Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hukum seorang anak lelaki dewasa tidur bersebelahan dengan ibu kandungnya sendiri atas tilam atau katil yang sama? Contohnya jika bermalam di hotel. Mohon penjelasan.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لِيَسْتَأْذِنكُمُ الَّذِينَ مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ وَالَّذِينَ لَمْ يَبْلُغُوا الْحُلُمَ مِنكُمْ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ ۚ مِّن قَبْلِ صَلَاةِ الْفَجْرِ وَحِينَ تَضَعُونَ ثِيَابَكُم مِّنَ الظَّهِيرَةِ وَمِن بَعْدِ صَلَاةِ الْعِشَاءِ ۚ ثَلَاثُ عَوْرَاتٍ لَّكُمْ ۚ لَيْسَ عَلَيْكُمْ وَلَا عَلَيْهِمْ جُنَاحٌ بَعْدَهُنَّ ۚ طَوَّافُونَ عَلَيْكُم بَعْضُكُمْ عَلَىٰ بَعْضٍ ۚ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمُ الْآيَاتِ ۗ وَاللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ ﴿٥٨﴾ وَإِذَا بَلَغَ الْأَطْفَالُ مِنكُمُ الْحُلُمَ فَلْيَسْتَأْذِنُوا كَمَا اسْتَأْذَنَ الَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ ۚ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ آيَاتِهِ ۗ وَاللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah hamba-hamba kamu dan orang-orang yang belum baligh dari kalangan kamu, meminta izin kepada kamu (sebelum masuk ke tempat kamu), dalam tiga masa; (iaitu) sebelum sembahyang subuh, dan ketika kamu membuka pakaian kerana kepanasan tengah hari, dan sesudah sembahyang Isya’; itulah tiga masa bagi kamu (yang biasanya terdedah aurat kamu padanya). Kamu dan mereka tidaklah bersalah kemudian daripada tiga masa yang tersebut, (kerana mereka) orang-orang yang selalu keluar masuk kepada kamu, dan kamu masing-masing sentiasa berhubung rapat antara satu dengan yang lain. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (yang menjelaskan hukum-hukumNya); dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. Dan apabila kanak-kanak dari kalangan kamu telah baligh, maka hendaklah mereka meminta izin sama seperti cara orang-orang (yang telah cukup umur) yang tersebut dahulu, meminta izin. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (yang menjelaskan hukum-hukumNya) dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”
(Surah al-Nur: 58-59)
Imam Ibn Kathir mengatakan, apabila kanak-kanak telah baligh maka wajib ke atas mereka meminta izin pada semua keadaan, iaitu keadaan (atau waktu) yang mungkin seseorang itu sedang bersama dengan isterinya.
Al-Auza‘ie menukilkan daripada Yahya bin Abi Asir, katanya: “Sekiranya anak telah baligh, dia perlu minta izin pada setiap waktu.” Begini juga yang disebutkan oleh Sa‘id bin Jubair. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 6/76)
Menjawab persoalan yang diajukan, Allah SWT berfirman dalam ayat di atas bahawa anak yang sudah baligh perlu minta izin kepada ibu bapa kerana dikhuatiri akan terlihat aurat mereka.
Diriwayatkan daripada ‘Ata’ bin Yasar R.A bahawa seorang lelaki datang dan bertanya kepada Rasulullah SAW:
يَا رَسُولَ اللَّهِ أَسْتَأْذِنُ عَلَى أُمِّي؟ فَقَالَ: نَعَمْ. قَالَ الرَّجُلُ: إِنِّي مَعَهَا فِي الْبَيْتِ. فَقَالَ: رَسُولُ اللَّهِ ﷺ: اسْتَأْذِنْ عَلَيْهَا. فَقَالَ الرَّجُلُ: إِنِّي خَادِمُهَا. فَقَالَ لَهُ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ: اسْتَأْذِنْ عَلَيْهَا، أَتُحِبُّ أَنْ تَرَاهَا عُرْيَانَةً؟ قَالَ: لاَ. قَالَ: فَاسْتَأْذِنْ عَلَيْهَا
Maksudnya: “‘Wahai Rasulullah, adakah aku perlu minta izin kepada ibuku (sebelum masuk ke tempatnya)?’ Baginda menjawab: ‘Ya.’ Lelaki tersebut berkata: ‘Aku tinggal bersamanya di rumah,’ lalu Rasulullah SAW menjawab: ‘Mintalah izin kepada dia.’ Lelaki tersebut berkata lagi: ‘Aku berkhidmat untuknya,’ lalu Rasulullah SAW bersabda: ‘Mintalah izin kepada dia, adakah engkau suka melihatnya tidak berpakaian?’ Lelaki tersebut menjawab: ‘Tidak’. Baginda Bersabda: ‘Maka mintalah izin kepada dia’.”
Riwayat Imam Malik dalam al-Muwatta’ (2/963), Ibn Abi Syaibah (4/399) dan Abu Dawud dalam al-Marasil (1/336)
Dalam riwayat lain pula, daripada datuk kepada ‘Amru bin Syu‘aib, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مُرُوا أَوْلَادَكُمْ بِالصَّلَاةِ وَهُمْ أَبْنَاءُ سَبْعِ سِنِينَ، وَاضْرِبُوهُمْ عَلَيْهَا، وَهُمْ أَبْنَاءُ عَشْرٍ وَفَرِّقُوا بَيْنَهُمْ فِي الْمَضَاجِعِ
Maksudnya: “Perintahkan anak-anak kamu untuk menunaikan solat ketika mereka berusia tujuh tahun, dan pukullah mereka ketika mereka berusia sepuluh tahun, dan pisahkan tempat tidur di antara mereka.”
Riwayat Ahmad (6689) Abu Daud (495)
Majoriti fuqaha berpendapat bahawa wajib kepada bapa atau wali memisahkan tempat tidur anak-anak ketika berumur 10 tahun sama ada anak-anak tersebut sesama jantina atau lelaki dan perempuan mahupun antara anak dan ibu atau bapanya. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 38/34)
Kesimpulan
Berdasarkan perbincangan di atas, kami katakan bahawa yang paling baik adalah menyewa bilik berasingan bagi anak lelaki dewasa tersebut dan ibunya.
Akan tetapi, jika tidak mampu untuk menyewa bilik secara berasingan, usahakan untuk dipisahkan dengan tidak tidur di atas katil yang sama. Bahkan, anak tersebut mendahulukan ibunya untuk tidur di atas katil dan dia pula di atas lantai, atau meletakkan pemisah seperti bantal di antara anak dan ibu, atau apa-apa sahaja yang sesuai. Ini bersesuaian dengan firman Allah SWT:
فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ
Maksudnya: “Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya upaya kamu.”
(Surah al-Taghaabun: 16)
Hal ini bagi mengelakkan daripada berlakunya perkara yang tidak diingini, di samping dapat menolak tohmahan daripada masyarakat sekeliling. Hal ini berdasarkan kaedah yang menekankan seseorang Muslim itu agar menghindari daripada terjebak dalam sebarang perkara yang boleh menyebabkan dirinya ditohmah dan dicela.
اتَّقُوا مَوَاضِعَ التُّهَمِ
Maksudnya: “Berhati-hatilah kalian dengan ruang-ruang tohmahan.”
Kaedah ini dikeluarkan oleh ulama’ berdasarkan kalam Saidina Umar R.A, katanya:
مَنْ سَلَكَ مَسَالِكَ التُّهَمِ اتُّهِمَ
Maksudnya: “Barangsiapa yang menempuhi laluan-laluan tohmahan, dia akan ditohmah.”
Semoga Allah SWT memberi kefahaman yang baik kepada kita dalam dalam urusan kehidupan kita. Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”
Wallahu a‘lam
Bertarikh: 26 September 2023 bersamaan 10 Rabiulawwal 1445