#3284: Biografi Ringkas Kilab

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami kisah Kilab  iaitu datuk Rasulullah SAW?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Menurut al-Suhaili, perkataan Kilab berasal daripada masdar (kata terbitan) yang bermaksud الْمُكَالَبَةِ”(saling bermusuhan)

Misalnya, kamu mengatakan:  “كَالَبْتُ فُلَانًا” iaitu aku saling menzahirkan permusuhan dengan si fulan. Atau ia berasal daripada kata jamak bagi perkataan sebagaimana orang Arab menamakan (anak mereka) dengan nama haiwan buas, harimau dan lain-lain. Ibn Sa’ad menyebutkan bahawa nama sebenarnya ialah al-Muhazzab. Manakala Muhammad bin Sa’ad mendakwa nama sebenarnya ialah Hakim. 

Dikatakan juga nama sebenarnya ialah ‘Urwah. Dia digelar sebagai Kilab kerana kecintaannya kepada anjing pemburu, dan dia biasa mengumpulkannya. Justeru, mana-mana anjing pemburu yang melewatinya, maka dia akan bertanya mengenainya, sehingga dikatakan kepadanya: “Ini ialah Kilab bin Murrah Lalu dia dipanggil (digelar) sebagai Kilab. (Lihat Fath al-Bari oleh Ibn Hajar, 163/7).

Seorang Arab Badwi ditanya: “Kenapa kamu memberikan nama kepada anak-anak kamu dengan nama-nama yang buruk seperti Kalb (anjing) dan Zi’b (serigala), sedangkan hamba-hamba kamu dengan nama-nama yang terbaik seperti Marzuq (dikurniakan rezeki) dan Rabah (untung)? Dia menjawab: “Kami memberikan nama kepada anak-anak kami buat musuh- musuh kami, manakala hamba-hamba kami pula buat diri kami sendiri.” Mereka mahukan anak-anak mereka bersedia untuk melawan musuh-musuh dan menjadi anak-anak panah yang akan menembusi dada-dada mereka. Oleh sebab itu, mereka memilih nama-nama ini untuk diberikan kepada anak-anak mereka. (Lihat al-Mawahib al-Laduniyyah, 60/1) (Lihat Garis Masa Hayat al-Rasul SAW, hlm. 4)

Marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah SWT:

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ، ثَبِّتْ قُلُوْبَنَا عَلَى دِينِكَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas agama-Mu.”

Bertarikh: 27 September 2023 bersamaan 11 Rabiulawwal 1445