#3298: Tersalah Guna Harta Anak Yatim

Soalan:

Assalamualaikum Dato,saya ingin mendapatkan penjelasan atau pun pencerahan dari Dato berkait mengambil hak orang lain  lebih-lebih lagi hak anak yatim, saya ada seorang abang, tapi dia tersalah guna hak-hak adik saya berkait duit pencen arwah abah saya, apakah hukum berkait hal ini. Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَلَا تَقْرَبُوا مَالَ الْيَتِيمِ إِلَّا بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu menghampiri harta anak yatim melainkan dengan cara yang baik (untuk mengawal dan mengembangkannya)”.

(al-Isra’:34)

Syaikh al-Sa’di ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan bahawa: Ini adalah bentuk kasih dan rahmat Allah SWT kepada anak yatim yang telah kehilangan ayahnya, pada saat masih kecil dan belum memahami sepenuhnya kemaslahatan dirinya. Dengan demikian, tugas para walinya adalah untuk melindunginya, serta menjaga harta yang dimilikinya. Lebih dari itu, wali-wali ini tidak diperbolehkan menggunakan harta anak yatim kecuali dengan cara yang baik, seperti mengembangkan harta tersebut dan menjauhkannya dari hal-hal yang dapat merugikannya. Mereka memiliki tanggung jawab untuk menjaga harta anak yatim hingga ia mencapai usia dewasa. Ketika anak yatim mencapai usia dewasa, tanggung jawab perwalian atasnya berakhir, dan dia menjadi tanggungjawab atas dirinya sendiri. Pada saat itulah harta anak yatim tersebut harus diserahkan kepadanya.(Lihat Taisir al-Karim al-Rahman,hlm.457)

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

اجْتَنِبُوا السَّبْعَ المُوبِقَاتِ، قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا هُنَّ؟ قَالَ: الشِّرْكُ بِاللَّهِ، وَالسِّحْرُ، وَقَتْلُ النَّفْسِ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالحَقِّ، وَأَكْلُ الرِّبَا، وَأَكْلُ مَالِ اليَتِيمِ، وَالتَّوَلِّي يَوْمَ الزَّحْفِ، وَقَذْفُ المُحْصَنَاتِ المُؤْمِنَاتِ الغَافِلاَتِ

Maksudnya: “Jauhilah kamu daripada tujuh dosa besar ini (perkara yang  membinasakan). Para sahabat bertanya: Apakah ia wahai Rasulullah SAW? Rasulullah SAW bersabda: Syirik kepada Allah SWT, sihir, membunuh jiwa yang telah diharamkan oleh Allah SWT melainkan dengan kebenaran, memakan riba, memakan harta anak yatim, melarikan diri dari peperangan dan menuduh wanita yang beriman dengan berzina”.

Riwayat al-Bukhari (2766) (6857) dan Muslim (145)

Ibn Battal ketika mensyarahkan hadith ini beliau menyatakan: Mengambil harta anak yatim termasuk dosa-dosa besar. Allah telah memberi peringatan bahawa siapa pun yang mengambilnya dengan zalim, maka ia sedang memakan api neraka dan diseret ke dalam api yang marak (Lihat Syarh Sohih al-Bukhari, 8/185 )

Menjawab persoalan di atas, kami ingin menekankan bahawa memakan harta anak yatim secara batil adalah perbuatan yang sangat dilarang oleh Allah SWT dan merupakan dosa besar kerana perbuatan tersebut dikira sebagai perbuatan yang zalim. Firman Allah SWT:

إِنَّ الَّذِينَ يَأْكُلُونَ أَمْوَالَ الْيَتَامَىٰ ظُلْمًا إِنَّمَا يَأْكُلُونَ فِي بُطُونِهِمْ نَارًا ۖ وَسَيَصْلَوْنَ سَعِيرًا

Maksudnya: Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak-anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu hanyalah menelan api ke dalam perut mereka; dan mereka pula akan masuk ke dalam api neraka yang menyala-nyala.

(Surah al-Nisa:10)

Syeikh al-Tantawi Rahimahullah menyebutkan di dalam tafsirnya bahawa memakan harta anak yatim secara zalim itu sama ada melalui pewarisan ataupun orang yang dipertanggungjawabkan untuk menguruskannya lalu memakannya dengan cara yang batil.  Allah SWT menggunakan kalimah zalim untuk menggambarkan kejelekan yang teramat kepada si pemakan harta anak yatim kerana anak yatim itu dizalimi dan mereka itu golongan yang lemah yang mana tidak ada kudrat dan upaya untuk membela diri mereka. (Lihat Tafsir al-Wasit,3/58)

Oleh itu, tidak ada alasan yang dapat dibenarkan untuk mengambil harta anak yatim, walaupun mereka adalah waris dari keluarga yang sama. Sebaliknya, Islam menekankan pentingnya menjaga dan mengembangkan harta anak yatim untuk kemaslahatan mereka. Ini termasuk dalam tanggungjawab yang perlu dilaksanakan oleh waris dalam melindungi harta anak yatim tersebut serta  memastikan keperluan mereka terpenuhi.

Dalam isu ini kami katakan hendaklah bagi saudara yang mengetahui perkara tersebut menerangkan kepada abang saudara perihal harta anak yatim yang telah diambil tanpa hak dan menuntutnya kembali harta yang tersalah ambil tersebut. Yang demikian kerana harta tersebut adalah hak adik saudara yang tidak sepatutnya digunakan oleh orang lain.

Justeru, dalam Islam, tindakan baik terhadap anak yatim sangat dianjurkan, dan mengambil harta mereka secara batil adalah tindakan yang sangat tercela. Allah SWT akan menghukum orang yang melakukan perbuatan ini di akhirat nanti. Oleh itu, sebagai umat Islam, kita harus menjauhi perbuatan tersebut dan berusaha untuk membantu anak yatim dalam segala aspek kehidupan mereka.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”

Wallahua’lam.

Bertarikh: 27 September 2023 bersamaan 11 Rabiulawwal 1445