum fajar Subuh, ketika Baginda SAW di rumah Ummu Salamah R.Anha. Ummu Salamah berkata bahawa dia mendengar Rasulullah SAW ketawa ketika itu, lalu dia bertanya: “Apa yang membuatkan engkau ketawa wahai Rasulullah SAW?” Baginda SAW menjawab: “Abu Lubabah telah diberikan pengampunan.” Ummu Salamah bertanya: “Bolehkah aku sampaikan berita gembira ini kepadanya?” Baginda menjawab: “Boleh, sekiranya engkau mahu.” Lalu Ummu Salamah berdiri di hadapan pintu bilik tidurnya dan berkata: “Wahai Abu Lubabah, bergembiralah, Allah SWT telah mengampuni kamu.”

Lalu ramai orang datang untuk membebaskannya daripada ikatan, kemudian Abu Lubabah berkata: “Demi Allah, jangan (kalian buka ikatan aku), sehinggalah Rasulullah SAW yang membebaskan aku dengan tangan Baginda.” Maka, apabila Rasulullah SAW keluar untuk menunaikan solat Subuh, Baginda membebaskannya. (Lihat al-Sirah al-Nabawiyyah, 2/237)

Tiang al-Sarir (السَّرِيرُ)

Kedudukan tiang ini adalah bersambung dengan pagar besi makam Rasulullah SAW dan bersebelahan dengan Tiang Taubat.

Rajah: Tiang al-Sarir

Nama tiang ini bersempena dengan kedudukan katil Rasulullah SAW yang terletak berdekatan dengan tiang tersebut. Katil yang diperbuat daripada pelepah tamar itu diletakkan berdekatan dengan tiang ini untuk Baginda SAW berehat sewaktu beriktikaf di masjid.

Antara kisah yang masyhur tentang peristiwa yang berlaku di tiang ini, sepertimana yang diriwayatkan dalam sebuah hadith, daripada ‘Aisyah R.Anha:

أَنَّهَا كَانَتْ تُرَجِّلُ النَّبِيَّ ﷺ وَهِيَ حَائِضٌ وَهْوَ مُعْتَكِفٌ فِي الْمَسْجِدِ وَهِيَ فِي حُجْرَتِهَا، يُنَاوِلُهَا رَأْسَهُ‏

Maksudnya: “Dia (‘Aisyah) pernah menyikat dan membasuh rambut Nabi SAW ketika beliau didatangi haid, dan Baginda pula sedang beriktikaf di dalam (kawasan) masjid, manakala ‘Aisyah berada di bilik tidurnya sambil sambil Baginda menghulurkan kepadanya kepala Baginda (untuk disikat dan dibasuh rambut).”

Riwayat al-Bukhari (2046), Muslim (297), al-Nasa’ie (386) dan Ahmad (25973)

Tiang ‘Ali atau al-Muharris (المُحَرِّّسُ)

Tiang ini dinamakan dengan tiang ‘Ali bin Abi Talib R.A dan tiang al-Muharris (المُحَرِّّسُ) yang bermaksud penjaga, kerana ‘Ali R.A sering duduk di tiang tersebut untuk menjaga dan melindungi Rasulullah SAW. Ini berterusan sehinggalah diturunkan firman Allah SWT:

وَاللَّهُ يَعْصِمُكَ مِنَ النَّاسِ ۗ

Maksudnya “Dan Allah jualah akan memeliharamu dari (kejahatan) manusia.”

(Surah al-Ma’idah: 67)

Selepas diturunkan ayat ini, tidak ada lagi sahabat yang menjaga atau mengawal keselamatan Rasulullah SAW di tiang itu.[2]

Imam Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat di atas berkata, Allah SWT berfirman: “Sampaikanlah wahai Muhammad risalah-Ku, Akulah penjaga kamu, penolong kamu, membantu kamu mengalahkan musuhmu dan memenangkanmu. Maka janganlah kamu takut dan bersedih, nescaya tidak akan sampai seorang pun kepadamu daripada musuh dengan niat buruk untuk menyakitkanmu.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 3/137)

Sebelum ayat ini turun, Rasulullah SAW pernah ditimpa kerisauan tentang keselamatannya sehingga mengganggu tidur Baginda SAW. Diriwayatkan daripada ‘Aisyah R.Anha, katanya:

 أَرِقَ النَّبِيُّ ﷺ ذَاتَ لَيْلَةٍ فَقَالَ:‏ لَيْتَ رَجُلاً صَالِحًا مِنْ أَصْحَابِي يَحْرُسُنِي اللَّيْلَةَ. إِذْ سَمِعْنَا صَوْتَ السِّلاَحِ، قَالَ: مَنْ هَذَا‏‏؟ قِيلَ: سَعْدٌ يَا رَسُولَ اللَّهِ، جِئْتُ أَحْرُسُكَ‏.‏ فَنَامَ النَّبِيُّ ﷺ حَتَّى سَمِعْنَا غَطِيطَهُ‏.‏

Maksudnya: “Pada suatu malam Nabi SAW tidak boleh tidur, lalu Baginda bersabda: ‘Kalaulah ada seorang lelaki yang soleh dari kalangan sahabatku melindungiku malam ini’. Tiba-tiba kami terdengar bunyi senjata, lalu Baginda bertanya: ‘Siapakah kamu ini?’ Lelaki tersebut menjawab: ‘Sa‘d wahai Rasulullah, aku datang untuk melindungi kamu.’ Maka Nabi SAW pun tidur sehingga kami dengar dengkurannya.”

Riwayat al-Bukhari (7231) dan Muslim (2410)

Rajah: Tiang al-Muharris

Tiang al-Wafud (الوَفُودُ)

Al-Wafud (الوَفُودُ) membawa maksud perwakilan. Tiang ini dinamakan al-Wafud (الوَفُودُ) kerana ia sering dijadikan tempat untuk Rasulullah SAW menerima kedatangan mana-mana perwakilan kaum yang ingin berjumpa Baginda SAW.

Rajah: Tiang al-Wafud

Di tiang itu juga, terjadinya sebuah peristiwa  di mana sekumpulan orang Arab datang dan memanggil  Rasulullah SAW yang sedang berehat di bilik Baginda. Diriwayatkan daripada Zaid bin Arqam, katanya:

اجْتَمَعَ أُنَاسٌ مِنَ الْعَرَبِ فَقَالُوا: انْطَلِقُوا بِنَا إِلَى هَذَا الرَّجُلِ، فَإِنْ يَكُ نَبِيًّا فَنَحْنُ أَسْعَدُ النَّاسِ بِهِ، وَإِنْ يَكُ مَلِكًا نَعِشْ بِجَنَاحِهِ

Maksudnya: “Beberapa orang Arab telah berkumpul (pada  aku) seraya berkata: ‘Berangkatlah bersama kami untuk menemui lelaki ini (yakni Rasulullah SAW). Sekiranya dia seorang nabi, maka kami adalah orang yang paling gembira dengan kehadirannya. Dan sekiranya dia ini seorang raja, maka kami akan hidup di bawah naungannya’.”

فَأَتَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ ﷺ فَأَخْبَرْتُهُ بِمَا قَالُوا، فَجَاءُوا إِلَى حُجْرَتِهِ فَجَعَلُوا يُنَادُونَهُ وَهُوَ فِي حُجْرَتِهِ: يَا مُحَمَّدُ، يَا مُحَمَّدُ

Maksudnya: “Lalu aku (Zaid) pergi menemui Rasulullah SAW dan memberitahu Baginda tentang apa yang mereka (orang-orang Arab) itu katakan. Lalu mereka datang ke bilik Baginda, kemudian memanggil Baginda yang ketika itu sedang berada di dalam bilik: ‘Wahai Muhammad! Wahai Muhammad!’.”

Kemudian, Allah SWT menurunkan firman-Nya:

إِنَّ الَّذِينَ يُنَادُونَكَ مِن وَرَاءِ الْحُجُرَاتِ أَكْثَرُهُمْ لَا يَعْقِلُونَ

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang memanggilmu dari luar bilik-bilik (tempat ahlimu, wahai Muhammad), kebanyakan mereka tidak mengerti (adab dan tata tertib).”

(Surah al-Hujurat: 4)

Zaid berkata:

فَأَخَذَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ بِأُذُنِي فَمَدَّهَا، فَجَعَلَ يَقُولُ: لَقَدْ صَدَّقَ اللَّهُ قَوْلَكَ يَا زَيْدُ، لِقَدْ صَدَّقَ الله قَوْلَكَ يَا زَيْدُ

Maksudnya: “Rasulullah SAW menarik cuping telingaku (supaya dekat dengan Baginda) dan berkata: ‘Sesungguhnya Allah telah membenarkan perkataanmu wahai Zaid, Sesungguhnya Allah telah membenarkan kata-katamu wahai Zaid’.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 7/345)

Penutup

Beginilah sedikit sebanyak kisah dan sejarah yang terdapat mengenai tiang-tiang yang terdapat di dalam Raudah. Kesemua tiang ini kini terukir padanya nama-nama  yang telah kami sebutkan, maka amatlah baik sebagai seorang muslim untuk menambahkan lagi kecintaan terhadap masjid agung ini dengan mempelajari tentang sirah-sirah Rasulullah SAW di setiap tiang yang disebutkan.

Secara tidak langsung, ziarah kita ke al-Masjid al-Nabawi akan menjadi lebih bermakna dan padat dengan maklumat serta info baharu. Semoga Allah SWT merezekikan kita untuk menziarahi masjid yang mulia ini sekurang-kurangnya sekali sepanjang hayat. Amin.

Wallahu a‘lam

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”

[1] Lihat https://rasoulallah.net/ar/articles/article/3697/. Diakses pada 22 September 2023.

[2] Lihat https://rasoulallah.net/ar/articles/article/3705. Diakses pada 22 September 2023.

Bertarikh: 26 September 2023 bersamaan 10 Rabiulawwal 1445