#3305: Nama ‘Afiyah Sumayyah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya dikurniakan seorang anak perempuan. Saya bercadang ingin menamakannya ‘Aifyah Sumayyah, adakah ini baik?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertamanya, kami ingin mengucapkan tahniah di atas kelahiran cahaya mata perempuan kepada puan dan keluarga. Semoga ia menjadi anak yang solehah dan penyejuk mata puan dan suami.

Dalam Islam, tatkala anak dilahirkan, ibu bapa hendaklah menamakan anaknya dengan nama yang baik dan bukannya nama yang buruk mahupun mengandungi unsur syirik.

Bahkan menamakan dengan nama yang baik adalah digalakkan kerana ia merupakan doa dan akan diseru pada Hari Kiamat kelak. Terdapat sebuah riwayat daripada Abu al-Darda’ R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّكُمْ تُدْعَوْنَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِأَسْمَائِكُمْ وَأَسْمَاءِ آبَائِكُمْ فَأَحْسِنُوا أَسْمَاءَكُمْ

Maksudnya: ‏ “Sesungguhnya kamu semua akan diseru pada hari kiamat kelak dengan nama kamu dan nama bapa-bapa kamu. Maka perelokkanlah nama kamu.”

Riwayat Abu Daud (4948)

Berkenaan dengan nama ‘Afiyah Sumayyah ia adalah satu nama yang baik. Ini kerana ia mempunyai makna yang baik.

Di sini kami nukilkan beberapa makna al-‘Afiyah (العافية):

وَقَدْ كَثُرَتِ الْأَحَادِيثُ فِي الْأَمْرِ بِسُؤَالِ الْعَافِيَةِ وَهِيَ مِنَ الْأَلْفَاظِ الْعَامَّةِ الْمُتَنَاوِلَةِ لِدَفْعِ جَمِيعِ الْمَكْرُوهَاتِ فِي الْبَدَنِ وَالْبَاطِنِ فِي الدِّينِ وَالدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ

Kata Imam al-Nawawi (676 H): “Terlalu banyak hadith-hadith disarankan agar berdoa memohon ‘afiyah (kepada Allah SWT) dan ia (lafaz ‘afiyah) adalah satu lafaz-lafaz yang umum dan terkandung di dalamnya menolak segala perkara yang tidak baik pada badan dan batin pada agama sama ada di dunia dan juga di akhirat.” (Lihat al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, 46/12)

Kata Syeikh al-Munawi (1031 H), al-‘Afiyah adalah keselematan (kesejahteraan) daripada penyakit-penyakit dan bala. Ia juga menghimpunkan di antara dua kesejahteraan  iaitu di dunia dan agama. Selain itu, ‘Afiyah akan menolak penyakit-penyakit dunia yang ada di hati dan juga yang berada di badan. (Lihat Faidh al-Qadir, 107/4)

Menurut Syeikh al-Mubarakfuri (1353 H) makna al-‘Afiyah adalah benteng Allah kepada hamba-Nya. Maka orang yang memohonnya adalah seseorang yang sedang memohon pemeliharaan daripada Tuhannya di atas setiap yang diniatkan itu. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 348/9)

Melihat kepada beberapa definisi atau pengertian di atas, maka kami simpulkan bahawa al-‘Afiyah adalah keselamatan atau kesejahteraan pada agama daripada segala fitnah, pada badan daripada segala penyakit-penyakit sama ada penyakit hati atau sebagainya dan kepada pada ahli keluarga dan harta daripada segala bala dan musibah.

Di dalam satu hadith, Rasulullah SAW bersabda:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِينِي وَدُنْيَايَ وَأَهْلِي وَمَالِي ، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِي وَآمِنْ رَوْعَاتِي ، اللَّهُمَّ احْفَظْنِي مِنْ بَيْنِ يَدَيَّ وَمِنْ خَلْفِي وَعَنْ يَمِينِي وَعَنْ شِمَالِي وَمِنْ فَوْقِي ، وَأَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ أُغْتَالَ مِنْ تَحْتِي

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya aku memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan hartaku. Ya Allah, tutupilah aibku dan berilah ketenteraman di hatiku. Ya Allah, jagalah aku dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atasku. Aku memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawahku.”

Riwayat Abu Daud (5074), al-Nasa’ie (5530), Ibn Majah (3871), Ibn Hibban (961), Ahmad (4785) dan al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad (1200)

Doa ini berdasarkan kepada sebuah hadith riwayat Ibn Umar R.Anhuma, katanya:

لَمْ يَكُنْ رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم يَدَعُ هَؤُلاَءِ الدَّعَوَاتِ ، حِينَ يُمْسِي ، وَحِينَ يُصْبِحُ : اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِينِي وَدُنْيَايَ وَأَهْلِي وَمَالِي ، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَتِي ، وَقَالَ عُثْمَانُ : عَوْرَاتِي وَآمِنْ رَوْعَاتِي ، اللَّهُمَّ احْفَظْنِي مِنْ بَيْنِ يَدَيَّ ، وَمِنْ خَلْفِي ، وَعَنْ يَمِينِي ، وَعَنْ شِمَالِي ، وَمِنْ فَوْقِي ، وَأَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ أُغْتَالَ مِنْ تَحْتِي

Maksudnya: “Rasulullah SAW tidak pernah meninggalkan zikir-zikir ini ketika waktu petang dan pagi… (Lalu beliau menyebut doa seperti di atas).”

 Riwayat Abu Daud (5074)

Imam al-Nawawi berkata: “Lafaz ‘afiyah adalah satu lafaz yang umum dan terkandung di dalamnya menolak segala perkara yang tidak baik pada zahir dan batin, pada agama sama ada di dunia dan juga di akhirat.” (Lihat al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, 46/12)

Al-Munawi berkata, al-‘Afiyah adalah keselamatan (kesejahteraan) daripada penyakit-penyakit dan bala. Ia juga menghimpunkan di antara dua kesejahteraan iaitu di dunia dan agama. Selain itu, ‘afiyah akan menolak penyakit-penyakit dunia yang ada di hati dan juga yang berada di badan. (Lihat Faidh al-Qadir, 107/4)

Menurut Syeikh al-Mubarakfuri, makna al-‘Afiyah adalah benteng Allah buat hamba-Nya. Maka orang yang memohonnya adalah seseorang yang sedang memohon pemeliharaan daripada Tuhannya di atas setiap perkara yang diniatkan itu. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 348/9)

Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Ibn Umar R.Anhuma, beliau berkata:

لَمْ يَكُنْ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَدَعُ هَؤُلَاءِ الدَّعَوَاتِ، حِينَ يُمْسِي، وَحِينَ يُصْبِحُ: اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW tidak pernah meninggalkan doa tersebut ketika petang dan pagi iaitu:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ

Maksudnya: “Ya Allah aku memohon kepada-Mu keselamatan di dunia dan akhirat.”

Riwayat Abu Daud (5074). Menurut Syeikh Syuaib al-Arna’uth, sanad hadith ini adalah sahih.

Syeikh Abu al-Hasan al-Mubarakfuri menjelaskan, maksud keselamatan ‘الْعَافِيَةَ’  di dalam hadith tersebut adalah keselamatan daripada perkara-perkara yang merosakkan agama serta kesusahan dunia. Dikatakan juga, keselamatan daripada penyakit-penyakit dan bala-bala. (Lihat Mir’ah al-Mafatih, 8/139. Lihat juga Irsyad al-Hadith Siri ke-260 untuk bacaan lanjut)

Adapun nama Sumayyah adalah nama perempuan yang pertama mati syahid. Dia adalah ibu kepada Ammar bin Yasir. Sumayyah binti Khibat merupakan seorang mujahidah yang mempertahankan akidahnya sehingga titisan darah yang terakhir.

Beliau merupakan isteri kepada Yassir bin Amir al-Kinani dan ibu kepada Ammar bin Yassir, iaitu tiga Muslim yang bermatian mempertahan akidah mereka walaupun teruk diseksa sehingga akhirnya syahid.  Beliau termasuk dalam tujuh orang yang pertama menunjukkan keislamannya di Mekah; Rasulullah SAW, Abu Bakar al-Siddiq, Bilal bin Rabah, Khabab bin al-Arat, Shuhaib al-Rumi, Ammar bin Yassir dan Sumayyah. Sumayyah adalah wanita pertama yang gugur syahid.

Ibnu Hajar berkata dalam kitabnya, Al-Isabah; “Sumayyah bekas hamba sahaya Huzaifah bin al-Mughirah bin Makhzum. Beliau adalah ibu Ammar bin Yassir orang yang masuk Islam pada hari ke-7. Sumayyah diseksa Abu Jahal dan ditusuk tombak pada kemaluannya hingga meninggal dunia. Beliau adalah wanita yang pertama sekali mati syahid dalam Islam.”

Sumayyah merupakan hamba kepada daripada Abu Huzaifah bin Mughirah al-Mahzumi, seorang ketua kabilah Mahzum. Abu Huzaifah telah mengahwinkan Yassir bin Amir al-Kinani yang berasal dari Yaman dengan Sumayyah, dan tidak lama kemudian memerdekakan Sumayyah. Yassir dan Sumayyah hidup aman dengan jaminan keamanan dari bani Mahzum. Mereka kemudiannya dikurniakan seorang cahaya mata, Ammar.

Selepas Rasulullah SAW menyebarkan syiar Islam (yang ketika itu masih dijalankan secara bersembuyi) mereka sekeluarga antara yang terawal beriman dengan ajaran baginda lalu menjadi golongan pertama yang memeluk Islam

Bermula dengan Ammar yang ketika itu sedang meningkat dewasa sangat suka dan tertarik mendengar dakwah Rasulullah SAW di rumah Arqam bin Abi al-Arqam. Pertama kali mendengar ajakan Baginda SAW, Ammar terus menghulurkan tangan dan mengucapkan syahadah. Lalu Ammar pulang dan menerangkan kepada ibunya tentang Islam, Sumayyah terus menerima dengan hati terbuka.

Kemudian Ammar berdakwah kepada bapanya, ketika itu jugalah bapanya memeluk agama Allah. Maka, seluruh kaum muslimin menyambut gembira dengan Islamnya keluarga Yassir.

Tetapi, apabila berita pengislaman ini sampai kepada pengetahuan bani Mahzum, mereka bersumpah untuk membawa keluarga ini kembali kepada agama nenek moyang mereka.

Ibnu Sa’ad meriwayatkan dengan sanad yang sahih dari Mujahid, berkata; “Wanita yang pertama sekali mati syahid dalam Islam ialah Sumayyah, seorang wanita tua yang lemah. Ketika Abu Jahal terbunuh dalam peperangan Badar, Rasulullah bersabda; ‘Allah membunuh orang yang membunuh ibumu’.”

Kaum Bani Mahzum mengetahui menangkap Sumayyah bersama anak dan suaminya dan diseret ke tengah-tengah padang pasir, kaki dan tangan mereka diikat. Mereka dipakaikan dengan baju besi dan dijemur di bawah terik mentari, langsung tidak diberi air sehinggakan mereka pengsan menangung kepanasan.

Bahkan Kulit mereka juga terkoyak kerana melekat pada baju besi yang dipakaikan. Setiap hari mereka diseksa mengikuti keinginan Abu Jahal sehingga tidak sedarkan diri. Namun tidak sekalipun keluar kata-kata kufur daripada mulut mereka. Penyeksaan yang dilakukan hanya menambah ketakwaan dan keberanian mereka, terutamanya Sumayyah.

Suatu hari, Rasulullah S.A.W melihat penderitaan mereka. Betapa hancur luluhnya hati baginda. Lalu baginda membisikan kata-kata yang membahagiakan  mereka;

“Bersabarlah wahai keluarga Yassir, sesungguhnya telah dijanjikan syurga buat kalian.”

Berita ini membuatkan mereka tenang dan gembira. Kemudian datang Abu Jahal memaki dan mencerca Sumayyah. Sumayyah kemudian membalas cercaan tersebut dengan kata-kata yang sangat menyakitkan hati Abu Jahal serta menyatakan beliau tetap berpegang teguh kepada keimanannya.  Disebabkan terlalu marah, Sumayyah ditikam pada bahagian rahim dengan tombak sehingga tembus ke bahagian belakang.

Akhirnya Sumayyah dibunuh dengan penyeksaan yang menyedihkan dan gugur sebagai syahid. Sebenarnya Abu Jahal yang kejam dan bengis itu berasa sangat terhina kerana dicabar oleh seorang wanita tua yang lemah.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Surah al-Furqan (74)

Bertarikh: 28 September 2023 bersamaan 12 Rabiulawwal 1445