#3286: Biografi Ringkas Kinanah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami kisah Kinanah datuk Nabi SAW?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kinanah bermaksud bekas anak panah, jika ia diperbuat daripada kulit sebagaimana yang disebutkan oleh Ibn Duraid. Dinukilkan daripada Abu Amir al-Udwani bahawasanya dia berkata: “Aku melihat Kinanah bin Khuzaimah seorang tua yang sudah lanjut usianya yang sangat dihormati, orang-orang Arab menziarahinya kerana keilmuannya dan kelebihannya di antara mereka.” (Lihat Fath al-Bari oleh Ibn Hajar, 7/164) (Lihat Garis Masa Hayat al-Rasul SAW, hlm. 8)

Betapa mulianya Kinanah sehingga Rasulullah SAW telah menyebut agaimana Allah SWT memilihnya:

Dalam hadis riwayat Imam Muslim dalam Sahihnya, bahawa Nabi SAW bersabda:

 إِنَّ اللَّهَ اصْطَفَى مِنْ وَلَدِ إِبْرَاهِيمَ إِسْمَاعِيلَ وَاصْطَفَى مِنْ وَلَدِ إِسْمَاعِيلَ بَنِي كِنَانَةَ وَاصْطَفَى مِنْ بَنِي كِنَانَةَ قُرَيْشًا وَاصْطَفَى مِنْ قُرَيْشٍ بَنِي هَاشِمٍ وَاصْطَفَانِي مِنْ بَنِي هَاشِمٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah memilih Kinanah dari keturunan Nabi Ismail, dan memilih Quraisy dari Kinanah, dan memilih Hasyim dari Quraisy, dan memilihku dari Bani Hasyim.” 

Riwayat Muslim (2276)

Marilah sama-sama kita munajat dan berdoa kepada Alalh SWT semoga diberi kekuatan dalam kehidupan kita untuk istiqamah dalam agama Islam. 

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ، ثَبِّتْ قُلُوْبَنَا عَلَى دِينِكَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas agama-Mu.”

Bertarikh: 27 September 2023 bersamaan 11 Rabiulawwal 1445