#3278: Jumlah Nama-Nama Nabi SAW

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada dengar orang kata, Nabi SAW mempunyai banyak nama, benarkah begitu? Justeru, berapa jumlah nama-nama Nabi SAW?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab persoalan di atas, terdapat dua hadith riwayat Bukhari dan Muslim yang menyebut berkenaan jumlah nama-nama Nabi SAW, kami nyatakan di sini:

Daripada Mut’im, bahawa Nabi SAW bersabda:

لي خَمْسَةُ أَسْمَاءِ: أَنَا مُحَمَّدٌ، وَأَحْمَدُ وَأَنَا المَاحِي الَّذِي يَمْحُو اللَّهُ فِي الكُفْرَ، وَأَنَا الخَاشِرُ الَّذِي يُحْشَرُ النَّاسُ عَلَى قَدَمِي، وَأَنَا العَاقِبُ

Maksudnya: “Aku mempunyai lima nama iaitu Muhammad, Ahmad, aku juga penghapus yang mana Allah SWT menghapuskan kekufuran denganku, aku penghimpun yang mana manusia akan berhimpun di bawah kakiku dan aku juga nabi terakhir.”

Riwayat al-Bukhari (3532)

Daripada Abu Musa al-Asy’ari, bahawa Nabi SAW pernah menyebut kepada kami beberapa nama Baginda SAW:

أَنَا مُحَمَّدٌ، وَأَحْمَدُ، وَالْمُقَفِّيِ، وَالْحَاشِرُ، وَنَبِيُّ التَّوْبَةِ، وَنَبِيُّ الرَّحْمَةِ

Maksudnya: “Aku adalah Muhammad, Ahmad, Nabi yang terakhir, aku penghimpun, nabi yang mengajar taubat dan nabi yang membawa rahmat.”

Riwayat Muslim (2355)

Justeru, nama-nama Rasulullah SAW ialah:

  • Muhammad
  • Ahmad
  • Al-Mahi
  • Al-Hasyir
  • Al-‘Aqib
  • Al-Muqaffi
  • Nabiyyu al-Taubah
  • Nabiyyu al-Rahmah

Semoga kita semua menjadi golongan yang cinta dan kasihkan kepada Nabi SAW dengan cara mengikut sunnahnya dan ini juga sebagai bukti kita cintakan Allah SWT. Kami nyatakan firman Allah SWT:

 قُلْ إِن كُنتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ ۗ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ ‎

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

(Surah Ali-Imran: 31)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”

Bertarikh: 26 September 2023 bersamaan 10 Rabiulawwal 1445