Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. isteri saya baru lepas bersalin, setelah cukup masa darah dah berhenti dalam seminggu dan dia puasa ganti, lepas seminggu ada kesan sikit nampak walaupun tak jelas. Saya hendak bertanya berkenaan dengan puasa tersebut, adakah perlu diganti balik?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Secara asasnya, darah nifas ialah darah yang keluar selepas bersalin. Tempoh minimum nifas ialah sekelip mata (لَحْظَة). Kadang-kadang ia berterusan hingga beberapa hari dan biasanya hingga 40 hari. Manakala tempoh maksimumnya pula ialah 60 hari. Berdasarkan kajian Imam al-Syafi’i, darah yang keluar selepas tempoh tersebut adalah darah penyakit. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/82)
Justeru, tempoh nifas yang kebiasaan adalah 40 hari. Manakala tempoh maksimumnya adalah 60 hari, dan tempoh minimumnya adalah sedetik. Ibn Hajar al-Haitami berkata: “Kadar yang lebih sesuai bagi tempoh minimum (nifas) ialah sedetik. Dan sebanyak-banyak nifas ialah 60 hari, dan kebiasaan tempoh nifas ialah 40 hari.” (Lihat Tuhfah al-Muhtaj, 1/413)
Ibn Qudamah berkata: “Tempoh paling lama bagi nifas adalah selama empat puluh hari, dan inilah pendapat kebanyakan ahli ilmu. Abu ‘Isa al-Tirmizi berkata: Para ahli ilmu daripada kalangan sahabat Nabi Muhammad SAW dan mereka yang datang setelah mereka bersepakat bahawa perempuan yang nifas hendaklah meninggalkan solat selama empat puluh hari, kecuali jika dia melihat dia telah bersih daripada darah sebelum itu, maka dia boleh mandi dan solat. Abu Ubaid berkata: Dan ini adalah pandangan sebahagian besar manusia. Hal ini juga diriwayatkan daripada ‘Umar, Ibn Abbas, Uthman bin Abi al-’As, ‘Aiz bin ‘Amr, Anas, dan Ummu Salamah R.Anhum. Ini juga adalah pandangan al-Thauri, Ishaq, dan ahli-ahli mazhab ra’yi. Imam Malik dan al-Syafi’i berkata: Tempoh paling lama bagi nifas adalah selama enam puluh hari. Ibnu Aqil meriwayatkan daripada Imam riwayat yang serupa dengan pendapat keduanya, kerana telah diriwayatkan oleh Al-Auza’i yang berkata: Di kalangan kami, ada wanita yang melihat nifas selama dua bulan. Dan pendapat ini juga diriwayatkan daripada Ata’ dan bahawa beliau mendapatinya dan rujukan berkenaannya memang wujud. (Lihat al-Mughni, 1/427)
Imam al-Nawawi berkata: Kami telah menyebutkan bahawa pendapat yang masyhur dalam mazhab kami adalah nifas tempoh yang paling lama adalah selama enam puluh hari, dan ini juga adalah pandangan Ata’, al-Sya’bi, al-‘Anbari, al-Hajjaj bin Artah, Malik, Abu Thaur, Dawud… Dan kebanyakan ulama daripada kalangan sahabat dan tabi’in, serta generasi yang datang setelah mereka, berpendapat bahawa nifas tempoh yang paling lama adalah selama empat puluh hari. Demikianlah disebutkan kebanyakan ulama’, al-Tirmizi dan al-Khattabi dan yang lainnya. Al-Khattabi berkata: Inilah pandangan sebahagian besar orang.” (Lihat al-Majmu’, 2/524)
Justeru, dapat kami ringkaskan tempoh nifas adalah seperti berikut:
- Tempoh Minimum: Sedetik
- Tempoh Maksimum: 60 hari
- Tempoh Kebiasaan: 40 hari
Oleh yang demikian, jelas bahawa tempoh minimum bagi seseorang wanita keluar darah nifas ialah sedetik dan tempoh maksimum adalah sebanyak 60 hari. Justeru, menjawab persoalan di atas, kami katakan bahawa sekiranya darah yang keluar tersebut masih lagi dalam tempoh maksimum nifas, maka puasa yang dilakukannya itu tidak sah dan perlu dilakukan pada hari lain.
Syeikh Abdul Aziz bin Baz berkata: Nifas menghalang seseorang perempuan itu untuk solat, puasa, dan bersetubuh sebagaimana haid. Nifas ialah darah yang keluar disebabkan oleh melahirkan anak. Selagi wanita itu melihat darah selama empat puluh hari, dia tidak boleh solat, tidak boleh berpuasa, dan suaminya tidak boleh bersetubuh dengannya sehingga dia suci atau melengkapkan empat puluh hari. Jika darah terus keluar sehingga dia melengkapkan empat puluh hari, sekiranya darah itu berterusan keluar pada akhir empat puluh hari, maka dia wajib mandi kerana nifas itu tidak melebihi empat puluh hari menurut pendapat yang sahih. Selepas mandi, dia boleh solat, berpuasa, dan suaminya boleh berhubungan dengannya. Dia perlu menjaga darah dengan menggunakan kapas atau yang serupa supaya darah tidak mencemarkan pakaian dan badannya. Hukum darah ini adalah seperti darah istihadah yang tidak menghalang solat, puasa, dan tidak menghalang suami daripadanya. Dia juga perlu berwuduk untuk setiap solat. Bagi wanita yang melihat darah suci sebelum mencapai empat puluh hari, dia boleh mandi wajib, solat, puasa, dan suaminya boleh berhubungan dengannya selama dia dalam keadaan suci, walaupun hanya beberapa hari sebelum empat puluh hari. Jika darah kembali semasa empat puluh hari, dia tidak boleh solat, tidak boleh berpuasa, dan suaminya tidak boleh berhubungan dengannya sehingga dia suci atau melengkapkan empat puluh hari. Apa-apa solat atau puasa yang dia lakukan semasa dalam keadaan suci adalah sah, dan dia tidak perlu menggantikannya. (Lihat Majmu’ Fatawa wa Maqalat, 10/212)
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Wallahua`lam.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
Bertarikh: 26 September 2023 bersamaan 10 Rabiulawwal 1445