#3304: Menganjurkan atau Memasuki Rumah Hantu

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hukum menganjurkan rumah hantu? Dan apakah pula hukum memasuki nya ?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا بَنِي آدَمَ لَا يَفْتِنَنَّكُمُ الشَّيْطَانُ كَمَا أَخْرَجَ أَبَوَيْكُم مِّنَ الْجَنَّةِ يَنزِعُ عَنْهُمَا لِبَاسَهُمَا لِيُرِيَهُمَا سَوْآتِهِمَا ۗ إِنَّهُ يَرَاكُمْ هُوَ وَقَبِيلُهُ مِنْ حَيْثُ لَا تَرَوْنَهُمْ ۗ إِنَّا جَعَلْنَا الشَّيَاطِينَ أَوْلِيَاءَ لِلَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ

Maksudnya: “Wahai anak-anak Adam! Janganlah kamu diperdayakan oleh Syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapa kamu dari Syurga, sambil ia menyebabkan terlucutnya pakaian mereka berdua untuk memperlihatkan kepada mereka: aurat mereka (yang sebelum itu tertutup). Sesungguhnya Syaitan dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan yang kamu tidak dapat melihat mereka. Sesungguhnya Kami telah menjadikan Syaitan-syaitan itu teman rapat bagi orang-orang yang tidak beriman.”

(Surah al-A‘raf: 27)

Berdasarkan ayat di atas, jelas bahawa Allah SWT menerangkan tentang kewujudan alam jin atau syaitan dengan kehidupan mereka yang tersendiri, tanpa dapat dilihat oleh mata kasar manusia. Islam tidak menafikan kewujudan mereka, sebaliknya meminta supaya umat Islam sentiasa berlindung daripada kejahatan fitnah yang dibawa mereka.

Menjawab persoalan yang diajukan oleh saudara, pada zahirnya apa-apa anjuran hiburan yang melibatkan hantu dan juga alam mistik adalah tidak dibolehkan atas 2 faktor yang utama:

Pertama: Anjuran program seperti ini berkemungkinan mencederakan diri, merosakkan mental, memburukkan imaginasi seseorang, dan mengakibatkan jiwa seseorang itu menjadi lemah. Ia juga boleh menimbulkan perasaan takut dalam diri sehingga menyebabkan was-was dan membayangkan ilusi-ilusi palsu apabila berada di tempat gelap atau ketika berseorangan. Hal ini akhirnya boleh mendorong kepada berlakunya masalah histeria dan kerasukan jin.

Maka, anjuran apa jua aktiviti seperti rumah hantu dan seumpamanya boleh membawa mudharat yang besar kepada diri, sedangkan sudah sedia maklum bahawa antara tujuan pensyari‘atan Islam itu sendiri adalah hifz al-nafs (menjaga diri serta jiwa) dan hifz al-‘aql (menjaga akal), dan menjauhkan daripada sebarang perkara yang boleh memudharatkannya.

Telah warid dalam hadith yang diriwayatkan daripada Abu Sa‘id al-Khudri R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَارَ

Maksudnya: “Tiada kemudhartan (dalam Syariat Islam) dan tidak boleh menyebabkan kemudharatan (tanpa hak).”

Riwayat Ahmad (22778) dan Ibn Majah (2340)

Imam al-Ghazali juga menukilkan satu riwayat daripada  ‘Ikrimah Maula Ibn ‘Abbas R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللهَ يَكْرَهُ أَذَى الْمُؤْمِنِينَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah membenci orang yang menyakiti orang-orang beriman.” (Lihat Ihya’ Ulumiddin, 2/195)

Kedua: Terdapat larangan yang jelas daripada menakut-nakutkan orang Islam, memeranjatkan dan menyebabkan ketakutan dalam diri orang lain.

Ini berdasarkan hadith daripada Abdul Rahman bin Abi Layla, bahawa beberapa sahabat Rasulullah SAW meriwayatkan:

كَانُوا يَسِيرُونَ مَعَ النَّبِيِّ  ﷺ فَنَامَ رَجُلٌ مِنْهُمْ فَانْطَلَقَ بَعْضُهُمْ إِلَى حَبْلٍ مَعَهُ فَأَخَذَهُ فَفَزِعَ

Maksudnya: “Para sahabat Nabi Muhammad s.a.w bermusafir bersama Baginda. Salah seorang dari mereka tertidur, lalu ada sebahagian sahabat yang mengambil dan menarik tali yang ada bersamanya sehingga orang yang tidur itu terkejut.”

Lalu Rasulullah SAW bersabda:

لَا يَحِلُّ لِمُسْلِمٍ أَنْ يُرَوِّعَ مُسْلِمًا

Maksudnya: “Tidak halal bagi seorang muslim membuatkan muslim yang lain terkejut.”

Riwayat Abu Dawud (5004) dan Ahmad (23064)

Pengarang kitab al-‘Aun al-Ma‘bud ketika mensyarahkan hadith di atas menukilkan kalam al-Manawi, yakni tidak boleh menakut-nakutkan sekalipun sekadar bergurau sahaja kerana ianya adalah bentuk penganiayaan. (Lihat al-‘Aun al-Ma‘bud, 13/236)

Imam Ibn Ruslan menyebutkan, larangan ini ke atas setiap mereka yang membuatkan muslim lain terkejut atau takut, sama ada orang itu berada di tempat gelap atau dalam keadaan lalai. (Lihat Syarh Sunan Abi Dawud, 19/164-165)

Dalam riwayat lain daripada Sulaiman bin Surad al-Khuza‘i, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ‌فَلَا ‌يُرَوِّعَنَّ ‌مُسْلِمًا

Maksudnya: “Sesiapa yang beriman kepada Allah SWT dan hari akhirat maka janganlah dia memeranjatkan orang Islam yang lain.”

Riwayat al-Tabarani (6487)

Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan di atas, kami mengatakan bahawa hukum menganjurkan dan memasuki rumah hantu adalah tidak dibolehkan kerana ianya memudharatkan dan bertentangan dengan hukum syara‘.

Ini juga sebagaimana fatwa yang diwartakan oleh Kerajaan Negeri Selangor pada 25 Oktober 2007. Mereka mengatakan, umat Islam tidak seharusnya dididik dengan perkara-perkara khurafat dan tahyul seumpama ini.[1]

Kerajaan Perlis juga memfatwakan bahawa perbuatan ini adalah haram atas sebab-sebab yang telah kami sebutkan.[2]

Kami berpesan agar umat Islam tidak membudayakan penganjuran rumah hantu seperti ini, dan juga tidak menyokong mereka yang menganjurkan aktiviti begini dengan memasuki rumah hantu tersebut. Ingatlah bahawa Allah SWT menyatakan dengan jelas bahawa syaitan itu adalah musuh kita, maka tidak wajar untuk kita takut terhadap musuh itu. Ini  sebagaimana yang disebutkan dalam firman Allah SWT:

 أَلَمْ أَعْهَدْ إِلَيْكُمْ يَا بَنِي آدَمَ أَن لَّا تَعْبُدُوا الشَّيْطَانَ ۖ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِينٌ

Maksudnya: “Bukankah Aku telah perintahkan kamu wahai anak-anak Adam, supaya kamu jangan menyembah Syaitan? Sesungguhnya ia musuh yang nyata terhadap kamu!”

(Surah Yasin: 60)

Alangkah baiknya sekiranya kita dapat mencari sesuatu yang lebih mendatangkan manfaat kepada diri, dalam masa yang sama mengembangkan akal fikiran. Hayatilah sabda Rasulullah SAW seperti dalam riwayat al-Hasan bin ‘Ali bin Abi Talib R.Anhuma, Baginda bersabda:

مِنْ حُسْنِ إِسْلاَمِ الْمَرْءِ تَرْكُهُ مَا لاَ يَعْنِيهِ

Maksudnya: “Di antara (contoh) bagusnya keislaman seseorang itu, adalah dengan dia meninggalkan sesuatu yang tidak bermanfaat padanya.”

Riwayat Ahmad (1737) dan Tirmizi (2317)

Kami katakan, gantilah hiburan yang melalaikan dengan perkara yang lebih berfaedah. Nescaya, Allah SWT akan menggantikan keseronokan hiburan yang kita tinggalkan itu dengan sesuatu yang lebih baik dan bermanfaat dengan izinnya.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقّ حَقًّا وَارْزُقْنَا اِتِّبَاعه وَأَرِنَا الْبَاطِل بَاطِلًا وَارْزُقْنَا اجْتِنَابه وَلَا تَجْعَلهُ مُتَلَبِّسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kami kebenaran itu sebagai kebenaran dan rezekikan kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kami untuk menjauhinya dan janganlah Kamu jadikannya keliru atas kami yang menyebabkan kami menyimpang dari kebenaran dan jadikanlah kami bagi orang yang bertaqwa sebagai pemimpin.”

Wallahu a‘lam.

[1] Lihat https://www.muftiselangor.gov.my/fatwa-tahunan/pewartaan/2005-2009/183-pameran-jin-hantu-dan-keranda-pameran-alam-misteri-serta-yang-berkaitan-dengannya. Diakses pada 26 September 2023.

[2] Lihat https://muftiperlis.gov.my/index.php/himpunan-fatwa-negeri/807-fatwa-berkaitan-program-berbentuk-alam-mistik-seperti-rumah-hantu-dan-seumpamanya. Diakses pada 26 September 2023.

Bertarikh: 27 September 2023 bersamaan 11 Rabiulawwal 1445