#3272: Guna Harta Sepencarian Setelah Bercerai Dengan Tebus Talak

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ TG. Bolehkah isteri memakan harta sepencarian dengan suaminya kerana si isteri memohon cerai dari suaminya atau dengan cara tebus talak? Adakah isteri yang nusyuz juga berhak mendapat bahagian harta sepencarian? Mohon pencerahan. Wassalam.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Khulu’ bermaksud perpisahan antara suami isteri dengan sesuatu gantian (bayaran) yang diberikan oleh isteri kepada suami dengan lafaz talak atau khulu’. Umumnya, masyarakat Malaysia lebih maklum dengan istilah ‘tebus talak’.

Firman Allah SWT:

الطَّلَاقُ مَرَّتَانِ  فَإِمْسَاكٌ بِمَعْرُوفٍ أَوْ تَسْرِيحٌ بِإِحْسَانٍ  وَلَا يَحِلُّ لَكُمْ أَن تَأْخُذُوا مِمَّا آتَيْتُمُوهُنَّ شَيْئًا إِلَّا أَن يَخَافَا أَلَّا يُقِيمَا حُدُودَ اللَّـهِ  فَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا يُقِيمَا حُدُودَ اللَّـهِ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِمَا فِيمَا افْتَدَتْ بِهِ  تِلْكَ حُدُودُ اللَّـهِ فَلَا تَعْتَدُوهَا  وَمَن يَتَعَدَّ حُدُودَ اللَّـهِ فَأُولَـٰئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ ﴿229﴾ فَإِن طَلَّقَهَا فَلَا تَحِلُّ لَهُ مِن بَعْدُ حَتَّىٰ تَنكِحَ زَوْجًا غَيْرَهُ

Maksudnya: “Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik dan tidaklah halal bagi kamu mengambil balik sesuatu dari apa yang telah kamu berikan kepada mereka (isteri-isteri yang diceraikan itu) kecuali jika keduanya (suami isteri takut tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah. Oleh itu kalau kamu khuatir bahawa kedua-duanya tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah, maka tidaklah mereka berdosa – mengenai bayaran (tebus talak) yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya (dan mengenai pengambilan suami akan bayaran itu). Itulah aturan-aturan hukum Allah maka janganlah kamu melanggarnya; dan sesiapa yang melanggar aturan-aturan hukum Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim. Sesudah (diceraikan dua kali), itu jika diceraikan pula (bagi kali yang ketiga) maka perempuan itu tidak halal lagi baginya sesudah itu, sehingga ia berkahwin dengan suami yang lain.”

(Surah al-Baqarah: 229-230)

Perbezaan antara talak biasa dan khulu’ ialah talak berlaku dengan kehendak suami manakala khulu’ berlaku dengan kemahuan isteri dan nekad untuk bercerai disertai dengan gantian atau pampasan. Oleh itu, dia disyariatkan untuk menebus diri daripada suaminya, dengan gantian memberi suatu kadar jumlah daripada mas kahwin yang dipersetujui bersama. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 4/127)

Sekiranya telah berlaku tiga kali penceraian secara khulu’ maka haram untuk lelaki itu menikahi isterinya selagi wanita itu tidak berkahwin dengan lelaki lain. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i, 4/202)

Pada asalnya diharamkan bagi perempuan meminta cerai tanpa ada sebab-sebab yang diharuskan. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda :

المختلِعاتُ هنَّ المنافقاتُ

MaksudnyaWanita-wanita yang memintai cerai dengan mengembalikan hak-haknya adalah munafik.

Riwayat Nasaie (3461)al-Iraqi dalam Takhrij al-Ihya’ (2/71) menyatakan bahawa sanadnya dhaif.

Dalam isu ini kami berpandangan wanita yang yang diceraikan dengan cara khulu’ masih lagi mendapat nafkah tempat tinggal dalam tempoh iddahnya sekiranya dia sedang hamil iaitu sehingga dia melahirkan anak. Ini juga merupakan Ijma’ para ulama dan merupakan pandangan daripada  mazhab Maliki, Syafi’e dan Ibn Hazm. (Lihat Mausu’ah al-Ijma’ Fi Fiqh al-Islami,3/458 )

Ibn al-Qudamah menyatakan dalam kitabnya al-Mughni : Apabila seorang lelaki menceraikan isterinya  yang sedang hamil dengan talak bain, maka talak itu mungkin terjadi dalam tiga bentuk  iaitu talak yang telah dijatuhkan tiga kali, atau melalui fasakh (pembatalan pernikahan ), atau secara khulu’ (tebus talak). Maka, dia berhak mendapat nafkah  tempat tinggal, menurut kesepakatan para ulama. (Lihat al-Mughni, 11/402) . Ini berdasarkan firman Allah SWT :

أَسْكِنُوهُنَّ مِنْ حَيْثُ سَكَنْتُمْ مِنْ وُجْدِكُمْ وَلَا تُضَارُّوهُنَّ لِتُضَيِّقُوا عَلَيْهِنَّ وَإِنْ كُنَّ أُولَاتِ حَمْلٍ فَأَنْفِقُوا عَلَيْهِنَّ حَتَّى يَضَعْنَ حَمْلَهُنَّ

Maksudnya: Tempatkanlah isteri-isteri (yang menjalani idahnya) itu di tempat kediaman kamu sesuai dengan kemampuan kamu; dan janganlah kamu adakan sesuatu yang menyakiti mereka (di tempat tinggal itu) dengan tujuan hendak menyusahkan kedudukan mereka (supaya mereka keluar meninggalkan tempat itu). Dan jika mereka berkeadaan sedang mengandung, maka berikanlah kepada mereka nafkahnya sehingga mereka melahirkan anak yang dikandungnya;

(Surah al-Talak: 6)

Manakala wanita yang diceraikan secara khulu’ dalam keadaan dia tidak hamil maka tidak ada baginya nafkah kerana terpisahnya ikatan perkahwinan tersebut disebabkan olehnya. Ini merupakan pendapat mazhab Maliki, Syafi’i, dan Hanbali.

Al-Nawawi menyatakan : Wanita yang diceraikan dengan cara khulu’ atau talak tiga maka tiada baginya nafkah walaupun nafkah pakaian. (Lihat Raud al-Talibin, 9/6)

Al-Qairawani juga menyatakan : Tiada nafkah bagi wanita yang diceraikan secara khulu’ kecuali dia hamil. Begitu juga yang diceraikan secara lia’n dan  bagi perempuan yang kematian suami. (Lihat al-Risalah, hlm.100)

Berkenaan dengan nusyuz pula, Allah SWT berfirman:

وَاللَّاتِي تَخَافُونَ نُشُوزَهُنَّ فَعِظُوهُنَّ وَاهْجُرُوهُنَّ فِي الْمَضَاجِعِ وَاضْرِبُوهُنَّ ۖ فَإِنْ أَطَعْنَكُمْ فَلَا تَبْغُوا عَلَيْهِنَّ سَبِيلًا ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلِيًّا كَبِيرًا ‎﴿٣٤﴾‏ وَإِنْ خِفْتُمْ شِقَاقَ بَيْنِهِمَا فَابْعَثُوا حَكَمًا مِّنْ أَهْلِهِ وَحَكَمًا مِّنْ أَهْلِهَا إِن يُرِيدَا إِصْلَاحًا يُوَفِّقِ اللَّهُ بَيْنَهُمَا ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلِيمًا خَبِيرًا

Maksudnya: “Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukullah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya). Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi, lagi Maha Besar. Dan jika kamu bimbangkan perpecahan di antara mereka berdua (suami isteri) maka lantiklah “orang tengah” (untuk mendamaikan mereka, iaitu), seorang dari keluarga lelaki dan seorang dari keluarga perempuan. Jika kedua-dua “orang tengah” itu (dengan ikhlas) bertujuan hendak mendamaikan, nescaya Allah akan menjadikan kedua (suami isteri itu) berpakat baik. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui, lagi Amat mendalam pengetahuanNya.”

(Surah al-Nisa’: 34-35)

Ibn Kathir menyatakan, nusyuz (النُّشُوزُ) itu bererti meninggi diri, dan wanita yang nusyuz itu adalah yang meninggi diri terhadap suaminya, meninggalkan perintahnya, menjauhi dan membencinya. Jika tanda-tanda nusyuz ini muncul, maka nasihatilah si isteri dan takutkanlah dia dengan hukuman Allah SWT atas kemaksiatannya. Sesungguhnya Allah SWT telah mewajibkan hak-hak suami ke atas isteri, serta ketaatan kepadanya, dan Allah SWT mengharamkan berbuat derhaka kepada suami kerana apa yang Allah SWT telah anugerahkan kepadanya berupa keutamaan dan kemuliaan. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/257)

Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat pula, nusyuz bermaksud  keingkaran isteri mentaati perintah suami, selagi mana perintah tersebut diharuskan Allah SWT.

Abu Bakar Ibn al-‘Arabi mengatakan, antara penghuraian yang terbaik pernah aku dengar tentang ayat ini adalah yang dinyatakan oleh Sa‘id bin Jubair R.A, katanya “Si suami perlu menegur isterinya, sekiranya dia menerima teguran tersebut (maka suami cukup berhenti di situ sahaja). Jika tidak, suami perlu memulaukannya. Sekiranya isterinya patuh (maka suami cukup berhenti di situ sahaja). Jika tidak, suami boleh memukulnya. Sekiranya isterinya patuh (maka suami cukup berhenti di situ sahaja). Jika tidak, dia perlu mencari pendamai daripada orang tengah yang dilantik daripada kedua-dua belah pihak. Mereka (orang tengah) akan mencari siapa yang menimbulkan masalah, dan pada ketika itu perkahwinan boleh dibatalkan dengan cara khulu‘ (الخُلْعُ).” (Lihat Ahkam al-Quran, 1/535)

Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat (إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلِيًّا كَبِيرًا) menyatakan, ini merupakan amaran yang kuat kepada para lelaki yang sengaja mencabuli wanita (dengan 4 ketetapan di atas) tanpa sebarang sebab (isteri tidak derhaka). Sesungguhnya Allah yang Maha Tinggi dan Maha Besar adalah pelindung bagi para wanita tersebut, dan Allah pasti akan membalas terhadap sesiapa yang menindas mereka atau mencabuli mereka. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/259)

Manakala harta sepencarian pula ditafsirkan dalam undang-undang keluarga Islam di negeri-negeri kecuali di Kelantan dalam undang-undang Pentadbiran Mahkamah Syariah. Umumnya terdapat sedikit perbezaan tafsiran meskipun tidak terdapat perbezaan dari segi amalan pembahagian. Di Johor, Melaka, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Terengganu dan Wilayah Persekutuan harta sepencarian ditafsirkan sebagai: “Harta yang diperolehi bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuatkuasa mengikut syarat-syarat yang telah ditentukan oleh hukum syarak.”

Secara umumnya, harta sepencarian bolehlah didefinisikan sebagai suatu harta sama ada harta alih atau tidak alih yang diperolehi bersama oleh suami dan isteri hasil daripada usaha dan sumbangan bersama dalam tempoh perkahwinan mereka dan termasuklah juga nilai harta yang diperolehi sebelum mereka berkahwin yang telah dimajukan atau ditingkatkan nilainya dalam masa perkahwinan melalui usaha bersama.

Fatwa Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia ke-4 pada 13-14 April 1982 di Dewan Syarahan Masjid Negara menyatakan: Berdasarkan kepada kedudukan harta sepencarian di Malaysia pada hari ini belum ada lagi peraturan yang seragam mengenai undang-undang harta sepencarian, maka jawatankuasa membuat keputusan:

  • Segala apa yang diberi atau dihibahkan oleh suami kepada isteri atau sebaliknya dengan bukti secara syarak atau dengan pengakuan dari pihak memberi adalah menjadi hak kepada yang menerima.
  • Mengenai rumah tempat tinggal dan perabot-perabot pada dasarnya adalah menjadi hak suami kecuali bila ada kenyataan menunjukkan bahawa suami menghibahkan kepada isterinya atau isteri yang punya.
  • Maskahwin, pakaian dan nafkah-nafkah pada dasarnya adalah menjadi hak isteri.

Kesimpulan

Justeru, menjawab persoalan di atas, kami katakan bahawa hukum tebus talak adalah sama seperti talak biasa daripada sudut nafkah, iddah dan seumpamanya sekiranya si isteri hamil, jika si isteri tidak hamil, maka tidak ada nafkah padanya dalam waktu iddah. Selain itu, yang membezakan tebus talak dengan talak biasa adalah tebus talak ini ditawarkan oleh si isteri dengan bayaran tertentu dan dipersetujui oleh suami. Sekiranya suami tidak bersetuju, maka talak tersebut tidak akan terjatuh.

Manakala hak harta sepencarian ini mestilah dirujuk kepada pihak Mahkamah Syariah. Pihak mahkamah yang akan menentukan jumlah harta sepencarian yang layak diperolehi bagi pihak masing-masing. Kaedah menyebutkan:

حُكْمُ الْحَاكِمِ يَرْفَعُ الْخِلَافَ

Maksudnya: “Keputusan hakim (pemerintah) mengangkat sebarang khilaf (percanggahan).”

Al-Qarafi dalam menjelaskan kaedah ini berkata: Hukum hakim dalam masalah ijtihad mengangkat khilaf dan hendaklah yang menyalahi kembali daripada mazhabnya kepada mazhab hakim dan berubah fatwanya selepas keputusan hukum yang terdahulu mengikut pendapat yang sahih dari mazhab ulama’. (Lihat al-Furuq, 2/103)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Surah al-Furqan (74)

Wallahua`lam.

Bertarikh: 26 September 2023 bersamaan 10 Rabiulawwal 1445