#3295: Lintasan Lafaz Murtad Dalam Hati

Soalan:

Assalamualaikum Ustaz. Saya ada baca tentang taklik murtad. Yang mengaitkan sesuatu perbuatan dengan murtad. Saya mengalami was was dan kadang kadang datang lintasan yang mengaitkan sesuatu perbuatan yang saya buat dengan murtad. Saya tidak ucap di mulut, cuma lintasan di hati. Saya tak boleh nak kawal lintasan tu. Lagi saya cuba untuk elak, lagi saya fikir dan terlintas di hati. Contoh hari tu time solat, saya terlintas kat hati, kalau tak qada solat tiap kali lepas solat fardu, kau murtad. Saya taknak pun buat mcm tu tapi lintasan tu masih muncul di hati saya. Saya sekarang jadi takut, kalau saya tak qada solat tu, saya akan murtad. Apa penyelesaiannya ustaz? Adakah taklik itu boleh ditarik ustaz?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dari segi bahasa murtad atau riddah dalam bahasa Arab merupakan isim masdar daripada perkataan  اِرْتَدَّ يَرْتَدُّ اِرْتِدَادًا membawa maksud beralih daripada sesuatu kepada sesuatu yang lain.

Ibn Faris dalam kitabnya Mu’jam Maqayis al-Lughah (2/386) berkata: “Asal perkataan ini ra dan dal iaitu memberi maksud kambali pada sesuatu dan dinamakan murtad kerana seseorang itu kembalikan jiwanya kepada kufur. Atas asas inilah murtad nama bagi yang kembali pada kufur.”

Dari segi istilah, menurut istilah undang-undang Islam pula, murtad ialah beralih daripada memeluk Islam kepada memeluk agama lain atau anutan lain. Perkataan murtad merupakan isim fa’il kepada pelaku murtad. Walaupun begitu, penulis tidaklah membezakan sangat antara pengertian murtad dan riddah.

Dalil Larangan Murtad :

وَلاَ يَزَالُونَ يُقَاتِلُونَكُمْ حَتَّىَ يَرُدُّوكُمْ عَن دِينِكُمْ إِنِ اسْتَطَاعُواْ وَمَن يَرْتَدِدْ مِنكُمْ عَن دِينِهِ فَيَمُتْ وَهُوَ كَافِرٌ فَأُوْلَـئِكَ حَبِطَتْ أَعْمَالُهُمْ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ وَأُوْلَـئِكَ أَصْحَابُ النَّارِ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ

Maksudnya : “Mereka tidak henti-hentinya memerangi kamu sampai mereka (dapat) mengembalikan kamu dari agamamu (kepada kekafiran), seandainya mereka sanggup. Barangsiapa yang murtad di antara kamu dari agamanya, lalu dia mati dalam kekafiran, maka mereka itulah yang sia-sia amalannya di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya. “

(Surah al-Baqarah : 217)

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مَن يَرۡتَدَّ مِنكُمۡ عَن دِينِهِۦ فَسَوۡفَ يَأۡتِي ٱللَّهُ بِقَوۡمٖ يُحِبُّهُمۡ وَيُحِبُّونَهُۥٓ أَذِلَّةٍ عَلَى ٱلۡمُؤۡمِنِينَ أَعِزَّةٍ عَلَى ٱلۡكَٰفِرِينَ يُجَٰهِدُونَ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ وَلَا يَخَافُونَ لَوۡمَةَ لَآئِمٖۚ ذَٰلِكَ فَضۡلُ ٱللَّهِ يُؤۡتِيهِ مَن يَشَآءُۚ وَٱللَّهُ وَٰسِعٌ عَلِيمٌ

Maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari ugamanya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Ia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia; mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah, dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; kerana Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi Meliputi PengetahuanNya.”

(al-Maidah : 54)

Imam al-Nawawi  dari mazhab Syafi’i berkata: Riddah adalah memutus Islam dengan niat atau perkataan, atau dengan perbuatan, baik dengan mengatakan hal tersebut kerana mengolok-ngolok, atau kerana , atau kerana keyakinannya” (Lihat al-Minhaj al-Talibin, hlm. 293)

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa isu ini merupakan isu yang terkait dengan waswas. Oleh yang demikian kami katakan tidak berlaku apa-apa hukum terhadap perkara tersebut dan hendaklah saudara berusaha sedaya upaya meninggalkan waswas kerana ia hadir daripada bisikan syaitan.  Lintasan hati ini tidak dikira melainkan telah melafazkannya. Hal ini sebagaimana hadith yang telah diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa  Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ تَجَاوَزَ لِي عَنْ أُمَّتِي مَا وَسْوَسَتْ بِهِ صُدُورُهَا، مَا لَمْ تَعْمَلْ أَوْ تَكَلَّمْ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah mengampunkan bagi umatku apa yang diwas-waskan dengannya di dalam hatinya selagi mana dia tidak melakukan atau mengatakan (apa yang diwas-waskan).”

Riwayat al-Bukhari (2528)

Imam al-Nawawi menyatakan bahawa selagimana lintasan-lintasan hati itu tidak menjadi tetap seperti kekufuran dan lain-lain yang berlaku, tanpa disengajakan lalu dia segera dijauhi, maka dia tidak menjadi kafir dan tiada apa-apa yang dikenakan ke atasnya. (Lihat al-Azkar, hlm 273)

Di kesempatan ini suku juga kami nasihati supa sentiasa mengamalkan doa-doa yang dianjurkan untuk membacanya bagi menghindari penyakit was-was dalam dirisepertimana yang telah diajarkan oleh Allah SWT:

وَقُل رَّبِّ أَعُوذُ بِكَ مِنۡ هَمَزَٰتِ ٱلشَّيَٰطِينِ ٩٧ وَأَعُوذُ بِكَ رَبِّ أَن يَحۡضُرُونِ ٩

Maksudnya: Dan katakanlah: “Ya Tuhanku aku berlindung kepada Engkau dari bisikan-bisikan syaitan. Dan aku berlindung (pula) kepada Engkau ya Tuhanku, dari kedatangan mereka kepadaku.”

(Surah al-Mu’minun: 97-98)

Juga doa yang biasa diamalkan oleh Rasulullah SAW seperti yang diriwayatkan oleh Saidina Aisyah R. Anha:

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ وَطَاعَتِكَ

Maksudnya: “Wahai (Tuhan) yang membolak-balikkan hati-hati, tetapkanlah hatiku atas agama-Mu dan ketaatan kepada-Mu.”

Riwayat Imam Ahmad (26133) dalam Musnad.

Selain itu kami katakan hendaklah saudara sentiasa mendalami ilmu agama kerana was-was itu dapat dihindari dengan ilmu yang yakin. Yang demikian sepertimana yang telah dinyatakan oleh Al-Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullah bahawa : Sesungguhnya was-was itu tidak akan menguasai melainkan ke atas mereka yang jahil dan kurang akal yang tidak dapat membezakan (antara yang sahih ataupun tidak). Sedangkan mereka yang berada di atas hakikat ilmu dan akal tidak akan terkeluar daripada mengikut petunjuk dan tidak pula cenderung kepada perlakuan bid’ah. (Lihat al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra, 1/150)

Sebagai kesimpulannya, sebagai seorang Muslim, kita perlu melakukan beberapa perkara penting dalam kehidupan. Pertama, kita seharusnya gigih dalam mempelajari ilmu agama. Ini kerana ilmu agama akan memperkukuhkan keimanan dalam hati kita dan membantu kita memahami ajaran Islam dengan lebih mendalam. Kedua, kita perlu berpegang teguh kepada akidah yang betul. Ini adalah asas yang kukuh untuk memastikan keimanan kita sentiasa bertambah dan juga dapat membantu kita menolak segala cubaan dan bisikan syaitan yang datang kepada kita.”

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

 اللَّهُمَّ يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ

Maksudnya: “Wahai Allah Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku atas agamamu.”

Riwayat al-Hakim dalam Mustadrak (1926)

Wallahua’lam

Bertarikh: 27 September 2023 bersamaan 11 Rabiulawwal 1445