#3296: Antara Berpoligami Dan Cerai

Soalan:

Assalamualaikum Dato Seri, saya lihat sebahagian  perempuan lebih suka diceraikan berbanding menerima poligami, sedangkan poligami itu dibenarkan dalam Islam. Terkadang suami itu berkemampuan dan layak untuk beristeri lebih daripada satu. Sebaliknya, dalam sebahagian kes, cerai itu beri kesan besar dari sudut emosi dan lain-lain terhadap anak-anak. Mohon pandangan ustaz tentang perkara ini.

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Secara umumnya, Islam menggalakkan supaya kita berkahwin. Hal ini kerana hikmah daripada berkahwin membawa sakinah, cinta dan kasih sayang. Allah SWT berfirman:

 وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.”

Surah al-Rum (21)

Sayyid Qutub dalam Fi Zilal al-Quran berkata: “Penjelasan al-Quran yang lemah lembut menggambarkan hubungan lelaki dan perempuan ini dengan gambaran yang amat menarik, seolah-olah gambaran ini diambil dari dalam lubuk hati dan perasaan: “Supaya kamu tenang tenteram bersamanya dan Dia jadikan di antara kamu rasa kemesraan dan kasih sayang.

Kami katakan perkahwinan yang diasaskan kerana Allah SWT akan memberi sakinah, mawaddah, cinta dan rahmat. Di samping itu, ia dapat memelihara seseorang dari keruntuhan moral dan akhlak. Saat yang sama dapat memelihara generasi manusia yang sejahtera di samping menyumbangkan institusi kekeluargaan dan mengeratkan semangat kerjasama. (Lihat Baiti Jannati, hlm. 10-14)

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan hukum berkaitan dengan poligami  sama seperti hukum nikah yang berkisar kepada 5 hukum, sama ada wajib, haram, sunat, harus atau makruh. Ia berdasarkan keadaan seseorang, kemampuan serta kehendaknya.

Firman Allah SWT:

فَانكِحُوا مَا طَابَ لَكُم مِّنَ النِّسَاءِ مَثْنَىٰ وَثُلَاثَ وَرُبَاعَ

Maksudnya: “Maka kahwinilah wanita-wanita (lain) yang kamu senangi: dua, tiga atau empat.”

Surah al-Nisa’ (3)

Nas ini menunjukkan keharusan berpoligami di mana seorang lelaki mengikut syariat Islam boleh berkahwin seorang atau dua atau tiga atau empat dalam satu-satu masa. Tidak harus bahkan haram melebihi daripada empat. Inilah yang dinyatakan oleh ahli tafsir dan fuqaha. Bahkan ijmak ulama tanpa sebarang khilaf dalam masalah tersebut.

Pada asasnya, hukum berpoligami itu adalah disyariatkan berdasarkan nas al-Qur’an, hadis dan ijmak ulama. Para ulama salaf dan khalaf telah berijmak bahawa hukum asal berpoligami itu harus dan tidak boleh melebihi empat orang isteri. Antara ulama yang menukilkan ijmak adalah Ibn Kathir (lihat Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, 1/451), al-Qurtubi (lihat al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an, 5/17), Ibn al-Munzir (lihat al-Ijma’, 80), al-Syanqiti (lihat Adwa’ al-Bayan, 1/223), al-Sa’di (lihat Taisir al-Karim, 1/164) dan selain mereka.

Ayat yang menyatakan: ‘فَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا تَعْدِلُوا فَوَاحِدَةً’ pula adalah jawapan yang paling tepat. Firman-Nya:

فَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا تَعْدِلُوا فَوَاحِدَةً أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ ۚ ذَٰلِكَ أَدْنَىٰ أَلَّا تَعُولُوا ‎

Maksudnya: “Kemudian jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil, maka (kawinilah) seorang saja, atau budak-budak yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat kepada tidak berbuat aniaya.”

Ibn Kathir menyatakan di dalam tafsirnya: Sesiapa yang takut tidak dapat berlaku adil, maka cukuplah baginya seorang isteri sahaja. (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 2/185)

Ibn Arabi al-Maliki menyatakan: Sekiranya seorang lelaki mampu dari sudut hartanya dan keinginannya untuk berkahwin, maka lakukanlah. Tetapi sekiranya dia tidak pasti dan tidak mampu mengenai kemampuan hartanya dan kemampuannya untuk menanggung untuk berkahwin lebih, maka cukuplah dengan seorang isteri sahaja. (Lihat Ahkam al-Quran, 1/409)

Menurut ulama’ Syafi’iyyah dan Hanabilah, disunatkan bagi seseorang lelaki tidak berkahwin lebih daripada seorang isteri jika dia tidak mempunyai sebarang keperluan mendesak. Lebih-lebih lagi jika dengan berkahwin seorang itu sudah mampu memelihara kehormatan dirinya daripada zina. Di samping dapat mengelakkan dirinya daripada terdedah kepada yang haram jika berkahwin lebih seorang, namun tidak mampu berlaku adil. Begitulah juga ulama’ Hanafiyyah, yang mengharuskan berkahwin sehingga empat jika dapat menjamin tidak berlaku zalim terhadap keempat-empatnya. Namun, jika ia tidak dapat menjaminnya, maka memadai baginya berkahwin seorang sahaja. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 41/220-221)

Hikmah Poligami

Kami nyatakan di sini beberapa hikmah poligami berdasarkan dapatan kami dengan menekuni beberapa kitab dan ummahatul kutub, antaranya:

  • Poligami menjadi sebab untuk meramaikan ummah dan maklum ia tidak terhasil dengan ramainya kecuali berkahwin. Mereka yang berpoligami biasanya lebih ramai anak berbanding dengan yang bermonogami.
  • Terbukti menunjukkan bancian bahawa jumlah wanita jauh lebih ramai dari lelaki. Kalau seorang lelaki berkahwin dengan seorang perempuan sahaja, maka jumlah wanita yang tidak berkahwin kekal yang sudah tentu membawa mudarat kepada mereka dan juga masyarakat. Ini dapat melindungi wanita yang tidak berkahwin daripada hidup dalam fitnah dan kebatilan.
  • Ramai lelaki lebih terdedah kepada kemalangan sehingga membawa kepada kematian. Ini kerana mereka bekerja di bahagian yang berisiko seperti tentera-tentera di perbatasan perang. Hasilnya, menyebabkan ramai wanita dan kurangnya lelaki. Hal ini membawa kepada ramainya yang tidak berkahwin dan penyelesaian yang terakhir adalah keizinan berpoligami.
  • Membantu lelaki yang memiliki kekuatan syahwat luar biasa sehingga tidak cukup seorang isteri terutama ketika ada halangan yang berbentuk syariat bagi wanita seperti haid dan nifas melakukan persetubuhan yang sah. Ada di kalangan suami yang tidak mampu bertahan semasa isterinya dalam haid dan juga pantang nifas. Poligami adalah penyelesaiannya.
  • Mengelakkan zina dengan menggalakkan poligami supaya hubungan kelamin dilakukan secara sah, iaitu hubungan suami isteri. Ini kerana terdapat lelaki yang mempunyai kemampuan seks yang tinggi dan tidak memadai dengan seorang isteri. Justeru, jika dibiarkan nescaya dia akan melakukan zina atau dengan cara yang haram.
  • Memberi peluang kepada suami yang mengahwini isteri yang telah disahkan mandul mendapatkan keturunan dengan memiliki anak yang sah taraf. Begitu juga, boleh jadi isteri tidak mampu melayan suaminya kerana dengan sebab sakit yang dideritainya.
  • Membenarkan suami menjaga kebajikan dan keperluan isteri yang mengalami kecacatan seumur hidup meskipun telah berkahwin lain.
  • Mengasihi dan melindungi wanita daripada bencana dan penderitaan sebagai wanita simpanan dan alat pemuas nafsu bagi mereka yang kaya.
  • Menjamin kemaslahatan isteri yang telah meningkat usia dan melahirkan ramai anak dengan suami yang tinggal bersamanya dan masih menerima hak sebagai isteri selepas suaminya berkahwin lain.
  • Membolehkan suami yang bekerja dan tinggal di luar negara mengahwini wanita di negara tersebut sekiranya sukar membawa keluarganya bersama bagi mengelakkan hubungan haram dan timbul masalah sosial.
  • Mengahwini ibu anak yatim dan memberi perlindungan kepada anak-anak yatim tersebut daripada kejahatan dan fitnah.
  • Ada maslahat-maslahat syarak seperti untuk menguatkan hubungan antara dua keluarga yang bermusuhan. Maka, perkahwinan menjadi pendamai.

Justeru, dalam isu ini, kami nasihatkan agar adakan perbincangan yang harmoni bersama isteri. Perbincangan ini perlu disertai dengan penjelasan yang telus mengenai tujuan untuk berpoligami, seperti menjaga maruah dan sebagainya. Dengan cara ini, diharapkan isteri dapat memahami dan menerima keputusan untuk berpoligami, dan ini dapat membantu mengelakkan daripada berlakunya perceraian dalam rumahtangga.

Namun, perlu diingat bahawa sekiranya berpoligami ini membawa lebih banyak kemudaratan, terutamanya kepada isteri dan anak-anak, maka kami mengesyorkan untuk mempertimbangkan semula keputusan ini. Dalam banyak situasi, meninggalkan niat untuk berpoligami boleh menjadi pilihan yang lebih baik untuk menjamin kemaslahatan rumahtangga yang telah dibina.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang baik dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Surah al-Furqan (74)

Wallahu’alam.

Bertarikh: 27 September 2023 bersamaan 11 Rabiulawwal 1445