Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya nak tanya kalau kita dah siap mandi wajib tiba-tiba dalam hati terniat untuk putuskan atau batalkan mandi wajib adakah mandi wajib kira tak sah dan kita masih berhadas?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Mandi wajib menurut syara’ adalah mandi yang diwajibkan bagi sesiapa yang berhadas besar sebelum melakukan beberapa ibadah seperti mendirikan solat, tawaf, memegang mushaf al-Quran, beriktikaf di masjid dan seumpamanya. Firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَقْرَبُوا الصَّلَاةَ وَأَنتُمْ سُكَارَىٰ حَتَّىٰ تَعْلَمُوا مَا تَقُولُونَ وَلَا جُنُبًا إِلَّا عَابِرِي سَبِيلٍ حَتَّىٰ تَغْتَسِلُوا ۚ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan. Dan janganlah pula (hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan junub (berhadas besar) – kecuali kamu hendak melintas sahaja – hingga kamu mandi bersuci.”
(Surah al-Nisa’: 43)
وَإِن كُنتُمْ جُنُبًا فَاطَّهَّرُوا ۚ
Maksudnya: “Dan jika kamu junub (berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib.”
(Surah al-Maidah: 6)
Para ulama’ telah menetapkan bahawa syarat fardhu bagi mandi wajib hanya tiga, iaitu:
- Niat
- Menghilangkan najis jika sekiranya ada pada badan.
- Meratakan air ke seluruh rambut (bulu-bulu) dan badan. (Lihat Matan al-Ghoyah wa al-Taqrib, 21)
Jika dilihat kepada syarat fardhu bagi mandi wajib, seseorang itu hanya perlu untuk menghilangkan najis di badannya sekiranya ada dan meratakan air ke seluruh badan dengan disertakan niat untuk mengangkat hadas. Apabila seseorang itu melaksanakan fardhu mandi wajib maka mandi wajibnya telah sah.
Justeru, dalam menjawab persoalan di atas, kami katakan bahawa sekiranya seseorang itu sudah berniat untuk mandi wajib mengangkat hadas daripada awal, maka sahlah mandi wajib tersebut sekiranya dia sudah melakukan rukunnya dengan meratakan air ke seluruh badan walaupun hatinya terniat untuk membatalkan mandi wajib tersebut. Melainkan sekiranya dia tidak diselasaikan rataan air pada seluruh badan ketika mandi.
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللّهُـمَّ اجْعَلنـا مِنَ التَّـوّابينَ وَاجْعَـلْنا مِنَ المتَطَهّـرين
Maksudnya: “Ya Allah, jadikanlah aku termasuk dalam golongan orang-orang yang bertaubat dan jadikanlah aku termasuk golongan orang-orang yang selalu menyucikan diri.”
Wallahua`lam.
Bertarikh: 26 September 2023 bersamaan 10 Rabiulawwal 1445