#3294: Pemindahan Kulit atau Graf Kulit

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah hukum pemindahan atau penukaran kulit muka? Misalnya, seseorang itu pernah mengalami kebakaran yang teruk pada kulit mukanya, lalu dia ingin menjalani prosedur tersebut bagi menutup aibnya. Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pemindahan Kulit/Graf Kulit

Kami mulakan dengan menceritakan serba sedikit latar belakang pemindahan kulit atau dipanggil juga sebagai graf kulit. Secara umumnya, dengan perkembangan moden yang berlaku sekarang, organ-organ yang rosak daripada seseorang boleh digantikan dengan organ orang lain atau penderma. Pada umumnya organ-organ yang boleh didermakan adalah buah pinggang, jantung, hati (heper), paru-paru dan pankreas. Tisu-tisu yang boleh didermakan adalah mata, tulang, kulit dan injap jantung. Ini bermakna, seseorang penderma akan dapat mengubah kehidupan serta menyelamatkan beberapa orang pesakit.[1]

Bahkan, menurut Portal Rasmi MyHealth Kementerian Kesihatan Malaysia, kulit digunakan untuk mempercepatkan proses penyembuhan terutama pada pesakit yang terlibat dalam kes kebakaran. Kulit boleh disimpan dari 2 – 5 tahun.[2]

Secara ringkasnya, graf kulit, yang biasanya dikenali sebagai pemindahan kulit, adalah jenis pembedahan kulit yang melibatkan membuang sebahagian kulit anda dan meletakkannya ke bahagian lain tubuh. Graf kulit sering digunakan untuk menutupi luka besar seperti patah tulang yang memecahkan kulit, terbakar atau menggantikan kulit yang dijangkiti yang tidak dapat disembuhkan.

Terdapat dua jenis graf kulit:

  1. Split-Level Thickness Grafts

Jenis graf kulit ini menghilangkan dua lapisan atas kulit, epidermis dan bahagian separa dermis, tanpa ditutup dengan jahitan. Kulit biasanya diambil dari paha, punggung atau lengan atas. Belahan-tahap ketebalan graf kelihatan lebih berkilat daripada seluruh kulit ketika ia sembuh. Kawasan ini tidak tumbuh dengan seluruh kulit. Oleh itu, kanak-kanak yang mendapat jenis graf kulit ini memerlukan transplantasi lain pada kehidupan seterusnya.

  1. Full-Thickness Grafts

Graf tebal penuh melibatkan membuang seluruh lapisan epidermis dan dermis dengan menutup kawasan dengan jahitan. Penyingkiran ini juga membuang saluran darah dan otot. Ia membolehkan kulit yang ditransplankan digabungkan dengan kulit biasa dan biasanya tumbuh dengan pesakit. Graf tebal penuh digunakan untuk luka-luka kecil pada bahagian tubuh yang sangat kelihatan, seperti muka.

Graf kulit digunakan untuk pesakit dengan:

  • Kulit yang dijangkiti menyebabkan banyak kehilangan kulit.
  • Kulit rosak atau hilang yang memerlukan pembedahan kosmetik atau rekonstruktif.
  • Pembedahan kanser kulit.
  • Ulser yang tidak sembuh.
  • Luka yang sangat besar.
  • Luka yang tidak dapat ditutup oleh doktor.

Selanjutnya, seperti semua pembedahan, graf kulit mempunyai risiko. Ini termasuk pendarahan, parut, dan jangkitan. Pesakit mungkin mempunyai reaksi terhadap ubat-ubatan untuk prosedur ini. Selepas pembedahan, kulit mungkin tidak sembuh dengan betul atau sembuh secara tidak rata. Perubahan warna dan sensitiviti yang berkurang atau meningkat mungkin berlaku.

Prosedur Graf Kulit

Selepas menukar kepada pakaian hospital, anda akan diberi anestetik am atau anestetik setempat supaya anda tidak berasa sakit.

Pakar bedah akan mengeluarkan kulit dari kawasan penderma. Untuk belahan-tahap ketebalan graf, kulit akan dikeluarkan dari kawasan tubuh anda yang biasanya disembunyikan oleh pakaian, seperti pinggul atau bahagian dalam paha anda. Jika anda mendapat sepenuhnya-ketebalan graf, kawasan itu adalah dinding abdomen atau dinding dada. Setelah kulit dikeluarkan, pakar bedah akan meletakkannya di kawasan pemindahan dan menjahit dengan jahitan, staples atau surgical dressing (kain kasa tidak lekat).

Selepas prosedur selesai, kakitangan hospital akan memantau anda dengan teliti selepas pembedahan anda, memantau tanda-tanda penting anda dan memberikan ubat-ubatan untuk menguruskan kesakitan.

Belahan-tahap ketebalan graf biasanya akan sembuh dengan cepat. Graf penuh-kulit tebal penuh mungkin memerlukan 1-2 minggu penginapan di hospital. Dalam masa 36 jam, saluran darah di tapak graf hendaklah mula menyambung. Sekiranya tidak, ini bermakna tubuh anda menolak graf dan anda mungkin memerlukan graf kulit yang lain.

Anda perlu memakai pembalut (dressing) selama 1-2 minggu. Doktor anda akan memberi arahan kepada anda bagaimana untuk menjaga pembalut dan memberi ubat untuk meringankan kesakitan dan ketidakselesaan. Mereka juga akan mengarahkan anda bagaimana untuk menjaga tapak graf dan tempat penderma supaya ia tidak dijangkiti.

Anda perlu berehat selama 3-4 minggu untuk kedua-dua tempat penderma dan tempat pemindahan untuk sembuh. Elakkan segala jenis trauma atau aktiviti yang boleh mengoyakkan atau meregangkan tempat graf. Doktor anda akan memberitahu anda waktu selamat untuk meneruskan aktiviti normal anda. Anda mungkin memerlukan terapi fizikal kemudian untuk memulihkan selepas graf kulit.[3]

Hukum Pemindahan Kulit/Graf Kulit

Umumnya, pemindahan atau transplan kulit ini termasuk dalam derma organ dan para ulama berbeza pendapat mengenainya. Ada yang tidak bersetuju dan ada juga dalam kalangan mereka yang mengharuskannya. Kami telah menjawabnya dalam artikel kami, #23: Derma Organ dan Tisu.[4] Ringkasnya, dalam artikel tersebut, kami berpendapat bahawa hukum pendermaan organ dan tisu adalah harus dan amat digalakkan, berpandukan kepada syarat-syarat yang telah digariskan. Pada asasnya, terdapat empat syarat sebagaimana berikut:

  • Hendaklah orang yang diambil sebahagian daripada anggotanya itu telah memberi keizinan sebelum kematiannya dan dia ialah seorang yang berakal waras, sudah baligh dan tidak ada paksaan atau telah diizinkan oleh walinya setelah kematiannya.
  • Hendaklah terbukti dan meyakinkan bahawa pemindahan itu akan berhasil pada umumnya.
  • Hendaklah dipastikan bahawa pemindahan itu semata-mata untuk tujuan perubatan dan bukan untuk maksud atau tujuan lain.
  • Tidak ada unsur kontrak jual beli dalam pemindahan organ tersebut.

Pendapat ini juga adalah selari dengan pendapat yang dipegang oleh sebahagian ulama seperti Syeikh Hasanain Makhlouf, Syeikh Jad al-Haq ‘Ali Jad al-Haq, Syeikh ‘Abd al-Rahman al-Sa‘di, Syeikh Ibrahim al-Ya’qubi, Dr. Ahmad Sharafuddin, Dr. Rauf al-Shalabi dan ramai lagi. Selain itu juga, institusi-institusi fatwa seluruh dunia seperti Majlis Ugama Islam Singapura, Majlis Ulama Besar Arab Saudi, Majlis Fatwa Kuwait, Majma’ al-Fiqh al-Islami, Majma’ al-Fiqh al-Islami al-Hind, The Islamic Shariah Council UK termasuk Malaysia menghukumkan ia harus dengan syarat-syarat yang telah digariskan.

Begitu juga Keputusan Majma‘ al-Fiqhi di bawah Pertubuhan Persidangan Islam dalam sidangnya yang diadakan pada 18 Jamadil Akhir 1408 Hijrah bersamaan 6 Februari 1988 Masihi menyatakan bahawa dibolehkan untuk memindahkan organ daripada badan seseorang kepada tubuh orang lain, jika organ ini boleh diperbaharui secara automatik, seperti darah dan kulit, dengan syarat bahawa penderma mesti berkelayakan sepenuhnya, dan memenuhi syarat-syarat daripada syarak yang berkaitan dengannya.

Justeru, pemindahan atau transplan kulit adalah diharuskan tetapi bersyarat. Di antaranya, tidak memudaratkan pendermanya, sudah terbukti dan meyakinkan bahawa pemindahan itu akan berhasil secara umumnya, pemindahan itu semata-mata untuk tujuan perubatan dan bukan untuk maksud atau tujuan lain seperti kecantikan tambahan dan seumpamanya, serta tidak ada unsur kontrak jual beli dalam pemindahan tisu tersebut, dan lain-lain sebagaimana yang telah disebutkan oleh para ulama.

Selain itu, keumuman dalil-dalil menunjukkan kepada kemaslahatan Muslim, menolong seorang Muslim dan bersedekah. Hal ini adalah sebagaimana hadith daripada ‘Ubadah bin al-Samit daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:

مَنْ تَصَدَّقَ بشيءٍ مِنْ جَسَدِهِ

Maksudnya:Sesiapa yang bersedekah dengan sesuatu daripada jasadnya.

Riwayat Ahmad dalam al-Musnad (22287); al-Nasa’i dalam al-Kubra (11081); al-Dhiya’ dalam al-Mukhtarah (2795); al-Suyuti dalam al-Jami‘ al-Saghir menilainya sebagai hasan (8576); al-Haithami dalam Majma‘ al-Zawa’id menyebutkan perawi-perawinya ialah perawi dalam kitab al-Sahih (6/305).

Justeru, umum dalil menunjukkan bahawa perkara itu adalah tidak mengapa. Adapun jika dia menderma atau transplan dalam badannya bagi dirinya sendiri. Misalnya, diambil sesuatu daripada badannya, kemudian diletakkan di tempat lain sesuatu yang perlu dimasukkan ke dalam daging, sehingga ia tumbuh di tempat kedua, atau seumpamanya. Maka, hal ini adalah tidak mengapa dengan syarat-syarat yang telah disebutkan sebelumnya. Adapun jika transplan itu dilakukan kepada orang lain, ia juga tertakluk kepada syarat-syarat tersebut.[5]

Kemudian, larangan untuk melakukan prosedur ini bagi mendapatkan kecantikan tambahan adalah berdasarkan kepada hadith yang melarang perkara tersebut sebagaimana diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas‘ud R.A, beliau berkata:

لَعَنَ اللَّهُ الوَاشِمَاتِ والمــُوتَشِمَاتِ، والمــُـــتَنَمِّصَاتِ، والمــُـتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ، المــُـغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللَّهِ

Maksudnya:Allah melaknat wanita-wanita yang membuat tatu, yang meminta dilukiskan tatu, yang mencabut bulu-bulu wajah dan yang merenggangkan gigi untuk kecantikan, yang mengubah ciptaan Allah.

Riwayat al-Bukhari (4886)

Hadith ini menunjukkan akan pengharaman semua perkara tersebut dan lafaz ‘laknat’ yang terdapat di dalamnya merupakan dalil bahawa ia termasuk dalam dosa-dosa besar. Selain itu, sebab kepada laknat itu turut dinyatakan dalam hadith melalui lafaz “المــُـغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللَّهِ” iaitu sifat yang dikehendaki oleh orang yang membuat tatu, mencabut bulu wajah dan merenggangkan gigi. (Lihat Fath al-Bari, 10/373)

Manakala lafaz “المــُـتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ” pula bermaksud mereka melakukan perbuatan tersebut — yakni merenggangkan gigi — kerana ingin mencantikkannya lagi. Oleh yang demikian, terdapat isyarat yang menunjukkan bahawa hukum haram itu ditujukan kepada sesiapa yang melakukannya demi kecantikan semata-mata. Adapun jika kerana adanya keperluan mendesak seperti tujuan perubatan atau menghilangkan aib dan seumpamanya, maka ia adalah diharuskan. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 14/107).

Selain daripada itu, al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani ketika mensyarahkan hadith ini juga ada menyebutkan, difahami daripada lafaz “المــُـتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ” bahawa ia adalah perbuatan tercela jika mereka melakukan perbuatan tersebut untuk tujuan kecantikan. Namun, jika adanya keperluan bagi perkara tersebut seperti untuk rawatan, maka ia adalah diharuskan. (Lihat Fath al-Bari, 10/372).

Di samping itu, Dr. Soleh al-Fauzan menjelaskan lagi, pengikat iaitu lafaz “لِلْحُسْنِ” yakni untuk kecantikan tambahan, yang terdapat dalam hadith di atas menunjukkan bahawa larangan tersebut adalah khusus sekiranya ia dilakukan dengan tujuan mendapatkan kecantikan tambahan pada kejadian yang sedia ada (normal). Sekiranya dilakukan untuk merawat atau menghilangkan aib, maka hukumnya adalah diharuskan. Ini menunjukkan bahawa bukan semua bentuk perubahan itu diharamkan. Bahkan, huruf ‘lam’ yang terdapat pada lafaz “لِلْحُسْنِ” ini adalah untuk menjelaskan sebab (التعليل), sekali gus mengecualikan urusan yang melibatkan rawatan dan seumpamanya daripada larangan tersebut. (Lihat al-Jirahah al-Tajmiliyyah, hlm. 73).

Dr. Soleh al-Fauzan dalam bukunya yang berkaitan pembedahan kecantikan ada membawakan satu dhawabit umum bagi pengubahan yang diharamkan iaitu:

إِحْدَاثُ تَغْيِيرِ دَائِمٍ فِي خِلْقَةٍ مَعْهُودَةٍ

Maksudnya:Mengadakan sesuatu yang baru dengan cara membuat pengubahan yang kekal pada kejadian yang asal.”

Pengubahan tersebut boleh jadi dengan cara menambah seperti suntikan kecantikan, menanam atau seumpamanya, ataupun dengan menghilangkan sebahagian tisu badan seperti menyedut lemak, ataupun dengan mengubah rupa bentuk sebahagian anggota, sama ada dengan membesarkannya, mengecilkannya atau mengetatkannya.

Manakala lafaz “دَائِم” di sini pula merujuk kepada kesannya itu kekal dalam suatu tempoh yang lama seperti berbulan-bulan atau bertahun-tahun, dan tidak semestinya kekal sepanjang hayatnya. Justeru, pengikat ini mengeluarkan pengubahan yang bertempoh (التغيير المؤقت) yang mana kesannya itu tidak kekal lebih daripada beberapa hari.

Kemudian, lafaz “خِلْقَة مَعْهُودَة” pula merujuk kepada kejadian yang asal atau normal mengikut sunnah kauniyyah. Misalnya, orang yang sudah lanjut usianya akan mempunyai kedutan pada wajah mereka. Manakala orang yang masih muda pula, kedutan yang terdapat pada wajahnya dengan rupa yang hodoh dikira sebagai kejadian yang tidak normal.  Pengikat “خِلْقَة مَعْهُودَة” meliputi perubahan atas beberapa sebab:

  • Mengubah kejadian yang asal demi kecantikan tambahan semata-mata seperti tatu, mencabut bulu-bulu wajah dan merenggangkan gigi serta apa-apa pembedahan kosmetik yang disandarkan kepadanya yang dilakukan pada kejadian yang asal mengikut uruf kebanyakan manusia.
  • Mengubahnya untuk tujuan menyeksa seperti membutakan mata, memotong telinga dan seumpamanya.
  • Mengubahnya untuk tujuan penyamaran dan melarikan diri daripada pihak berkuasa keselamatan.

Justeru, terkeluar daripada pengikat ini mengubah kejadian yang tidak normal seperti rawatan bagi penyakit, kecederaan, kehodohan dan keaiban yang asal atau keaiban yang mendatang yang menyebabkan kemudaratan pada anggota fizikal atau jiwa. Begitu juga tidak termasuk di dalamnya, pengubahan yang diizinkan oleh syarak seperti khitan dan menjatuhan hukuman syariah. (Lihat al-Jirahah al-Tajmiliyyah, hlm. 74-75).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada kenyataan dan perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa pemindahan kulit atau graf kulit bagi mereka yang memerlukannya bagi tujuan merawat, menutup aib kerana luka besar, terbakar dan seumpamanya adalah diharuskan. Walau bagaimanapun keharusan tersebut tertakluk kepada syarat-syarat yang telah digariskan dan disebutkan sebelum ini dalam perbincangan di atas.

Namun, jika prosedur tersebut dilakukan semata-mata bagi mendapatkan kecantikan tambahan, atau melakukan penipuan dan penyamaran, dan bukan bertujuan untuk merawat mahupun menutup aib, maka ia adalah dilarang dan tidak dibenarkan kerana dikhuatiri ia termasuk dalam pengubahan yang diharamkan.

Penjelasan lanjut berkaitan topik pendermaan organ dan tisu ini bolehlah merujuk kepada e-buku kami yang bertajuk, “Pemindahan & Pendermaan Organ dalam Islam” di laman sesawang Maktabah al-Bakri.[6]

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”

[1] Lihat http://www.infosihat.gov.my/infosihat/projekkhas/dermaOrgan.php

[2] Lihat  http://www.myhealth.gov.my/derma-organ/. Diakses pada 10 Ogos 2022.

[3] Lihat artikel bertajuk: “Graf Kulit: Ketahui Apa yang Berlaku Semasa Prosedur” yang ditulis oleh Farah Aziz dan disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor pada 05/12/2019. (https://hellodoktor.com/kesihatan/pembedahan/graf-kulit-ketahui-apa-yang-berlaku-semasa-prosedur/. Diakses pada 26 September 2023).

[4] Lihat https://maktabahalbakri.com/derma-organ-dan-tisu/. Diakses pada 26 September 2023.

[5] Lihat https://ar.islamway.net/fatwa/64383/حكمزراعةالاعضاءوالتبرعبالكلى. Diakses pada 10 Ogos 2022.

[6] https://maktabahalbakri.com/.

Bertarikh: 27 September 2023 bersamaan 11 Rabiulawwal 1445