#3283: Biografi Ringkas Abdul Muttalib

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami kisah Abdul Muttalib iaitu datuk Rasulullah SAW?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Nama sebenarnya ialah Syaibah al-Hamd menurut pendapat Ibn Ishaq dan merupakan pendapat yang sahih. Dia dinamakan sedemikian kerana dia dilahirkan dan di kepalanya terdapat syaibah (jalur putih di rambut hitamnya). Terdapat pendapat menyatakan, namanya ialah ‘Amir dan ini merupakan pendapat Ibn Qutaibah dan disokong oleh al-Majid al-Syirazi Nama julukan (kunyah) ‘Abd al-Muttalib ialah Abu al-Harith berdasarkan kepada anaknya yang tua. Dikatakan, dia dipanggil sebagai Abd al-Muttalib kerana bapanya, Hasyim berkata kepada saudara lelakinya, al-Muttalib semasa dia berada di Makkah, ketika kematian menghampirinya: “Dapatkan hambamu di Yathrib.” Lalu dia dipanggil sebagai Abd al-Muttalib. 

Namun ada pendapat menyatakan, pakciknya iaitu al-Muttalib datang dengan membawanya ke Makkah dengan cara dibonceng di belakang kenderaannya. Ketika itu juga dia dalam keadaan ditutup dengan pakaian atau kain. Lalu al-Muttalib ditanya berkenaannya dan menjawab: “Dia ialah hambaku.” Hal ini kerana dia malu untuk mengatakan (mengaku): “Dia ialah anak saudaraku. Apabila keadaannya semakin baik, dia mula menzahirkannya sebagai anak saudaranya. Maka, oleh sebab itu, dia dipanggil sebagai Abd al-Muttalib. Selain itu, ‘Abd al-Muttalib ialah orang pertama yang mewarnakan rambut dengan warna hitam dalam kalangan Arab. Dia juga telah hidup selama 140 tahun. (Lihat al-Mawahib al-Laduniyyah, 1/59-60).

*Nama sebenarnya ialah Amr. Dia dipanggil sebagai Hasyim kerana dia adalah orang pertama menghancurkan Tharid (iaitu roti yang dikoyak-koyakkan dan direndam dalam kuah yang panas sehingga lembut) di Makkah untuk diberikan kepada kaumnya dan jemaah haji ketika musim kemarau pada tahun kelaparan. Seorang penyair berkata: (Amr al-Ula menghancurkan al-Tharid untuk kaumnya. Sedangkan penduduk Makkah ditimpa tahun kelaparan dan kemarau, serta kurus.”) (Lihat al-Mawahib al-Laduniyyah. 60/1: Fath al-Bari oleh Ibn Hajar, 7/163). (Lihat Garis Masa Hayat al-Rasul SAW, hlm. 2)

Sesungguhnya musibah kehilangan ayah dan ibu menjadikan perasaan simpati dan kasih sayang kepada anak kecil yang sedang membesar itu semakin bertambah dalam hati Abd al-Muttalib. Beliau tidak membiarkan Baginda keseorangan seperti anak-anak yatim yang lain. Sebaliknya beliau sentiasa membawa Muhammad SAW bersamanya ke majlis-majlis umum. Apabila beliau duduk di atas hamparannya di sisi Ka’bah, beliau mendudukkan Baginda berdekatannya. Sementara para pembesar Mekah yang lain duduk di sekeliling beliau. (Lihat Zad al-Ma’ad oleh Ibn al-Qayyim, 1/75)

Antara kisah yang masyhur di mana Abdul Muttalib ialah ketika peristiwa serangan Abrahah ke Makkah:

Raja Habsyah yang angkuh bernama Abrahah kisahnya telah dirakamkan di dalam surah al-Fil. Abrahah telah membina sebuah gereja besar di Yaman bertujuan untuk menandingi Kaabah di kota Makkah.

Abrahah masih lagi tidak berpuas hati dengan terbinanya gereja tersebut, bahkan dia menginginkan agar Kaabah dihapuskan agar orang-orang yang melaksanakan haji saban tahun akan beralih pusat ke gereja miliknya. Ini kerana dikatakan ada orang yang masuk ke gerejanya lalu qadha’ hajat atau membunag najis. Berita ini menambahkan lagi kemarahannya.

Lantas, Abrahah telah berangkat bersama pasukan tenteranya dan dibawa bersama gajah-gajah yang telah dilatih untuk bertempur. Bagi Abrahah, gajah itu lebih besar dan lebih digeruni berbanding haiwan lain seperti kuda mahu pun unta.

Firman Allah SWT:

أَلَمْ تَرَ كَيْفَ فَعَلَ رَبُّكَ بِأَصْحَابِ الْفِيلِ(1) أَلَمْ يَجْعَلْ كَيْدَهُمْ فِي تَضْلِيلٍ(2)وَأَرْسَلَ عَلَيْهِمْ طَيْراً أَبَابِيلَ(3)تَرْمِيهِم بِحِجَارَةٍ مِّن سِجِّيلٍ(4)فَجَعَلَهُمْ كَعَصْفٍ مَّأْكُولٍ(5)

Maksudnya: “Tidakkah engkau mengetahui bagaimana Tuhanmu telah melakukan kepada angkatan tentera (yang dipimpin oleh pembawa) Gajah, (yang hendak meruntuhkan Kaabah)?Bukankah Tuhanmu telah menjadikan rancangan jahat mereka dalam keadaan yang rugi dan memusnahkan mereka? Dan Ia telah menghantarkan kepada mereka (rombongan) burung berpasuk-pasukan,Yang melontar mereka dengan batu-batu dari sejenis tanah yang dibakar keras, Lalu Ia menjadikan mereka hancur berkecai seperti daun-daun kayu yang dimakan ulat.” 

(Surah al-Fil: 1-5)

Sepanjang perjalanan, habis musnah perkampungan yang dilalui oleh Abrahah dan tentera bergajahnya sepanjang menuju ke kota Mekah.

Itu menyebabkan penduduk Mekah merasa takut dengan keganasan dan sikap yang ditunjukkan oleh Abrahah serta tenteranya. Apabila Abrahah tiba di Makkah, penduduk Makkah bersembunyi di rumah dan di bukit-bukit kerana tidak berani untuk berdepan dengan tentera Abrahah.

Sebaik mereka ingin menceroboh kota Makkah, maka gajah-gajah besar yang menjadi sebahagian tentera Abrahah mula merasa cemas dan takut. Gajah itu seolah-olah memahami akan bala yang besar jika terus ingin memasuki kota Makkah.

Sebaliknya, Abrahah tetap berkeras dan memaksa tenteranya untuk membawa gajah-gajah itu masuk dan memusnahkan Kaabah seperti kehendak jahatnya. Hal ini menjadikan keadaan lebih mencemaskan, kelam-kabut dan huru-hara.

Akhirnya, datanglah pertolongan Allah SWT dengan kuasa-Nya maka dikirmkan sekumpulan burung yang sangat banyak tiba-tiba datang memenuhi langit kota Makkah dengan membawa misi untuk menyerang Abrahah. 

Burung Ababil yang dihantar oleh Allah membawa batu (sijjil) yang melontar ke arah Abrahah dan tentera bergajahnya. Batu yang sangat keras dan panas itu menghancurkan apa sahaja yang mengenainya. Tiada satu pun yang terlepas dari sasaran burung Ababil ini.

Gajah-gajah yang besar itu menggelupur mati dan ramai dari kalangan tentera Abrahah juga mati menjadi sasaran batu panas lontaran Ababil.

Keadaan pada waktu itu Allah gambarkan seperti daun-daun kayu yang dimakan ulat. Berlubang-lubang menjadi rosak dan akhirnya rosak seluruh daun tersebut.

Abrahah turut menjadi sasaran batu panas dari burung Ababil. Saat Abrahah dibawa keluar dari kota Makkah, jari-jarinya gugur satu persatu ibarat dimakan api dari dalam.

Abrahah akhirnya mati ketika dalam perjalanan pulang ke negaranya. Kematiannya penuh dengan kemurkaan daripada Allah SWT.

Kaabah milik Allah yang cuba dimusnahkan oleh Abrahah akhirnya dijaga dan dipelihara sendiri oleh Allah SWT dan tentera Allah SWT.

Dikatakan sebelum Abrahah meruntuhkan Kaabah, dia telah merampas binatang-binatang ternakan penduduk Mekah. Abrahah juga telah mengambil secara paksa 200 ekor unta Abdul Mutalib.

Apabila Abdul Mutalib datang kepada Abrahah untuk meminta kembali unta-untanya, Abrahah terkejut. “Kenapa engkau meminta kembali untamu? Kukira engkau ingin menghalang aku meruntuhkan Kaabah?”

Abdul Mutalib mengatakan, “Unta-unta itu milikku, maka akulah yang perlu mengambilnya kembali. Sedangkan Kaabah itu milik Allah, Dia lah yang akan menjaganya daripada seranganmu!”

Abd al-Muttalib dikurniakan usia yang panjang, sehingga dikatakan bahawa beliau meninggal dunia ketika berusia 120 tahun. Terdapat perbezaan pendapat tentang umur Nabi SAW ketika kewafatan Abd al-Muttalib Ada yang menyebut Baginda berusia lapan tahun. Pendapat lain menyebut usianya sembilan tahun dan sebahagian yang lain pula menyatakan 10 tahun, (Lihat Zad al-Ma’ad oleh Ibn al-Qayyim, 1/75)

Sebelum kematiannya, Abd al-Muttalib telah menyerahkan tanggungjawab memelihara cucunya, Muhammad SAW kepada bapa saudara Baginda sebelah bapa, laitu Abu Talib. (Lihat Fiqh al-Sirah oleh al-Ghazali, hlm. 84) (Lihat Garis Masa Hayat al-Rasul SAW, hlm. 36-38)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا

Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”

Bertarikh: 27 September 2023 bersamaan 10 Rabiulawwal 1445