#3271: Mengambil Suntikan Perancang Kehamilan Sehingga Kitaran Haid Terganggu

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum merancang kehamilan menggunakan “ubat suntikan” perancang hamil yang terdapat di klinik bagi wanita atas sebab-sebab tertentu, seperti pembedahan czer semasa bersalin, kerana atas nasihat doktor juga untuk memastikan kesembuhan perut yang dibedah selama beberapa tahun. Dan kesan terhadap “suntikan perancang kehamilan” ia boleh mengakibatkan kitaran haid tak menentu, bagaimanakah cara kiraan dan bagaimanakah menentukan ianya haid atau tidak? Kerana kitaran sudah di luar adat yakni kitaran tidak menentu akibat kesan dari suntikan.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam masalah ini, sebaik-baiknya kita beriman dengan apa yang disabdakan oleh Nabi SAW: Daripada Aisyah R.Anha, katanya:

خَرَجْنَا لاَ نَرَى إِلَّا الحَجَّ، فَلَمَّا كُنَّا بِسَرِفَ حِضْتُ، فَدَخَلَ عَلَيَّ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَنَا أَبْكِي، قَالَ: «مَا لَكِ أَنُفِسْتِ؟ قُلْتُ: نَعَمْ، قَالَ: «إِنَّ هَذَا أَمْرٌ كَتَبَهُ اللهُ عَلَى بَنَاتِ آدَمَ، فَاقْضِي مَا يَقْضِي الحَاجُّ، غَيْرَ أَنْ لاَ تَطُوفِي بِالْبَيْتِ» قَالَتْ: وَضَحَّى رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ نِسَائِهِ بِالْبَقَرِ.

Maksudnya: “Kami keluar tanpa memikirkan kecuali untuk mengerjakan haji. Apabila kami berada di Sarif, aku kedatangan haid. Rasulullah SAW masuk menemuiku ketika aku sedang menangis. Baginda bertanya: “Kenapa dengan kamu, adakah kamu telah kedatangan haid?” Aku menjawab: “Ya.” Nabi SAW bersabda: “(Perkara haid) ini adalah suatu perkara yang telah ditentukan oleh Allah kepada wanita-wanita dalam kalangan anak-anak Adam. Lakukan sepertimana orang-orang haji tunaikan, cuma kamu jangan bertawaf di Baitullah.” Kata Aisyah R.Anha: “Rasulullah SAW mengorbankan seekor lembu bagi pihak isteri-isterinya.”

Riwayat al-Bukhari (294) dan Muslim (1211), Abu Daud (1782), al-Nasa’ie (290), Ibn Majah (2963) dan Ahmad (25880)

Daripada nas ini menunjukkan bahawa haid adalah ketentuan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Justeru, membiarkan ia berjalan mengikut ketentuan itu adalah jauh lebih baik.

Tetapi dalam kes Saudari/Puan, jika sekiranya terpaksa atas nama ubat, – di mana doktor yang menyatakan hal itu itu adalah merupakan doktor pakar, dan doktor itu juga adalah seorang yang thiqah dan dipercayai, dan di mana dengan sebab itu ia boleh memberikan kesembuhan pada perut dengan baik, –  maka jika thabit daripada doktor thiqah yang dipercayai itu, maka hukumnya adalah dibolehkan.

Walaubagaimanapun, jika terdapat alternatif lain, kami tetap mendukung pandangan supaya tidak perlu kepada perancangan seperti ini. Ini kerana risiko sepertimana yang Puan sebutkan itu, yang menyebabkan haid tidak menentu, dan kemungkinan datangnya beberapa penyakit-penyakit yang lain, yang tidak disangka. Justeru, menormalkan semula mengikut cara yang telah ditetapkan oleh Allah SWT adalah jauh lebih baik.

Berkenaan dengan haid itu, jika sekiranya masih dalam ruang lingkungan haid dan sifat haid, maka ia dihukumkan sebagai haid.  Tetapi jika lebih daripada apa yang sepatutnya daripada haid, maka dihukum sebagai istihadah. Oleh itu, apabila dihukum sebagai istihadah, maka wajiblah solat seperti biasa.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Bertarikh: 26 September 2023 bersamaan 10 Rabiulawwal 1445