#3299: Menamakan Anak dengan Muhammad Ar-Waliyullah

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh atau tidak jika saya menamakan anak saya yang bakal dilahirkan dengan MUHAMMAD AR-WALIYULLAH? Harapan saya agar nama itu akan menjadi doa untuk anak saya dan akan sentiasa mendekatkan dirinya kepada Allah SWT. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Pertamanya, antara sunnah yang mulia adalah menamakan anak dengan nama-nama yang baik, seperti menamakan dengan nama yang diakui dan disunatkan oleh syara‘ sendiri. Ini bertepatan dengan riwayat Ummu al-Mu’minin ‘Aisyah R.Anha, katanya:

أَنَّ النَّبِيَّ SAW كَانَ يُغَيِّرُ الاِسْمَ الْقَبِيحَ إِلَى الاِسْمِ الْحَسَنِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi SAW menukarkan nama yang buruk kepada nama yang baik.”

Riwayat al-Tirmizi (2839). Al-Albani mengatakan bahawa status hadith ini sahih dalam al-Silsilah al-Sahihah (207)

Muhammad bermaksud yang terpuji. Ia merupakan nama yang agung dan mulia, kerana ia merupakan nama penghulu sekamu semua Rasul dan Nabi, iaitu Muhammad Rasulullah SAW.

Rasulullah SAW menganjurkan ummatnya untuk memberikan nama dengan nama Baginda SAW. Ini sebagaimana yang thabit dalam riwayat Abu Hurairah dan Jabir bin Abdillah R.Anhuma, Baginda SAW bersabda:

تَسَمَّوْا بِاسْمِي، وَلاَ تَكْتَنُوا بِكُنْيَتِي ‏

Maksudnya: “Kamu semua berilah nama dengan namaku, dan janganlah kamu memberikan gelaran dengan gelaranku.”

Riwayat al-Bukhari (110) dan Muslim (2133)

Manakala nama “Ar-Waliyullah”, kami kira bahawa binaan nama ini tidak tepat menurut kaedah bahasa Arab. Sekiranya saudara menyebutkan “al-Waliyullah” (الوَلِيُّ اللَّهُ) juga kurang tepat, kerana jika yang dimaksudkan dengan nama tersebut adalah Wali Allah, ia juga bersalahan dengan kaedah bahasa Arab. Bahkan, ia menjadikan nama tersebut bermaksud Wali itu adalah Allah.

Binaan yang tepat untuk menyebutkan Wali Allah dalam bahasa Arab adalah dengan menjadikan perkataan pertama itu sebagai mudhof (yang disandarkan padanya suatu nama) dan perkataan kedua sebagai mudhof ilaih (nama yang disandarkan pada mudhof). Maka yang lebih tepat kita katakan, Waliyyullah (وَلِيُّ اللَّهِ) yang bermaksud Wali Allah.

Meskipun begitu, sebaiknya saudara menamakan anak yang bakal lahir itu dengan nama selain Waliyyullah (وَلِيُّ اللَّهِ). Hal ini bagi mengelakkan dari berlakunya tanggapan yang salah oleh masyarakat sekeliling sehingga menyangka bahawa dia benar-benar antara wali Allah SWT. Sedangkan boleh jadi, semoga Allah SWT jauhkan, anak tersebut tidak berakhlaq dan bersifat sebagaimana wali Allah SWT yang terdahulu, dengan kezuhudan terhadap dunia dan ketinggian ilmu agama.

Hakikatnya, para ulama’ telah menyebutkan tentang sebuah kisah di mana orang-orang soleh pada zaman dahulu, yang dibina patung mereka setelah mereka meninggal dunia oleh masyarakat bagi tujuan yang baik, tetapi akhirnya berlaku tanggapan yang salah oleh generasi-generasi seterusnya sehingga dijadikan sembahan.

Kami mengambil kesempatan ini untuk memberikan peringatan agar kita mengambil iktibar dan pengajaran dari kisah yang berlaku ini. Allah SWT menyebutkan di dalam firman-Nya:

كَانَ النَّاسُ أُمَّةً وَاحِدَةً فَبَعَثَ اللَّهُ النَّبِيِّينَ مُبَشِّرِينَ وَمُنذِرِينَ وَأَنزَلَ مَعَهُمُ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ لِيَحْكُمَ بَيْنَ النَّاسِ فِيمَا اخْتَلَفُوا فِيهِ ۚ وَمَا اخْتَلَفَ فِيهِ إِلَّا الَّذِينَ أُوتُوهُ مِن بَعْدِ مَا جَاءَتْهُمُ الْبَيِّنَاتُ بَغْيًا بَيْنَهُمْ ۖ فَهَدَى اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا لِمَا اخْتَلَفُوا فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِهِ ۗ وَاللَّهُ يَهْدِي مَن يَشَاءُ إِلَىٰ صِرَاطٍ مُّسْتَقِيمٍ

Maksudnya: “Pada mulanya manusia itu ialah umat yang satu (menurut ugama Allah yang satu, tetapi setelah mereka berselisihan), maka Allah mengutuskan Nabi-nabi sebagai pemberi khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman dengan balasan Syurga, dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar dengan balasan azab neraka); dan Allah menurunkan bersama Nabi-nabi itu Kitab-kitab Suci yang (mengandungi keterangan-keterangan yang) benar, untuk menjalankan hukum di antara manusia mengenai apa yang mereka perselisihkan dan (sebenarnya) tidak ada yang melakukan perselisihan melainkan orang-orang yang telah diberi kepada mereka Kitab-kitab Suci itu, iaitu sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata, – mereka berselisih semata-mata kerana hasad dengki sesama sendiri. Maka Allah memberikan petunjuk kepada orang-orang yang beriman ke arah kebenaran yang diperselisihkan oleh mereka (yang derhaka itu), dengan izinNya. Dan Allah sentiasa memberi petunjuk hidayahNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya ke jalan yang lurus (menurut undang-undang peraturanNya).”

(Surah al-Baqarah: 213)

Imam Ibn Kathir menukilkan kalam Ibn ‘Abbas R.A, katanya: “Antara Nabi Nuh dan Nabi Adam A.S adalah selama 10 kurun. Kesemua mereka di atas syariat yang benar, lalu mereka mula berselisih, maka Allah pun menghantarkan para nabi sebagai pembawa berita gembira dan amaran kepada manusia.”

Imam Ibn Kathir mengatakan, ini kerana manusia satu ketika dahulu mengikut agama Nabi Adam A.S sehinggalah mereka menyembah berhala.Lalu Allah pun menghantar Nabi Nuh A.S kepada mereka, Nabi Nuh adalah rasul pertama yang Allah hantar ke muka bumi. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/425)

Dalam sebuah athar yang thabit daripada Ibn ‘Abbas R.A, katanya:

صَارَتِ الْأَوْثَانُ الَّتِي كَانَتْ فِي قَوْمِ نُوحٍ فِي الْعَرَبِ بَعْدُ، أَمَّا وَدٌّ: كَانَتْ لِكَلْبٍ بِدَوْمَةِ الْجَنْدَلِ، وَأَمَّا سُوَاعٌ: كَانَتْ لِهُذَيْلٍ، وَأَمَّا يَغُوثُ: فَكَانَتْ لِمُرَادٍ، ثُمَّ لِبَنِي غُطَيْفٍ بِالْجَوْفِ عِنْدَ سَبَأٍ، وَأَمَّا يَعُوقُ: فَكَانَتْ لِهَمْدَانَ، وَأَمَّا نَسْرٌ: فَكَانَتْ لِحِمْيَرَ، لِآلِ ذِي الْكَلَاعِ، أَسْمَاءُ رِجَالٍ صَالِحِينَ مِنْ قَوْمِ نُوحٍ، فَلَمَّا هَلَكُوا أَوْحَى الشَّيْطَانُ إِلَى قَوْمِهِمْ: أَنِ انْصِبُوا إِلَى مَجَالِسِهِمُ الَّتِي كَانُوا يَجْلِسُونَ أَنْصَابًا وَسَمُّوهَا بِأَسْمَائِهِمْ، فَفَعَلُوا، فَلَمْ تُعْبَدْ، حَتَّى إِذَا هَلَكَ أُولَئِكَ، وَتَنَسَّخَ الْعِلْمُ عُبِدَتْ

Maksudnya: “Berhala yang disembah oleh kaum Nuh telah disembah kembali oleh bangsa Arab. Berhala bernama Wadd disembah oleh kabilah Kalb dari kawasan Daumat al-Jandal. Berhala Suwa‘ pula milik kabilah Huzail. Berhala Yaghuth pula milik kabilah Murad, kemudian menjadi milik Bani Ghutaif dari kawasan Saba’. Ya‘uq adalah milik kabilah Hamdan. Nasr adalah milik kabilah Himyar yang merupakan keluarga Zil Kala‘. Kesemua nama berhala ini adalah nama-nama orang soleh daripada kaum Nuh. Apabila mereka meninggal dunia, syaitan membisikkan kepada kaum mereka untuk membuat patung di kawasan orang-orang soleh ini sering duduki, dan menamakan patung itu dengan nama-nama orang soleh tersebut. Kaum nabi Nuh pun melakukan hal itu, tetapi ketika itu patung-patung tersebut tidak disembah.Apabila meninggalnya generasi itu, lalu tujuan asal patung itu tidak diketahui, lalu patung itu pun disembah.”

Riwayat al-Bukhari (4920)

Oleh yang demikian, kami cadangkan agar diberikan nama anak tersebut dengan Muhammad sahaja, tanpa penambahan Waliyyullah. Kemudian, saudara berdoalah kepada Allah SWT agar anak tersebut kelak akan membesar dengan akhlaq Islam, mencontohi sifat-sifat mulia yang ditunjukkan oleh wali-wali Allah yang terdahulu dari segi kezuhudan dan sebagainya. Ingatlah bahawa doa ibu bapa buat anaknya itu merupakan salah satu doa yang mustajab.

Ini sebagaimana yang warid dalam riwayat Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ثَلاثُ دَعَوَاتٍ يُسْتَجَابُ لَهُنَّ لا شَكَّ فِيهِنَّ: دَعْوَةُ الْمَظْلُومِ ، وَدَعْوَةُ الْمُسَافِرِ ، وَدَعْوَةُ الْوَالِدِ لِوَلَدِهِ

Maksudnya: “Tiga doa yang mustajab, tidak syak lagi padanya: Doa seorang yang dizalimi, doa seorang yang bemusafir dan doa ibubapa kepada anaknya.”

Riwayat Ibn Majah (3862)

Semoga Allah SWT menjadikan anak yang bakal lahir itu dari kalangan orang-orang yang soleh, berbakti kepada ibu bapanya dan bermanfaat buat masyarakat Islam di sekelilingnya. Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 27 September 2023 bersamaan 11 Rabiulawwal 1445